|
Rombakan Kabinet Paklah Untuk Siapa? |
Kita mahu rakamkan tahniah kepada Paklah dan Najib. Memang tidak silap lantikan Paklah itu kerana Najib mempunyai pengalaman berpolitik selama 27 tahun dan merupakan Naib Presiden yang paling lama berkhidmat kepada UMNO lama dan UMNO Baru.
Seperti biasalah, media elektronik perdana telah menggembar-gemburkan pelantikan itu sebagai satu pelantikan yang terbaik untuk negara. Akan tetapi, adakah kita pernah menonton dan mendengar pendapat marhaen yang tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan disiarkan oleh TV, radio dan akhbar propaganda mereka?
Sebenarnya ada juga pihak yang berkata bahawa dengan pelantikan Najib bererti negara ini akan diwarnai juga oleh dua orang wanita yang pandai memainkan peranan ‘queen control’ mereka.
Soalnya sekarang, adakah rombakan kabinet itu benar-benar menepati hasrat politik Paklah dan memuaskan rakyat marhaen yang begitu lama ternanti-nanti apakah tindakan konkrit Paklah memimpin negara ini memasuki millennium baru?
Sudah menjadi rahsia terbuka yang sudah merebak merata negara bahawa semasa Tun Kepala Taik Mahathir mahu menyerahkan jawatannya kepada Paklah dia telah menyebut beberapa syarat yang harus dipatuhi oleh Paklah sejurus beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Antara syarat itu ialah: a) Melantik Dato’ Seri Abdul Najib Tun Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri, (b) Memberikan jaminan agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus ditahan di penjara Sungai Buluh.
Daripada pra-syarat ini (kononnya ada beberapa pra-syarat lagi yang mungkin kita sentuh satu hari nanti, InsyaAllah), kita perhatikan memang ada usaha Paklah memenuhi janji itu. Pertama, kita perhatikan bagaimana Tengku Razaleigh tidak pun diambil kira menjadi Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, sedangkan beliau amat rapat dengan istana Kelantan. Lagi pun Paklah pernah bersekongkol dengan Tengku Leigh dalam penubuhan Semangat 46. Paklah masih mengekalkan Mustapha Mohammad (Tokpa) walaupun beliau sudah kalah dalam Pilihan Raya Umum 1999 dahulu. Bukan sahaja Ku Leigh yang tidak diberikan kehormatan untuk menyatukan Melayu UMNO, malahan kaki gedebe Ku Leigh yang bernama Ibrahim Ali telah tersingkir daripada senarai Ketua Penaja Bahagian UMNO
Kedua, kita dapat perhatikan bagaimana Dato’ Seri Anwar Ibrahim dinafikan hak menerima rawatan hospital sedangkan penyakit yang ditanggungnya sudah ternyata semakin teruk. Doktor yang ditugaskan memeriksa beliau di Penjara Sungai Buluh, ialah seorang bedebah bernama Dr. Jayeindran. Inilah doktor yang mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri mengatakan Anwar berkeadaan sihat dan sengaja melakonkan penyakit yang dihidapinya itu. Pada waktu yang sama dia menjanjikan kepada pihak berkuasa Penjara dan juga kepada peguam Anwar yang dia akan membawa pakar ortopedik untuk memperakukan diagnosis beliau. Yang lucunya dia sendiri tidak tahu-menahu apakah nombor telefon pakar ortopedik yang mahu dibawanya, sehingga meminta nombor itu beberapa hari kemudiannya daripada pihak penjara.
Bayangkan, seorang doktor yang diamanahkan memeriksa bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap ‘bekas’ Timbalan Presiden UMNO memberikan laporan salah mengenai keadaan sebenar kesihatan pesakit yang diperiksanya. Apakah muslihat Jayeindran berbuat begitu?
Saya ada membuat komen ketika menterjemahkan tulisan Raja Petra Kamarudin akan hal ini. Saya ada menyebut antara lainnya, bahawa Jeyaindran dan Pihak Berkuasa Penjara Sungai Buluh, sebenarnya sedang bermain api. Kalau Anwar meninggal dunia dalam penjara gara-gara kesihatannya yang bertambah mudarat, orang UMNO (Baru) pimpinan Paklah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada peluang memerintah negara ini lagi.
Saya pernah menyebut bahawa keadaan Anwar Ibrahim di dalam penjara adalah satu bom jangka yang akan meledak pada bila-bila masa. Hidup dan mati adalah ketentuan Allah yang Maha Berkuasa. Tetapi kalau Anwar mati dalam keadaan kesihatannya sekarang, sudah pasti negara ini akan bergelora dan kemungkinan ada rampasan kuasa yang dilakukan oleh rakyat marhaen bersama-sama anggota tentera.
Kita tidak akan salah dengan andaian bahawa Anwar masih meringkuk dalam penjara kerana Paklah mahu teruskan ikrar janjinya kepada TKT Mahathir. Tetapi sebelum ikrar itu disimpul mati eloklah Paklah dan keseluruhan pemimpin UMNO terutama sekali yang masih bergaya dalam sayap Pemuda UMNO meneliti sejarah dunia bagaimana rampasan kuasa dilaksanakan di negara asing. Kolonel Buhasan pernah melancarkan rampasan kuasa di Filipina sebagai menjentik semangat rakyat Filipina bangkit dan menggerakkan revolusi rakyat yang menghumban Ferdinand Marcos. Rakyat marhaen Filipina cepat bangkit sejurus berlakunya pembunuhan ke atas Ninoy Aquino yang baru pulang daripada Amerika. Kesannya kebangkitan rakyat telah menaikkan nama Puan Aquino untuk menjadi Presiden baru di Filipina.
Begitu juga yang terjadi kepada kerajaan demokratik Presiden Tolbert di Liberia. Sekumpulan pegawai muda (berpangkat Kapten ke bawah) telah melancarkan rampasan kuasa. Oleh kerana mereka melakukan rampasan itu secara mendadak, mereka telah menonjolkan Sarjan Samuel Doe menjadi jurucakap mereka. Akhirnya Doe naik ke atas dan menjadi pemerintah baru Liberia setelah berlaku beberapa pembunuhan terhadap perancang utama pengguling kuasa itu.
Kira-kira satu tahun yang lalu saya ada membuat ramalan kalau kerajaan UMNO dapat ditumbangkan, ia akan dicetuskan oleh kaum tani (di FELDA, RISDA, FELCRA, pesawah dan nelayan) yang akan menerima sokongan padu daripada angkatan tentera. Kelas anggota tentera apakah yang akan turut serta merupakan satu tanda tanya.
(Kita nampak betapa TKT Mahathir pernah menjangka kebangkitan seperti ini membuatkan beliau merencana lakonan Al Maunah di Jenalik Hilir)
Mungkin juga Paklah sedar keresahan kaum tani dan luar bandar akan keadaan hidup mereka yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati. Di sebalik kemodenan Malaysia yang berbangga dengan beberapa projek mega yang membazir semuanya, kepimpinan TKT Mahathir tidak mengambil kira keadaan hidup masyarakat luar bandar dan juga angkatan tentera. Apa juga rencana kerajaan TKT Mahathir untuk apa yang disebut sebagai kebaikan dua jurusan masyarakat ini, HANYA merupakan propaganda besar. Tujuan sebenar muslihat mengekang kemodenan masyarakat ini kerana sebahagian besar komponen masyarakat itu adalah orang Melayu dan bumiputera.
Paklah mahu memodenkan bidang pertanian. Kenapa baru sekarang timbul kesedaran dalam perkara ini? Saya pernah menulis panjang betapa semua program kemajuan tanah boleh menjadi industri ternakan lembu, kambing, susu dan keju terbesar di rantau ini. Perkara ini tidak terjadi kerana lesen import daging beku adalah monopoli Sanusi Junid, bersama beberapa bekas Ketua Pengarah Kementerian Pertanian dan orang UMNO. Kerana itu Sanusi Junid buat promosi ternakan dan memakan daging arnab. Pada waktu yang sama Sanusi gembar-gemburkan kilang menyembelih daging terbesar di dunia Islam (selain di Arab Saudi). Apa jadinya dengan kilang itu. Ia gagal kerana Sanusi dan Tan Sri Bashir sebagai proksi TKT Mahathir mengimport anak lembu daripada Australia dan diberikan reja-reja nanas di Johor sebelum lembu itu diangkut ke Kedah untuk sembelihan.
Cuba bayangkan kalau peneroka rancangan tanah di seluruh Malaysia ditaja memelihara lembu (bahkan juga unta), tentu sekali kita mampu mengeluarkan susu segar dan keju sendiri. Bayangkan pula kalau projek memelihara kambing diatur dan ditaja menjadi monopoli masyarakat orang Asli dan masyarakat penghuni hutan rimba di Sabah dan Sarawak di merata negara. Sekali gus kita membawa kaum ini memasuki arus perdana. Susu kambing boleh dijadikan keju ataupun bahan sabun yang diminati oleh dunia kosmetik.
Kemudian, kita galakkan pula masyarakat Cina dan India, menumpukan minat terhadap pembiakan ternakan itik dan ayam. Tentulah kita tidak perlu mengimport telur itik daripada Siam dan Taiwan dan telur ayam daripada Thailand.
Apakah susah sangat semua projek ini? Ia menjadi susah kerana ada pihak yang menyukarkannya. Ada pihak yang mempunyai monopoli mengimport semua bahan makan ini untuk kegunaan rangkaian kedai makanan segera seperti McDonald, KFC dan lainnya.
Begitu juga dengan kaum nelayan dan petani sawah. Mereka terpinggir kerana hanya dianggap penting sebagai pengundi UMNO dan BN. Tetapi, teknik moden boleh menjadikan mereka masyarakat kaya di negara ini. Teknik pemeliharaan ikan dalam sangkar baik di tasik, sungai, mahu pun dalam tangki simen ataupun kanvas, sudah mampu menaikkan taraf kaum nelayan dan petani. Akan tetapi masyarakat ini sengaja dipinggirkan kerana mahu mengekalkan masyarakat ‘orang tengah’ yang kaya-raya yang menunjangi MCA dan UMNO.
Yang peliknya kerajaan BN.UMNO majukan perkampungan kaum nelayan dan petani sawah padi dengan matlamat menjadikan semua itu punca ‘eco-tourism’. Inilah rencana yang dicanai oleh TKT Mahathir dan yang direalisasikan oleh Kadir Sikh. Bayangkan bagaimana kaum tani dan nelayan disuruh hidup sebagai bahan tontonan pelancong asing. Alangkah haprak dan bodohnya projek semacam ini?
Kenapa tidak dijalankan konsep pemeliharaan
kepah seperti yang dilakukan di Eropah di mana anak-anak kepah dipasang
dalam sangkar yang diikat pada tiang yang dicacak di sepanjang pantai.
Apabila membesar, sarang-sarang kepah itu diangkut dengan menggunakan jengkaut
sehingga mampu dieksport hingga merata dunia? Apakah kerana pemeliharaan
kepah dan tiram di pantai LIDO Johor gagal kerana pencemaran laut, tidak
bererti projek yang lebih moden tidak
dapat dilakukan di Terengganu dan Kelantan. Projek itu tidak mahu dimulakan
kerana Kelantan dan Terengganu ditadbir oleh PAS.
Betulkah Paklah Mahu Tingkatkan Masyarakat Tani?
Paklah berhujah bahawa pelantikan Muhiyuddin Yassin adalah bertujuan untuk meningkatkan masyarakat tani. Ini bererti rancangan pertanian UMNO.BN di bawah TKT Mahathir dahulu telah mengabaikan bidang ini.
Sebenarnya sesiapa pun yang dilantik menjadi Menteri Pertanian (kecuali Affendi Norwawi yang ternyata tidak disenangi oleh pihak tertentu kerana menjejaskan perniagaan monopoli mereka) tidak dapat menonjolkan kejayaan selagi tidak dikaji secara mendalam apakah caranya memodenkan bidang pertanian. Pemodenan pertanian negara bererti menaikkan taraf hidup orang luar bandar dan ini bererti meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu.
Sesungguhnya menaikkan taraf hidup orang Melayu luar bandar tidak pernah menjadi agenda besar UMNO. Lagi mundur Melayu luar bandar, lagi lama UMNO boleh bertahan. UMNOBaru pimpinan TKT Mahathir telah merancang dengan bijak agar orang Melayu di bandar akan terus menjadi hamba kepada UMNO, seperti mana mereka menjadi hamba pengusaha kilang (yang rata-ratanya bukan orang Melayu), dengan kemampuan menyediakan tenaga kerahan untuk menganggotai pasukan angkatan bersenjata dan polis serta menjadi penguatkuasa dalam Jabatan Kastam, Imigeresen, dan apa juga jabatan beruniform. Dari situ masyarakat yang sama akan menjadi pemandu treler panjang, bas persiaran dan apa juga bentuk pengangkutan di negara ini.
Akan tetapi kalau kerajaan TKT Mahathir dahulu betul-betul mahu meningkatkan ekonomi luar bandar rancangan penanaman jagung untuk dijadikan bahan makanan ayam dan itik sudah memadai melonjakkan ekonomi Melayu luar bandar. Penanaman jagung secara besar-besar dengan teknik moden sudah mampu menaikkan taraf setiap kampung yang mempunyai tanah terbiar. Kita tidak perlu empangan besar untuk menyalurkan air kerana air boleh disedut daripada bawah bumi dengan menggunakan tenaga solar. Tetapi kita mengimport jagung dan bijiran untuk makanan ternakan daripada Amerika Latin melalui syarikat ‘orang tengah’ di Hong Kong. Lesen import adalah satu monopoli, dan siapakah yang mengimportnya kalau bukan pemimpin BN. Syarikat orang tengah di Hong Kong adalah milik orang MCA, Gerakan dan ada juga orang DAP. Kenapakah jagung tidak ditanam di tanah terbiar di kampung? Jawapannya kerana TKT Mahathir mempunyai agenda besar agar orang Melayu terus hidup merempat dan makan daripada suapan UMNO. Kalau kita analisa makanan ternakan seperti ayam dan item di negara ini ia adalah campuran barangan import seperti jagung dan bijiran ikan baja serta serbuk Kalsium yang selalunya mudah didapati daripada debu kerang
Sepatutnya kerajaan mengharamkan pengimportan bahan mentah makanan ayam dan itik untuk mengelakkan negara mengimport bahan makanan yang diperbuat daripada sisa daging lembu gila (Wild Cow Disease) yang kini merebak di Amerika.
Apakah semua bahan ini tidak boleh dikeluarkan di negara sendiri? Kita mempunyai beribu-ribu kolam dan tasik yang dahulunya adalah lombong bijih yang sudah tidak digunakan. Kenapa tidak dimulakan projek itu untuk menghasilkan ikan-baja? Kenapakah di sekeliling lombong terbiar tidak ditanam dengan jagung dan kacang tanah dan tebu dan jadikan kawasan sekeliling itu perkampungan orang Asli? Inilah projek yang boleh melipat-gandakan taraf hidup masyarakat ini.
Kerajaan BN dan UMNO tidak akan lakukan semua itu kerana takut tidak akan dapat pengundi yang memangkah calon mereka.
Sesungguhnya itulah projek yang patut dilaksanakan oleh kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu sejak beberapa tahun dahulu lagi. Jadikanlah projek itu satu usahasama dengan rakyat yang menyumbang kepada tabung pelaburan. Tempatkan sekolah pondok di sekeliling perkampungan seperti itu. Sambil anak-anak (Taliban) belajar agama Islam mereka belajar hidup berdikari dan manaikkan ekonomi negara dan sendiri.
Apabila projek semacam ini tidak dapat difikirkan oleh pentadbiran kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu, mereka sebenarnya dilamun tiupan politik syok-syok sendiri juga. Kalaulah Idris Jusuh telah lancarkan semua projek ekonomi luar bandar di Terengganu dengan menggunakan wang ihsan, saya yakin PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi akan menghadapi kesulitan mempertahankan kepimpinan PAS di Terengganu. Sesungguhnya rakyat marhaen tidak berapa peduli siapa yang memerintah sesuatu negeri, wilayah dan negara mereka asalkan hidup mereka terjamin dengan selesa. Itu sebabnya kita perhatikan rakyat Peranchis, Switzerland dan Jerman tidak sukar menentukan parti politik mana yang boleh mentadbir negara kerana ukurannya ialah bagaimana ekonomi mereka di luar bandar dijaga oleh parti yang memerintah.
Apabila kita ambil kira faktor di atas tentu kita mudah menerima andaian bahawa rombakan kabinet Paklah adalah persis satu rombakan kabinet kayu hanyut sahaja. Tidak ada yang menarik dalam rombakan itu kerana rakyat marhaen sedar itu adalah cabinet proksi kepimpinan TKT Mahathir yang masih mempunyai pengaruh dan kuasa.
Paklah tidak berani menunjukkan ketokohan beliau sebagai seorang Perdana Menteri yang bebas daripada pengaruh TKT Mahathir, kerana nasihat orang dalam yang tidak mengkaji implikasinya secara mendalam.
Sepatutnya Paklah humban semua Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik melalui pintu belakang. Ini bererti menteri seperti Musa (Pendidikan) Aziz Shamsuddin (Timbalan Menteri Pendidikan) Zainuddin Maidin (Timbalan Menteri Penerangan) dan Hamid Othman (Penasihat agama, konon) boleh ditolak ke tepi. Di tempat mereka Paklah boleh ambil beberapa anggota Majlis Tertinggi UMNO yang belum pernah merasa menjadi Menteri ataupun Timbalan Menteri. Ataupun ambil sahaja bekas pegawai tinggi kerajaan yang ternyata pernah menunjukkan kecemerlangan mereka. Lainlah kalau manusia jenis itu memang tidak ada lagi di negara ini.
Kalau Paklah boleh lantik Nor Yaakub sebagai Menteri Kewangan (kedua), kenapa dia tidak boleh dilantik anggota Majlis Tertinggi UMNO ataupun tokoh Melayu daripada bidang swasta menganggotai kabinetnya? Apakah ada satu syarat juga bahawa Paklah tidak boleh mengetepikan semua senator itu daripada kabinetnya?
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
(suntingan M@RHAEN)
|
|