|
Berpaling Tadah Atau Pulang Berteduh |
Kalau Paklah dan Barisan Nasional menang besar, cara negara ditadbir akan berada di takuk lama malahan mencetuskan pelbagai masalah besar kerana tindihan pengaruh orang-orang baru yang dianggap kroni Paklah sudah pasti berantakan dengan pengaruh lama orang-orang Tun Kepala Taik Mahathir.
Akan tetapi kalau Parti pembangkang yang ada kini menang besar, hanya ada dua jalan yang dapat dibayangkan. Pertama, kemungkinan ramai pemenang dalam BN yang melompat keluar dan masuk dalam gagasan Barisan Alternatif. Kedua, kemungkinan tercetus huru-hara yang sengaja dicipta untuk mengembalikan senario “Kerajaan ala-MAGERAN” seperti yang berlaku satu ketika dulu. Muslihat itu telah melumpuhkan PAS dan PPP apabila dua-dua parti itu menganggotai Barisan Nasional pimpinan Tun Razak. Harus diingatkan di sini semasa MAGERAN atau Majlis Gderakan Negara ditubuhkan dulu Paklah merupakan Setiausaha Majlis Gerakan itu. Dia tahu segala selok-beloknya terutama sekali muslihat sebenar kenapa MAGERAN ditubuhkan.
UMNO Yang Semakin Goyah
Sesungguhnya kalau kita baca berita akhbar perdana, memang jelas betapa berkesannya propaganda kerajaan BN yang menonjolkan segala cerita muluk-muluk bahawa BN dan UMNO akan menang besar. Kesan propaganda yang bertubi-tubi itu dipanjangkan lagi oleh akhbar dunia luar yang sudah tentu mencedok segala berita yang disiarkan oleh BERNAMA.
Hakikatnya UMNO sebagai teras gagasan Barisan Nasional sedang berada di satu dilema yang amat melemahkannya. Terdapat beberapa sebab kenapa fenomena ini muncul:
Pertama: Pihak pembangkang terutamanya PAS memang sudah berjaya memperkasa parti selama ini sejurus berakhirnya pilihan raya umum 1999 dulu, dan dipraktikkan semasa berlakunya beberapa pilihan raya kecil selepas itu.
Kedua: UMNO sebenarnya masih belum betah daripada demam peralihan kuasa daripada pentadbiran TKT Mahathir kepada penyambut kuasa itu. Orang-orang kuat TKT Mahathir yang masih pasang angan-angan untuk terus membalun harta rakyat, sedang kepanasan kerana tidak tahu apa peranan mereka selanjutnya apabila Paklah terus mencengkam kuasa. Buat masa ini pun kita dapat lihat betapa sudah tersebar luas berita angin bagaimana orang-orang yang dianggap istimewa satu ketika dulu sedang terkulat-kulat mahu tahu apakah mereka akan dibenarkan bertanding sekali lagi. Kita dapat jangkakan bagaimana Paklah sentiasa tertekan apabila ada sahaja ‘jolokan’ TKT Mahathir mahukan orang-orangnya terus diberikan habuan untuk bertanding sekali lagi.
Dalam hal ini, Paklah memang amat tertekan kerana dia tersepit dalam satu dilema bikinan sendiri. Sebagai contoh, apakah dia akan mengekalkan Rafidah Aziz untuk bertanding sekali lagi sebagai menyahut seruan Wanita UMNO yang mahu para pemimpin mereka dikekalkan untuk bertanding? Kes rasuah terhadap Rafidah akan menjadi senjata tajam menikam Paklah dan BN. PakLah telah menunjukkan kesungguhan membasmi rasuah, tetapi kes rasuah Rafidah yang sudah lama disahkan oleh Peguam Negara masih tidak ditimbulkan ke mahkamah. (Kertas Sisasatan BPR Terhadap Rafidah Aziz)
Senario berbeza terdapat di kalangan PAS, yang mengumumkan semua wakil rakyatnya yang menang pilihan raya 1999 di Perak akan dikekalkan.
Ketiga ialah sikap rakyat yang semakin celik politik, gara-gara kelentungan yang dilakukan oleh pentadbiran Mahathir. Oleh kerana sikap celik-politik ini sedang menghembus kencang di kalangan masyarakat Melayu, besar kemungkinannya ramai calon UMNO akan kantul juga, baik yang baru ataupun yang lama.
Kesedaran Melayu terhadap kelentungan UMNO sudah semakin besar baranya apabila mereka dapat lihat apa yang sedang ditanggung oleh Anwar dan bagaimana beberapa kes terbaru melibatkan orang-orang UMNO seperti Deris Jusuh di Terengganu dan Eric Chia dipercepatkan. Lagipun, apabila Tun Kepala Taik asyik mengulang-ulang bahawa kes Anwar tidak akan menjadi faktor yang mempengaruhi pilihan raya yang baru ini, bererti semangat kesedaran orang Melayu akan tercuit sekali lagi dan membawa kesedaran bahawa Anwar Ibrahim adalah lambang kelentungan UMNO dan BN selama ini. Modal TKT Mahathir dari segi ini adalah modal basi dan rakyat marhaen terutama sekali orang-orang Melayu akan naik ‘semangat’ memerangi apa juga yang dikatakannya itu sebagai bahan yang mengaibkan mereka.
Kesedaran ini semakin membesar apabila kes orang tahanan ISA melancarkan mogok lapar. Kita harus bersedia dengan berita ada antara mereka itu yang akan mati ‘syahid’ kerana mogok lapar itu. Kalau perkara ini terjadi, Paklah boleh ucapkan selamat tinggal kepada jawatannya sebagai perdana menteri. Sesiapa sahaja yang berani mencabar beliau bagi jawatan presiden UMNO nanti akan disokong kalau dia gunakan isu tahanan ISA itu nanti. Logiknya adalah amat mudah kalau dibandingkan nasib mereka dengan kes Jacky Chan, ketua samseng yang bergelumang dengan pelbagai jenayah di negara ini dan kini sudah pun dibebaskan. Apakah satu kebetulan sejurus Jacky Chan dibebaskan ada seorang penguat kuasa DBKL yang mati rentung dalam keretanya?
Dengan lain perkataan, BN akan menghadapi pilihan raya umum kali ini dengan laluan yang amat sukar. Ia menjadi lebih sukar apabila Paklah gagal membubarkan Majlis Negeri Sarawak, kerana krisis politik yang menakutkan BN. Sekali lagi, dalam hal ini, rakyat marhaen akan teringatkan TKT Mahathir, kerana apa yang sedang melanda Sarawak adalah kesan pentadbiran songsang yang selama ini mendapat restu dan lindungan TKT Mahathir juga. Adalah tidak memeranjatkan kalau Sarawak mengalami pengalaman lama di mana kerajaan pusat bertindak tegas semasa krisis politik di sana pada zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman dulu. Sekali lagi satu bentuk MAGERAN boleh dijangka akan diwujudkan di sana.
Kepimpinan Paklah Yang Sangat Rapuh
Sesiapa yang kenal rapat dengan Paklah akan mengakui betapa beliau adalah seorang insan yang baik hati dan mudah didekati. Tetapi sepanjang kerjaya beliau sebagai PTD dulu dan kemudiannya sebagi orang politik, kewibawaan Paklah sebagai seorang pemimpin adalah di tahap ‘cukup-cukup makan sahaja’. Paklah sebenarnya lebih berkesan sebagai pemimpin kelas pengikut dan bukan kelas pemimpin utama. Dia tidak ada karisma untuk menjadi pemimpin ‘numero uno’.
Terlalu banyak kelemahan Paklah sebagai pemimpin unggulan. Yang pertama, dia amat terkenal sebagai orang yang selalu lewat pada temu janjinya. Masa bukan menjadi faktor utama kepadanya. Kalau dia menjadi tuan rumah makan malam, tetamu yang sudah kenyang makan boleh tidur dulu sambil menunggu ketibaan beliau. Itu sebabnya Paklah kerap sangat terkapai-kapai dalam beberapa isu hangat dan kelihatan mencungap apabila menjawab soalan para pemberita, terutama pemberita asing.
Kelemahan yang ketara ini menjadi lebih perit apabila Paklah terlalu bergantung kepada isteri, anak-anak dan menantu sebagai proksi beliau memerintah. Inilah yang membuatkan akar umbi dan pemimpin bawahan sering ketawa membincangkannya.
Perwatakan Paklah begini yang membuatkan beliau menjadi pilihan TKT Mahathir sebagai pengganti beliau, dengan muslihat mahu terus memperkuda Paklah walaupun sudah tidak berkuasa. Dengan sumber kewangannya yang besar dan mantap yang tersimpan di negara ini dan juga di luar negara, TKT Mahathir sudah lama merancang untuk menghuru-harakan ekonomi negara seandainya Paklah enggan akur kepada putar belitnya.
Kita boleh persoalkan sebagai contohnya bagaimana Paklah boleh membenarkan kerajaan Singapura membeli saham Telekom Malaysia sedangkan pada persidangan UMNO tahun lalu TKT Mahathir telah menolak rencana itu kerana “Singtel suka ‘sing and tell!!”. Kita harus ingat saham Telekom Malaysia sekarang ini tidak mengambil kira khazanah tanah yang besar miliknya. Kalau tanah menjadi aset utama Telekom, sahamnya sudah pasti naik lima hingga enam kali ganda. Di waktu yang sama Telekom sebenarnya sedang menipu kakitangannya melalui konsep niaganya. Sebagai contoh, Kedai Telekom kini sudah menjadi satu anak syarikat, dan selama dua tahun berturut-turut, kakitangan Kedai Telekom tidak pun merasa bonus, seperti kakitangan Telekom yang lain.
Adalah amat malang apabila tidak ada suara pihak pembangkang yang mempersoalkan penjualan saham Telekom kepada Singapura tanpa merujuk dulu kepada parlimen.
Adalah tidak menghairankan kalau tidak berapa bulan lagi, ada beberapa syarikat milik rakyat yang dijual kepada negara asing, semata-mata kerana kerajaan mahukan dana untuk terus mentadbir negara. Adakah rakyat marhaen disedarkan perkara sebenarnya?
Masalah Negara Yang Semakin Meruncing
Paklah sebenarnya terpaksa mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin sebagai satu usaha melencongkan masalah negara daripada penelitian rakyat. Terlalu banyak masalah yang akan menghenyak kita tetapi kini sengaja diperam putik-putiknya kerana tidak mahu rakyat dapat mengetahui apakah bebanan mereka. Sebagai contoh ialah kes pembikinan serombong peralatan nuklear oleh syarikat milik anak lelaki Paklah, untuk pasaran gelap. Sebenarnya, kita ada hak mengeluarkan barangan itu selagi ia bukan khusus untuk senjata nuklear. Lagipun, negara besar boleh bikin apa yang dia suka tanpa memikirkan kegunaan terakhirnya. Akan tetapi disebabkan kes ini tidak ditangani dengan bijak pada tahap awalannya, ia menjadi satu senjata yang menikam diri sendiri apabila kuasa besar cuba menggunakannya sebagai alat tipu helah mereka.
Akan tetapi adakah sesiapa ingat sebelum TKT Mahathir melepaskan jawatannya, dia telah meluluskan kewujudan ibu pejabat serantau badan risikan FBI dan CIA Amerika di negara ini? Apabila dua badan ini dibiarkan kebebasan di negara yang dikatakan berdaulat, apakah kita harapkan mereka akan diam-diam main golf dan berenang di lautan kita pada hujung minggu.
Oleh kerana kita yang memberikan mereka kemudahan untuk memantau apa juga yang kita mahu buat, sekali gus kita memasang perangkap untuk mereka jerut kita bila-bila mereka suka.
Kita dapat tahu bahawa salah satu syarat kewujudan pejabat serantau risikan Amerika ialah kesediaan Amerika membenarkan tabung dana pencennya kembali melabur di Malaysia. Itu sebabnya kata lihat sekarang saham BSKL naik mencanak, kerana adanya pelaburan dana pencen ini.
Berpaling Tadah
Apabila diambil kira senario di atas kita tentu tidak hairan kenapa sengaja dibesar-besarkan isu 12 katak Keadilan melompat memasuki UMNO, sedangkan sebahagian besar mereka itu sudah laksana melukut di tepi gantang sahaja.
Malahan isu lompatan itu yang disusuli dengan ‘kemasukan’ beberapa kerat orang bawahan yang lain, mencelikkan mata rakyat marhaen betapa aibnya kerja jijik UMNO. Sebenarnya UMNO tidak perlukan mereka, tetapi mereka amat memerlukan UMNO sebagai tempat berteduh. Maklumlah semasa berada dalam KeADILan, mereka hidup merempat. Lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai ‘dua dapur’ untuk diuruskan setiap hari.
Yang terkini kita dengar Lokman Adam mengeluarkan CD dan rakaman betapa dia mencabar kepimpinan KeADILan terhadap tuduhannya bahawa Ezam, dan rakan-rakannya menyonglap wang parti. Sekali lagi kita lihat betapa Lokman mendedahkan perwatakannya yang sebenar. Kalau orang boleh simpati dengannya satu ketika dulu, kini simpati itu boleh bertukar rupa kepada mual sahaja. Kalau betul Lokman mempunyai bukti terhadap penyelewengan pihak tertentu kenapa tidak lapur kepada polis agar tindakan dibuat melibatkan Pendaftar Syarikat?
Soalnya sekarang, kita diberitahu satu ketika dulu betapa Lokman keputusan wang untuk terus ‘berkorban’ kepada parti. Jadi, siapa pula yang membiayai pembikinan CD dan buku tohmahannya?
Apabila kita sebut berpaling tadah terhadap ‘katak yang melompat’ itu, apakah kita tidak fikirkan bagaimana pula kisah wakil rakyat yang lari kepada konstituensi lain dalam pilihan raya nanti? Apakah perbuatan mereka itu tidak berpaling tadah terhadap amanah yang diberikan oleh pengundinya selama ini?
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
5 Mac, 2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat
di http://www.marhaen.com
|