Keadilan Terus Melebarkan Pengaruhnya Di Permatang Pauh
Oleh Mat Sepai


PERMATANG PAUH:  Selepas pilihan raya ke-11, bermula dengan penambahan ahli di cawangan Kubang Ulu, Permatang Rawa dan pembukaan cawangan baru di Bagan Serai, kini keadilan Permatang Pauh terus melebarkan pengaruhnya apabila berjaya menubuhkan satu lagi cawangan di Kg. Padang Ibu.

Majlis perasmian cawangan berkenaan telah disempurnakan semalam oleh Ketua Bahagian Keadilan Permatang Pauh, Tuan Hj Abdul Rahman Kadir (Pak Rahman - gambar kiri) yang mewakili DS Dr Wan Azizah.  Turut hadir ialah En. Zainol Abidin bin Saad, Pengarah KADUN Penanti, Hajah Che Wa Harun Ketua Wanita, Hajah Che Som Awang, Bendahari Wanita dan beberapa Ahli Jawatan Kuasa Bahagian.

Menurut Ketua Penajanya, Sdr. Nor Azman Harun (gambar kanan, bawah), penubuhan cawangan ini kerana komitmen ahli-ahlinya untuk bersama-sama rakyat Permatang Pauh yang bencikan kezaliman dan penyelewengan Umno/BN.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya,  Abdul Rahman menjelaskan, “Kita ada tanggungjawab kepada ahli dan rakyat. Usah takut dan bimbang kerana parti kita sah dari segi undang-undang.”

Seterusnya beliau menambah, “'Mandat' yang diberikan rakyat kepada kerajaan sekarang telah dibalas budinya oleh kerajaan dengan menaikkan harga barangan terutamanya petrol dan gas memasak.”

“Petronas yang dilaporkan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM17 billion, mengapa rakyat perlu dibebankan lagi dengan menaikkan harga bahan api ini? soalnya.

Tambahnya, “Minyak ialah bahan keperluan semua pihak yang dianugerahkan Allah kepada rakyat, tapi rakyat telah pilih BN untuk menguruskan amanah itu, sekarang rakyat terimalah bala ini”.

Sambungnya lagi, “perjuangan kita ialah untuk amar makruf nahi mungkar. Tolak kemungkaran paling mudah untuk menegakkan keadilan. Media arus perdana yang dikuasai umno/BN seperti TV lebih banyak menyiarkan rancangan berunsur maksiat dan menjurus ke arah merosakkan akhlak khususnya golongan muda.”

“Kalau di dunia kita tidak menang, Insya-Allah di akhirat kita akan berjaya,”  ujarnya mengakhiri ucapan.

Takbir…lawan tetap lawan.

SERAH BORANG….Nor Azman menyerahkan borang kepada  Zainol Saad, Pengarah KADUN Penanti bersama sebahagian ahli cawangan Padang Ibu

Sebahagian tetamu yang hadir pada majlis perasmian cawangan Padang Ibu
 
- Mat Sepai - 03.05.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN