Kenyataan Media Angkatan Muda PKR:
MENTERI SUMBER MANUSIA HARUS TEPATI JANJI


LRCLABOUR RESOURCE CENTRE                               www.labourcentre.org
P U S A T              S U M B E R             P E K E R J A
25-F, Jalan Travers, Off Jalan Tun Sambanthan,50470 Kuala Lumpur, Malaysia.
TEL : +603-22604271    FAX : +603-22604275    E-MAIL : lrc@labourcentre.org

KENYATAAN MEDIA
1 MAC 2005

MENTERI SUMBER MANUSIA HARUS TEPATI JANJI

Isu 90 pekerja asing tanpa izin tidak di bayar gaji oleh majikan di projek kondominium mewah milik MK Land, Damansara Damai telah pun dilaporkan ke pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kuala Lumpur semalam (28/02/05). Laporan pengaduan telah dilakukan sendiri oleh ketua kumpulan pekerja iaitu Saudara Lukman di iringi oleh peguam yang di lantik pihak Kedutaan Indonesia, Saudara Md. Radzi Mustafa dan juga wakil dari LRC dan Migrant Care (NGO buruh migran di Indonesia). Saudara Lukman telah menyerahkan laporan pengaduan 54 orang rakan-rakannya yang tidak di bayar baki gaji selama 3 bulan kerja yang melibatkan tuntutan sebanyak RM123 000.00. 2 pihak telah dinamakan di dalam tuntutan tersebut iaitu kontraktor utama, Plato Construction Sdn Bhd. (anak syarikat MK Land)  dan sub-kontraktor, Sri Mega Jaya Sdn. Bhd. Laporan pengaduan ini telah diterima oleh pegawai JTK tanpa sebarang masalah dan serentak dengan itu Saudara Lukman dan 90 orang rakan-rakannya telah pulang ke Indonesia pada malamnya.

LRC menyambut baik respon yang diberikan oleh pihak JTK. Perkembangan positif ini sangat penting dalam memastikan sistem perlindungan terhadap golongan pekerja di negara kita terus diperkukuh dan diperbaiki.  Inilah kali pertama pihak JTK telah menerima laporan pengaduan yang di buat oleh pekerja asing tanpa izin. Perlu di jelaskan di sini, tindakan para pekerja tersebut adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, Akta Kerja 1955 yang jelas melindungi hak-hak pekerja seperti gaji, cuti dan sebagainya. Secara prinsip, walau apa pun status mereka di atas kertas, mereka adalah tetap pekerja yang wajib di bayar upah oleh majikan di atas pekerjaan yang telah mereka lakukan.

Dengan perkembangan positif ini, LRC menyeru semua pekerja asing tanpa izin yang mempunyai masalah gaji tidak dibayar majikan agar segera membuat laporan pengaduan ke pejabat JTK yang berdekatan. Mereka yang telah pulang di dalam program pengampunan diharap berbuat demikian setelah kembali semula ke Malaysia nanti. Ini adalah sangat penting dalam memberikan pengajaran terhadap semua pihak yang mengeksploitasi dan mengambil kesempatan terhadap pekerja asing tanpa izin.

Dengan ini, LRC menggesa Menteri Sumber Manusia agar menepati janji beliau untuk memberikan ruang keadilan yang sepenuhnya terhadap semua pihak terutamanya pekerja asing tanpa izin yang telah dianiaya oleh majikan mereka. Langkah yang diambil oleh beliau terutamanya di dalam isu ini akan memperlihatkan keikhlasan dan kewarasan kerajaan Malaysia dalam membuat pertimbangan terhadap golongan yang dipanggil ³pekerja asing tanpa izin yang juga adalah manusia seperti kita.

Sekian. Terima kasih.

Khairul Anuar Ahmad Zainudin
(Koordinator LRC)
Pengerusi Biro Hal Ehwal Pekerja,
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
019-2057498

(M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: