KEPEMIMPINAN ULAMA: KHURAFAT ATAU SUMPAHAN?
Oleh Mandalaputra

Apabila Annuar Musa dilantik sebagai pemimpin Umno di Kelantan, MB Tuan Guru Nik Aziz menyifatkannya sebagai bertukarnya tayar kereta Umno. Tuan Guru kata, “Umno tukar tayar lagi”. Kini, Pas dalam rangka melakukan perubahan kepemimpinan yang dikira dapat memperkasa parti, demi mengangkat semula maruah parti yang dikalahkan dalam pilihan raya lalu. Ertinya Pas sedang membelek-belek tayar baru bagi menggantikan tayar lama yang sudah botak dan telah menggelincirkan parti dalam perlumbaan yang sengit!

Sekarang yang dilagukan oleh orang Pas di Kelantan ialah Husam Musa sebagai Naib Presiden Pas di samping Nasaruddin yang sekarang SU Agung Pas. Timbul idea baru agar Mat Sabu sebagai satu lagi calon Pas ke Naib Presiden. Mat Sabu telah bersaing dalam pemilihan lepas, tetapi gagal! Isu besarnya di sini ialah Husam dan Mat Sabu yang sudah diterima sebagai tokoh sekalipun mereka bukan ulama/ ustaz atau Tuan Guru.

Kenapa Husam dan Mat Sabu? Tidak adakah ulama muda (itu projek Dewan Pemuda Pas) yang berwibawa sebagaimana Husam dan Mat Sabu? Jawabnya memang tidak ada. Begitulah dalam Pas, mereka yang dikira hebat dan lincah dan paling bersinar, jawatan tertinggi yang boleh dicapai ialah Naib Presiden. Beruntunglah ustaz, tak pernah bertarung dengan polis pun akan menjadi Timbalan Presiden dan Presiden. Sebab itulah Ustaz Azizan Razak menang Naib Presiden, Mat Sabu kalah. Biar semua tahu Mat Sabu lebih hebat berbanding Azizan Razak, Mat Sabu mesti dikorbankan demi seorang ustaz dalam program kepemimpinan ulama!

Di Kelantan jawatan Husam sudah klimaks. Sehebat mana manusia Husam, kerana dia bukan ustaz, tak mungkin ditabal sebagai MB. Timbalan MB pun tak termimpi. Lalu dikatakan orang, golongan bukan ustaz (disebut professional) hanya menjadi tukang rancang dan kerja untuk para ustaz. Yang bertakhta ialah ustaz/ulama/tuan guru. Kalau bukan ustaz jangan cuba-cuba mencuit kerusi Timbalan Presiden apa lagi Presiden. Dia akan menanggung sumpahan yang sangat berat! Dr Hassan Ali dan Mustapha Ali sudah boleh berkira-kira nak buat bisnes apa selepas ini (MLM kot!). Tempatnya akan diganti Husam dan Mat Sabu.

Baguslah ulama menjadi pemimpin besar dalam parti dan kerajaan Pas. Namun sudahkah difikir dan dikaji sedalam-dalamnya keberkesanan HANYA ulama sebagai pemimpin. Dulu almarhum Ustaz Fadzil mengatakan Khurafat jika hanya Umno sahaja yang boleh memerintah Malaysia. Samalah, jika hanya ulama yang boleh memimpin Pas, itu pun khurafat juga! Apabila ulama yang dimestikan menjadi pemimpin, sudah menjadi satu kasta elit dalam Pas.

Jangan mudah mengatakan Anwar Ibrahim masuk Umno dahulu kerana fikrah yang songsang atau munafik dalam perjuangan. Anwar telah menduga, jika beliau menyertai Pas tahun 1980-an dahulu, setakat Naib Presiden sajalah tahapnya. Ironisnya, Anwar yang bukan ulama itu sekarang dipuja oleh ustaz-ustaz dalam Pas malah dipersetujui pula untuk dijadikan PM jika BA menang dalam pilihan raya 1999!

Salahkah jika kepemimpinan ulama membenarkan bukan ustaz menjadi Presiden? Budak-budak muda di kampung sedang berfikir, apalah salahnya jika kena pada suasana dan zamannya, seorang jurutera atau peguam menjadi Presiden Pas. Gaya kepemimpinan ulama yang ada sebenarnya langsung tidak menarik minat anak-anak muda mendekati Pas. Sikit-sikit salah dan haram! Nak sebut sesuatu benda yang baik, berjela-jelalah tafsir Qurannya. “Kita orang mudalah tok, tahu halal dan haram, tapi lecehlah kalau nak buat gaya rambut Ramli Sarip pun kena perli!”

Kesimpulannya, kepemimpinan ulama bukanlah terbaik dan tak boleh diubah pendekatannya. Namun sekarang kebanyakan ahli Pas sudah taksub dengan stail ulama. Antara sebab kebanyakan ahli JIM tidak menyertai Pas ialah skop kepemimpinan ulama itu yang menyebabkan mereka kurang diberi peranan. Apakah Saari Sungip tidak ada kredibiliti menjadi Presiden Pas pada masa akan datang?

- Mandalaputra - 04.03.2005  (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: