|
Orang Melayu Lebih Takutkan Mahathir Daripada Allah (Bhgn 10) |
Betulkah Paklah Menghadapi Krisis Identiti?
Akhbar perdana semalam telah memberi ruang yang luas mengenai 13 pelajar yang ditahan di Pakistan dan ketika tiba di Kuala Lumpur telah ditahan di bawah ISA. Utusan Malaysia telah menjadikan isu itu berita muka depannya dengan tajuk ‘Misi 13 Pelajar terbongkar’.
Kisah yang ditulis oleh Asuki Abas dan Azann Bakar telah mencatatkan kisah bagaimana “semua 13 pelajar yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam dihantar ke Pakistan oleh bapa atau saudara-mara masing-masing bagi menjalani latihan sebagai pelapis untuk meneruskan perjuangan militan Jemaah Islamiah (JI) di rantau ini."
“Mereka yang ditangkap sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu dihantar ke Pakistan pada sekitar tahun 1999 dan 2000 sebagai sebahagian perancangan rapi jangka panjang para pemimpin JI.
Sumber siasatan polis memberitahu Utusan Malaysia hari ini, semua pelajar tersebut dihantar ke Pakistan oleh bapa atau saudara-mara mereka yang mempunyai kaitan secara langsung dengan JI bagi menjadi kader-kader pertubuhan itu di Malaysia dan Indonesia.
Mereka semua dihantar untuk mendalami ajaran Salfiah Jihadiah bagi menjadi barisan pelapis JI yang sebenar- benarnya.”
Adalah amat sukar untuk dipercayai dakwaan ini kerana JI adalah satu pertubuhan ciptaan Amerika sejurus berlakunya Episod 911 di Amerika. Kejadian 911 itu adalah bertarikh 11 September 2001. Kalau diambil kira usia semua 13 pelajar itu sekarang dan ditolak usia mereka empat tahun dahulu semasa mereka mula-mula tiba di Karachi, kebanyakan mereka adalah berusia sekitar 13-15 tahun. (JI dicipta oleh Amerika selepas kumpulan yang dinamakannya al-Qaeda dianggap tidak dapat menambat sokongan negara-negara Islam khususnya di rantau Asia.)
Utusan Malaysia telah memaparkan semua pelajar itu dengan usia mereka waktu ini seperti berikut;
Abidzar Jaafar (18), Ahmad Muaz All Bakry (20), Eddy Erman Shaimie (19), Mohamad Akil Abd Raof(21), Mohad Tarmizi Nordin (16), Noorul Fakri Mohd Safar (17), Amin Ahamd (25), Faiz Hasaan Kamarulzaman(17), Mohd Ikhwan Abdullah (19), Mohd. Radi Abdul Razak (19), Shahrul Nizam Amir Hamzah(21), Ahmad Firdaus Kamaruddin (18), Muhammad Ariffin Zulkarnain(18).
Secara purata usia mereka sekarang adalah 19 tahun, dan kalau mereka telah dihantar belajar pada tahun 1999 bererti usia purata mereka ialah 15 tahun. Apakah ini usia yang sesuai untuk melatih manusia sebagai kader militan? Inikah calon yang terbaik untuk menghayati Salafiah Jihadiah yang merangkumi konsep iman, ilmu, amal, hijrah dan jihad? Sebagai perbandingan berapakah umur rekrut askar Melayu di negara ini?
Kalau pemergian mereka ini ditaja oleh ibu bapa dan saudara mara dengan tujuan utama mereka menjadi pelapis kepada pengganas berani mati, apakah kerajaan sudah menangkap si penaja itu semua? Jika belum lagi, kenapa gamaknya? Adalah amat malang sekali pada bulan suci ini, begitu dahsyat tohmahan yang dibuat oleh pihak kerajaan sehingga membabitkan ibu bapa kanak-kanak itu yang mungkin berkorban besar mengirimkan belanja kepada anak-anak mereka belajar di sana.
Soalannya sekarang berapa lamakah mereka akan ditahan? Apa kesudahannya nanti? Apakah mereka akan dibebaskan selepas ada yang sanggup mengaku untuk membabitkan nama-nama tahanan ISA yang ditangkap kerana menjadi anggota KMM. Apakah kemungkinannya kumpulan yang dikatakan anggota KMM itu ditohmah sebagai anggota al-Qaeda pula? Apakah kemungkinannya ada yang diasuh untuk menuduh bahawa perbelanjaan mereka itu dibiayai oleh parti pembangkang ataupun akhbar Harakah?
Memang semakin jelas kini, Paklah tidak berniat mahu mulakan satu pentadbiran yang bersih, telus dan cekap seperti yang digembar-gemburkannya. Semakin terserlah betapa Perdana Menteri Kelima ini memang Dua Kali Lima dengan orang yang digantinya.
Beberapa tahun yang lalu, kerajaan telah membuat tuduhan palsu mengatakan Kumpulan Al Arqam mempunyai kem latihan tentera Badar di Selatan Thailand. Apabila pucuk kepimpinan Al Arqam dapat diberkas dan pertubuhan itu diharamkan, barulah rakyat jelata tahu bahawa kem tentera Badar itu hanya ciptaan Rahim Noor dan Norian Mai dengan kerjasama dua Hamid Tongong yang mahu menonjolkan ketokohan mereka.
Begitu juga semasa Kumpulan Al Maunah berada di Bukit Jenalik Hilir. Mereka dikatakan berkumpul di satu bukit yang mempunyai terowong rahsia membolehkan mereka menyusup keluar sempadan Malaysia Thai. Sebetulnya bukit itu hanya bukit kecil sahaja yang boleh didaki oleh kapcai hanya empat ratus meter daripada jalan raya. Yang lucunya semasa berkumpul di situ tidak ada kesan mereka membawa bekalan makanan dan selama empat hari tiga malam itu siapakah yang membekalkan nasi bungkus kepada mereka? Kerana tidak mahu rakyat marhaen mengetahui cerita sebenarnya, semua tahanan itu diserkup mengikut ISA, semata-mata mahu memuaskan hati TKT Mahathir sahaja.
Sekarang kumpulan pelajar ini dikatakan dirancang menerima latihan di Kashmir dan Afghanistan pula. Alangkah pelik tuduhan itu semua, kerana selama ini tidak ada satu rusuhan pun yang menampakkan mereka menggunakan latihan dan pengalaman militan itu di mana juga di negara ini.
Saya pernah menulis bahawa pengharaman Al–Arqam adalah bermotif politik yang membawa kesan melumpuhkan rangkaian perniagaan runcit bangsa Melayu. Inilah rencana yang mendahului konsep perniagaan ala-francais yang ditaja oleh UMNO.
Berdasarkan tipu muslihat kerajaan TKT Mahathir satu ketika dahulu dalam mengharamkan Al Arqam, dan segala tipu muslihat penangkapan ramai Melayu yang tidak berdosa dan menuduh mereka sebagai kumpulan KMM, saya yakin penangkapan 13 pelajar Melayu itu kalau tidak ditangani dengan bijak dan hati-hati, akan merupakan titik-tolak lingkupnya kerajaan sementara pimpinan Paklah.
Salah satu asas kenapa pelajar itu dikatakan bergiat aktif dengan JI, ialah kerana enam orang antara mereka merupakan bekas penuntut Sekolah Islam Lukmanul Hakim di Ulu Tiram Johor, yang turut “dikenalpasti sebagai tempat latihan kader-kader JI di rantau ini”.
Jika demikian kenapakah mereka tidak ditegah semasa mahu keluar negara untuk melanjutkan pelajaran sedangkan sekolah itu sudah diarahkan tutup pada Januari 2002?
Rakyat marhaen amat mengharapkan Paklah dapat menggunakan kebijaksanaan menyelesaikan perkara ini sebelum ia membesar menjadi satu isu yang akan meruntuhkan kerajaan Paklah. Apabila ini berlaku, UMNO dan Paklah boleh runtuh sama. Kesan yang mahu dielakkan ialah perpecahan di kalangan Melayu yang tidak mungkin dapat diperbaiki semula. Rakyat sedar kalau semasa Anwar Ibrahim ditangkap dahulu pihak polis boleh mengada-adakan bahan bukti yang tidak masuk akal tetapi diterima oleh Hakim Beruk Augustine Paul, apa susahnya menyebut pelbagai alasan dan dalil untuk memerangkap 13 pelajar yang masih mentah ini? Namun demikian, oleh kerana kebanyakan pelajar ini adalah anak-anak muda yang tentunya tidak berdosa, saya yakin kesannya akan mendatangkan bencana besar kepada UMNO dan Paklah sendiri satu hari nanti.
Paklah dengan Masalah identiti beliau
Sama ada beliau sedar ataupun tidak, dan kalaupun sedar secara bersendirian ataupun bersama dengan kumpulan pemikirnya, Paklah semakin menyerlahkan satu masalah besar yang sedang dihadapinya. Sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima Paklah sedang dihantui satu krisis identiti yang mungkin dia sendiri tidak mengakuinya.
Satu ketika dahulu semasa TKT Mahathir pergi bercuti, Paklah telah tersilap membenarkan isterinya terlibat dalam satu konspirasi ‘Sisters in Islam’ yang memulakan kempen anti-poligami. Mungkin Paklah tidak diberitahu secara terperinci apakah tujuan kempen itu, sedangkan ia ternyata bertentangan dengan ajaran Islam. Ada pihak yang mengatakan kempen itu sengaja dirancang oleh kem TKT Mahathir agar melibatkan Puan Seri Endon yang memang ghairah mahu menonjolkan ketokohannya sebagai ‘First Lady in-waiting’ ataupun bakal wanita utama yang menunggu gilirannya.
Apapun yang sedang dilakukan oleh Paklah, oleh isterinya, anak-anak serta menantunya, tentu mendapat liputan akhbar sekarang ini kerana sudah menjadi tabiat media massa mencari setiap bahan yang ada menonjolkan seorang pemimpin utama yang baru memanaskan kerusinya.
Krisis identiti ini semakin ketara walaupun Paklah dan kumpulan seranta beliau terus menonjolkan satu imej kepimpinan yang begitu serius mahu membasmi rasuah, tidak mahu pembodek dan mahu semua orang bercakap benar.
Sama ada Paklah sedar ataupun tidak rakyat jelata amat kritis dalam penilaian mereka kerana mereka meneliti setiap langkah yang dihayunnya dan setiap bait tutur katanya. Semua penelitian itu dibandingkan pula dengan ragam dan gaya yang telah ditonjolkan selama 30 tahun dahulu oleh TKT Mahathir. Apabila perbandingan dibuat akan tercetus perasaan kehampaan kebanyakan mereka, kerana Paklah tidak mampu menyaingi ketrampilan Mahathir baik dalam gaya cakap, ketegasan dan keangkuhan. Yang paling ketara ialah gaya TKT bercakap penuh retorika yang bersalut segala pembohongan. Tetapi oleh kerana pembohongan itu dibuat secara selamba dan penuh ketegasan, pendengar dan pemerhati terpesona pada ketika itu tanpa menyedari apa yang dituturkan itu benar-benar satu kepalsuan.
Dengan kata mudah, negara ini sedang mengalami peralihan pucuk kepimpinan pentadbir di mana Paklah adalah seorang pemimpin yang cuba seberapa yang termampu untuk menampilkan satu ketokohan yang dapat meyakinkan semua pihak.
Akan tetapi dalam bidang percakapan, bukan mudah untuk seseorang itu menunjukkan kebolehan menguasai keadaan kerana ia memerlukan satu latihan yang lama. Ia merupakan satu bakat semula jadi yang perlu diasah dari masa muda lagi. Inilah yang ada pada TKT Mahathir dan begitu kurang ada pada Paklah. Alhamdulillah.... kita harapkan Paklah dapat mengasah bakat itu secara perlahan-lahan tanpa memaksa dirinya sehingga ia kelihatan kekok dan tidak bersahaja.
Kalau Paklah dapat mengamalkan perkara ini dia pasti dapat menguasai keadaan krisis yang sedang dihadapinya kini. Lambat laun rakyat akan sedar bahawa Paklah adalah bersikap ‘natural’ tanpa perlu terjerit-jerit dalam ucapannya yang membuatkan ucapan itu mendatar dan tidak bermakna sehinggakan mesej ucapan itu hilang di sebabkan keributan orang memahami gaya penyampaiannya.
Rakyat dari setiap lapisan masyarakat mudah membuat perbandingan dalam penyampaian mesej Paklah dengan TKT Mahathir. Sekali gus mereka tidak berupaya memberikan markah tinggi kepada Paklah kerana adanya apa yang disebut sebagai “sedikit kureng...” akan tetapi, kelemahan ini pasti dapat ditebus dengan markah yang tinggi seandainya Paklah berani melaksanakan beberapa perkara berikut yang ada kaitan dengan kebolehan beliau memimpin:
a) Paklah perlu kotakan kata-katanya untuk memperbetulkan segala kepincangan pentadbiran yang disaluti korupsi, kolusi dan kronisme. Setakat ini kita dengar pelbagai kisah betapa Paklah dan orang-orangnya memang berusaha menjauhkan diri daripada penyamun dan penyangak yang mahukan keistimewaan dan habuan politik terus diberikan kepada mereka seperti mana yang diberikan oleh TKT Mahathir dahulu;
b) Paklah harus membebaskan semua tahanan ISA termasuk Anwar Ibrahim. Sekali gus Akta ISA itu akan dilihat sebagai satu Akta yang lambat-laun akan diketepikan;
c) Paklah harus adakan pertemuan dengan semua pihak yang mewakili rakyat marhaen – persatuan pengguna, persatuan pemandu teksi, persatuan pemilik bas sekolah, ketua semua kesatuan sekerja dan NGO untuk mendapat pandangan mereka apakah bentuk negara yang mereka ingini.
Hanya dengan pertemuan sebegini Paklah dapat menurunkan kemarahan rakyat marhaen terhadap penyelewengan pentadbiran TKT Mahathir selama ini.
Paklah harus tukar semua peneraju utama akhbar propaganda UMNO yang selama ini bertanggungjawab dengan putar-belit serta pembohongan maklumat.
Kita nampak sekarang ini ramai muka-muka tunggul kayu lapuk sudah tidak diberi ruang publisiti dalam akhbar. Malahan muka-muka senator yang menjadi anjing salak TKT Mahathir nampaknya semakin kurang bersuara. Ini mungkin satu strategi Paklah mahu mereka mengurangkan suara agar kemarahan rakyat akan reda. Tetapi Paklah mesti sedar rakyat marhaen mempunyai harapan yang amat tinggi kepada Paklah meringankan bebanan hidup mereka gara-gara tertekan begitu lama oleh kesan pembaziran TKT Mahathir.
Adalah lebih baik kalau Paklah bubarkan Parlimen dan tetapkan pilihan raya umum secepat mungkin. Saya yakin kerajaan yang baru nanti merupakan satu kerajaan campuran di mana Paklah akan berkongsi kuasa dengan pihak pembangkang yang sanggup bersepadu menubuhkan kerajaan dengannya.
Sama ada Paklah suka ataupun tidak, hari dia mengambil alih jawatan PM daripada TKT Mahathir, bermulalah satu episod di mana iklim politik Malaysia akan berubah kerana dihumban di satu persimpangan. Rakyat akan disogokkan dua pilihan sama ada mahu merelakan kesinambungan satu dinasti kodi ataupun berani berdepan menghumbankan dinasti itu jauh-jauh.
Inilah pilihan yang amat difahami oleh hampir semua pemimpin UMNO dan BN. Inilah juga situasi yang mahu mereka elakkan, kerana kesannya nanti akan membabitkan banyak peristiwa di mana ramai antara mereka yang akan disumbat dalam penjara.
Sesungguhnya orang-orang Paklah tidak perlu mencetuskan penning lalat memaki cara mana mahu memperbaiki krisis identiti Paklah. Adalah lebih baik mereka fikirkan apa yang akan jadi kalau kerajaan baru nanti menubuhkan Kementerian Penebusan Harta Rakyat Yang disamun oleh dinasti kodi? Dalam bahasa Inggeris Kementerian itu boleh diberi nama Ministry for The Recovery of Stolen Assets. Kementerian seperti ini sudah pasti akan diwujudkan oleh parti pembangkang satu hari nanti. Ini juga akan menjadi satu pra-syarat parti pembangkang yang diajak menubuhkan kerajaan baru apabila BN kalah dalam pilihan raya umum nanti. Sekali gus ini bermakna akan ada proses memilik-negarakan aset pemimpin BN dan UMNO yang dicuri daripada rakyat marhaen. Kita sudah nampak riak-riak wujudnya ketakutan di pihak-pihak tertentu yang sudah mula menjual saham mereka dalam BSKL sejak satu minggu ini menyebabkan indeks komposit terus menurun. Golongan seperti ini sudah lama sedar bahawa hidup ini adalah laksana putaran pedati di mana setiap yang naik akan berputar untuk turun juga.
Kita kemukakan isu krisis identiti Paklah ini kerana kita mahu rakamkan berita angin yang dibuat oleh musuh-musuh Paklah dalam UMNO yang memperkecilkan keupayaan beliau terus memimpin UMNO dan negara. Sebagai seorang yang pernah mengenali Paklah sejak zaman GPMS lagi, memang saya boleh katakan Paklah tidak pandai berucap berapi-api seperti Sukarno ataupun pandai kelentung macam TKT. Tetapi apa bezanya ucapan Paklah dengan ucapan Tunku Abdul Rahman Putra? Di tahap awal Tunku berucap dalam bahasa Melayu dahulu, caranya begitu mendatar semacam Paklah juga. Tetapi rakyat menjadi biasa kerana faham Tunku amat ikhlas memimpin negara.
Apa pun yang Paklah lakukan sekarang termasuk pelbagai helah untuk melencungkan perhatian rakyat daripada memahami kegetiran ekonomi negara gara-gara kemuflisan yang semakin melanda, Paklah perlu mengisytiharkan tarikh bila pilihan raya umum itu akan diadakan.
Lupakan sahaja krisis identiti itu dan lupakan juga kerja gila-gila menangkap orang yang tidak berdosa dengan hukum-hakam ISA. Pentingkan upacara berterus terang dengan rakyat marhaen sebelum mereka mula membanjiri jalan raya untuk menuntut hak mereka yang dinafikan selama ini.
Hentikan segala penipuan bahawa wujud pasukan pelapis JI di negara ini yang menerima latihan di Kashmir, Afghanistan, Thailand dan di mana sahaja. Bebaskan semua tahanan ISA yang dituduh sebagai anggota Al Maunah, KMM, JI dan apa lagi yang diautakan selama ini.
Kalau rakyat marhaen mula membanjiri jalan raya bererti mereka sudah muak dengan krisis identiti mereka. Tentunya ketika itu berpuluh trak air asid dan ratusan tembakan peluru asap pemedih mata tidak akan dapat menyekat kebangkitan mereka.
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
13.11.2003 (suntingan M@RHAEN)
Sila berikan
komen/respons
kepada artikel ini.
Artikel-artikel
berkaitan: (sekiranya artikel berikut tidak
terdapat di sini, sila cuba di tapak sokongan M@RHAEN yang lain)
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 1
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 2
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 3
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 4
MMMM13
- Melayu Sudah Lama Kecewa Dengan Mahathir
Marhaintua: Melayu
Juga Yang Hancurkan Melayu
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Maklumat semasa
boleh disemak di Forum M@RHAEN.
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN. |