|
Akan Terhenyakkah UMNO? |
Kalau demikianlah keyakinan yang tinggi itu, kenapa ada cerita UMNO membeli calon pembangkang di Johor? Kenapa pula SPR mengada-ngada dengan peraturan baru setiap satu jam untuk menghenyak parti pembangkang? Kenapa pula Adnan Mansor menyibuk dari satu pejabat kerajaan kepada satu pejabat yang lain, berkempen merayu undi dengan ugutan bahawa pencabarnya akan kehilangan deposit di Putrajaya?
Sesungguhnya, Pilihan Raya Umum kali yang ke-sebelas ini akan dilihat sebagai satu peristiwa di mana UMNO sedang menuju ambang kepupusannya. Inilah permulaan kepada satu penghijrahan UMNO ke lipatan sejarah, seperti yang telah dilalui oleh parti Congress of India, dan Golkar di Indonesia. Pemangku Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ditonjolkan di media perdana sebagai seorang pemimpin yang bergaya dengan penuh keyakinan akan menyapu bersih pilihan raya kali ini. Tidak ada isu besar katanya, malahan kisah Anwar Ibrahim yang masih meringkuk di penjara bukan satu isu lagi. Begitu juga kisah tahanan ISA yang masih mogok lapar di Pusat Tahanan di Kamunting, tidak menjadi perhatiannya, kerana UMNO dan BN di bawah kepimpinan Paklah adalah satu gagasan yang amat perkasa yang sukar ditandingi oleh parti pembangkang. Inilah seorang pemimpin Mr Clean yang bertaraf ulama UMNO yang ditonjolkan sebagai pemimpin yang akan membawa Malaysia ke satu era baru yang penuh ‘Gemilang, Cemerlang dan Terbilang’.
Yang anehnya, kalau Anwar sudah tidak relevan, kenapa tidak dibenarkan beliau diikat-jamin untuk membolehkannya keluar negara mendapat rawatan pada penyakitnya? Kalau betul-betul mahu menegakkan sinar Islam kenapa tidak dibebaskan semua tahanan ISA dan kenakan sekatan tahanan dalam rumah menunggu pendakwaan di mahkamah terbuka?
Sesungguhnya kalau diikutkan propaganda media perdana, kita akan membuat andaian bahawa calon-calon parti pembangkang akan bungkus hari ini. Kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan akan turut tumbang dan parti KeADILan akan menuju kepupusannya bermula hari esok, 22 Mac 2004. Semua ini adalah berdasarkan analisis dan ramalan orang yang ternama dalam dunia politik tanah air seperti Chandra Muzaffar dan sekandang dengannya.
Kalau benar ramalan mereka semua, kenapakah hari berkempen merupakan tempoh yang paling singkat dalam sejarah negara ini? Apakah yang boleh dilakukan oleh setiap calon dalam masa tujuh hari? Semua ini menyebut betapa UMNO sudah semakin perkasa dan akan terus memimpin orang Melayu dan negara ini ke arah kegemilangan masa depannya.
Sesungguhnya pada esok nanti orang Melayu sendiri akan sedar nasib mereka betapa banyak sangat yang sudah mereka korbankan untuk membenarkan UMNO dan BN menjadi pemimpin hidup mereka.
Artikel ini ditulis pada petang sebelum hari mengundi, tentunya ia tidak akan mempengaruhi para pengundi siapa yang patut mereka pilih sebagai wakil rakyat mereka. Penulis ini sengaja mengemukakan tulisannya pada saat ini kerana hanya mahu merakamkan pandangannya betapa orang Melayu masa kini adalah Melayu yang akan terus dihimpit kekecewaan dalam hidupnya seandainya mereka memangkah calon UMNO dan BN esok hari (hari ini).
Ada seorang bekas anggota tentera yang berjawatan Sarjan Major berkata kepada penulis: “Kalau BN kalah esok, akan berlaku huru-hara di negara ini.” Beliau ialah seorang pegawai BTN. Lantas saya berkata kepadanya agar singkap Rukun Islam dulu sebelum dia hilang akidahnya.
“Sebagai seorang yang pernah pergi ke Somalia, saya telah melihat perang saudara di sana dan berkemungkinan perang saudara akan meledak di Malaysia kalau BN kalah esok.” Demikianlah cakap seorang Sarjan Major yang menyarung uniform hanya pada tahun 1972, tanpa melihat susah payah perjuangan orang Melayu dalam hutan mencari komunis ataupun menjaga keselamatan perniagaan tauke balak dan lombong di hutan belantara sedangkan pemiliknya nyenyak tidur dalam kamar berhawa dingin di kota raya.
Pandangan pegawai BTN ini adalah gambaran betapa terpesongnya pemikiran orang Melayu gara-gara propaganda kerajaan BN dan UMNO.
Orang-orang BTN memang kerap menggunakan konsep demokrasi sebagai asas memesongkan pemikiran orang Melayu. Mereka bercakap hal demokrasi yang tidak wujud di negara ini. Mereka memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedangkan SPR adalah satu parti politik haram milik UMNO. Cuba perhatikan nanti, apabila ada calon BN yang menang hari ini, kita akan lihat pasukan gerak gempur BN berkeliaran ke sana sini tanpa topi keledar (ada yang menunggang sehingga tiga orang setiap motosikal dengan mengibarkan bendera besar dacing) dan tidak dipedulikan oleh polis.
Sememang mudah mengabui pemikiran Melayu hanya dengan menggunakan perkataan demokrasi sedangkan sehingga hari ini pun majoriti Melayu masih tidak faham apakah makan demokrasi. Kalau kita tanya orang Sungai Siput kenapakah mereka membiarkan Wan Azizah berdiri tercegat di Taman Orked tanpa mampu meneruskan ucapannya, kerana orang-orang MIC telah membakar bunga api dan mercun di pinggir kawasan ucapannya kelmarin? Mereka kata itu adalah demokrasi berpolitik, kerana polis yang ada di sana tidak berbuat apa-apa.
Beberapa minggu yang lalu, Penghulu Taman Bahagia di Sungai Siput telah mengadakan majlis anugerah Tokoh Maal Hijrah. Orang yang diundang untuk memberikan hadiah itu ialah Dato’ Seri S. Samy Vellu. Akan tetapi, kalau kita kaji sejarah Kampung Bahagia itu, ia pernah mengeluarkan empat orang wakil rakyat berbangsa Melayu sehinggalah kematian Haji Fadhil. Cuba perhatikan kesesakan di simpang Kampung Bahagia dan bandingkan dengan simpang ke Rimba Panjang dan Sungai Buluh yang majoriti penduduknya adalah orang Cina. Kenapa tidak ada lampu isyarat di Kampung Bahagia menuju ke masjid sedangkan di Rimba Panjang dan Sungai Buluh ada lampu isyarat bernombor (elektronik)?
Kelmarin, kami telah membuat rombongan dari rumah ke rumah di satu taman di Seremban. Kawasan itu dihuni sekitar 90 peratus pengundi Melayu, tetapi sejak bertahun lamanya wakil rakyat di situ ialah seorang pemimpin kaum Cina daripada BN. Majoriti pengundi Melayu di situ berkata mereka akan melihat wajah calon Cina hanya semasa kempen pilihan raya dan tidak tahu menahu apa yang jadi seterusnya.
Bagaimanakah orang Melayu merelakan kuasa undi mereka diperkotak-katikkan oleh UMNO dan BN sedangkan mereka terus hidup terhimpit dan terus merempat di negara kelahiran nenek moyang sendiri?
Melayu Sudah Jatuh Menjadi Kelas Angkut Tahi dan Angkat Sampah
Kira-kira lima puluh tahun dulu, orang Melayu membesarkan keluarganya melalui titik peluh dan keringat membanting tulang sebagai petani, pesawah, penoreh getah ataupun berkhidmat dengan pasukan bersenjata ataupun menjadi drebar tuannya rata (orang putih) ataupun bekerja sebagai kerani rendah dan peon. Sekarang ini kerja yang dibuat oleh peon itu disebut dengan nama PAR (Pegawai Am Rendah). Pada waktu itu majoriti kaum Cina dan India membanting tulang di ladang-ladang dan lombong ataupun berniaga di kedai runcit dan pasar.
Segelintir orang Cina dan India ketika itu bertugas sebagai tukang angkat tahi dan tukang sapu sampah.
Hari ini, tugas angkat tahi dan sapu sampah rata-rata dibuat oleh orang Melayu. Cuba perhatikan siapakah yang memandu kenderaan ‘Indah Water’ dan siapakah yang paling ramai berkhidmat dengan ‘Alam Flora’? Ironisnya petugas dan penguatkuasa kerja-kerja angkut tahi dan angkat sampah adalah muka yang sama menjadi samseng dan gerak gempur UMNO. Inilah juga musibat yang diusung ke hulu-hilir untuk menjadi pengundi hantu.
Anak-anak Cina dan India yang satu ketika dulu mengangkat tahi dan menyapu sampah kini sudah mampu memiliki klinik swasta, pejabat guaman, syarikat arkitek dan kejuruteraan.
Selama lima puluh tahun sejak UMNO menerajui pemerintahan negara, politik sudah menjadi satu industri kerana itulah kejayaan terbesar Tun Kepala Taik Mahathir. Apabila politik diindustrikan, secara tidak langsung anak-anak, cucu-cicit dan suku-sakat pemimpin UMNO dan BN menjadi penyambung perniagaan itu dan kini terus menipu dan menipu dengan propaganda agar mereka terus terpilih dalam setiap pilihan raya umum. Ini sahaja kerja mereka setiap muncul pilihan raya umum itu. Selepas itu mereka akan berkeroyokkan projek mega untuk membalun dana rakyat marhaen sambil menunggu munculnya satu lagi pilihan raya umum.
Oleh kerana apa yang disebut sebagai demokrasi ala-UMNO makanya kita lihat di Putrajaya Adnan Mansur yang lebih dikenali sebagai Tengku Celup mampu bermaharajagila dengan bantuan pekerja kelas PAR. Adnan menggunakan anggota kelas PAR sebagai petugas khas yang menyebar ugutan di kalangan pengundi di Putrajaya. Bayangkan kelas PAR kini tidak lagi mahu mengikut arahan pegawai atasannya dan tidak lagi mahu membuat kerja yang disuruh-suruh kerana mereka mempunyai talian terus dengan Adnan. Itulah jadinya apabila politik dijadikan satu bentuk perniagaan. Segala-galanya dapat dihalalkan asalkan menepati kehendak parti yang bernama UMNO.
Demikianlah nasib Melayu di bawah kepimpinan UMNO dan BN. Fikirkanlah kisah ini dulu sebelum mengundi hari ini. Kita sambung cerita selepas keputusan undi diumumkan malam nanti.
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
21 Mac, 2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat
di http://www.marhaen.com
(tidak berfungsi untuk seketika)
|