Kes Lunas: 
Mahkamah Keluarkan Waran Tangkap Terhadap Roslan Kassim

Kiriman: Mat Sepai


KULIM- 14 Ogos: Hakim Mahkamah Majistret Kulim, Yang Arif, Ainy Suhailah Yunus memerintahkan waran tangkap tanpa jamin dikeluarkan terhadap Roslan Kassim kerana gagal hadir untuk perbicaraan kes Pengundi Hantu Pilihan Raya Kecil Lunas hari ini.

Keputusan itu dikeluarkan selepas mendengar permohonan daripada para peguam tertuduh, iaitu Yunus Shariff dan Prabakaran yang mewakili Naib Presiden KeAdilan; Tian Chua dan Azmin Ali, Ketua Pemuda KeAdiLan; Ezzam Mohd Noor, Ketua Pemuda KeAdiLan Kedah; Mohd Zamil Ibrahim, serta aktivis PAS, Mohd Fauzi Awang Kecil, Khairi Yahya dan Ahmad Khairuddin Jamaluddin.

Dalam hujahnya, Yunus menjelaskan pada perbicaraan 18 Jun 2001 lalu, salah seorang anak guamnya iaitu Gobalakrisnan tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan telah mengemukakan sijil sakit daripada hospital kerajaan. Namun Majistret ketika itu (Pn. Rosaini) tetap mengeluarkan waran tangkap tanpa jamin terhadap Gobalakrisnan, dan akibatnya beliau telah ditahan selama 4 hari dalam lokap.

Menurutnya, mahkamah tidak boleh ada “double standard” dalam mengadili Roslan Kasim, walaupun sebelum ini saya mewakili dirinya, kini dia telah melantik peguam lain, (setelah masuk Umno semula) dan peguam yang dilantiknya juga tidak hadir hari ini. Saya memohon mahkamah mengambil tindakan yang sama terhadap beliau.

Sebelum itu, Prabakaran turut membuat permohonan yang sama, meminta mahkamah turut memanggil doktor yang terbabit ke mahkamah untuk memastikan sama ada Roslan benar-benar sakit atau sebaliknya.

Tegasnya, tindakan Roslan membuang masa mahkamah. Mahkamah perlu tegas sama ada, bebaskan semua tertuduh, keluarkan waran tangkap atau tetapkan tarikh perbicaraan yang baru.

Dalam pada itu, mahkamah turut dimaklumkan bahawa Pendakwaraya, Azman Abdullah juga tidak dapat hadir kerana sedang mengikuti kursus Sains Forensik dari 9 hingga 14 Ogos.

Perbicaraan kes pengundi hantu pilihan raya kecil Lunas telah berlanjutan sejak tahun 2001, dan telah ditangguhkan beberapa kali. Hakim yang mengadili kes ini juga turut bersilih ganti, antaranya Majistret Johari Hasan, Rosaini dan Ainy Suhailah Yunus.

Perbicaraan yang tidak dapat dijalankan ini telah ditangguhkan ke 1 Disember 2004.
 

Para Reformis bersama peguam dan sebahagian penyokong BA di luar Mahkamah Majistret Kulim
 
Kiriman: Mat Sepai - 14.08.2004  

Hantar artikel ini kpd sahabat: