Desak Habis-Habisan Mengenai Politik Wang
Oleh Mandalaputra

Sdr Pengarang,
 
Dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Berang, saya berpijak di bumi nyata. Saya tidak nampak Pas akan menang di sana. Sifirnya mudah: pilihan raya ini akan menggunakan mekanisme yang digunakan dalam PR Umum lalu. SPR terus berperan menjadi pemangkin kemenangan BN-Umno. Sehingga kini, setelah diasak oleh pembangkang, apa yang dilakukan oleh SPR? Tidak adakan? Oleh itu janganlah kecewa jika BN akan terus bermaharaja gila di Kuala Berang! Orang Pas janganlah marah membaca tulisan saya. Teruskan agenda partai, mungkin ada hikmah yang saya tidak dapat menebak di sini.
 
Harapan saya cuma yang ini saja. Oleh kerana PR Kecil itu berlaku sebelum pemilihan Umno, maka desak dan paksalah Umno mengisytiharkan bahawa politik wang itu rasuah dan haram sekalipun mengikut mazhab Islam Hadhari. OK, sekarang Umno (kononnya) melarang apa yang dimaksudkan politik wang. Sebenarnya maksud politik wang kepada Umno tidak berbeda dengan rasuah semasa PR Umum atau PR Kecil.
 
Apa yang dilarang dalam pemilihan Umno seperti memberi hadiah, wang, belanja makan, belanja melancong dan 1001 pemberian adalah politik wang yang dimaksudkan rasuah. Semua perkara yang kononnya politik wang (rasuah) itu juga adalah amalan mereka dalam setiap PR. Sebab itu inilah masanya Barisan Alternatif khasnya Pas yang bakal bertanding menyerang habis-habisan pemikiran politik wang Umno sehingga Umno memberi respons. Misalnya jika mereka mengatakan dalam PR amalan itu bukan politik wang (rasuah-haram!) apa hujahnya. Jika mereka terpaksa mengatakan amalan itu tetap politik wang sama ada dalam Umno atau PR, apakah tindakannya selepas itu.
 
BA wajib mendesak atau menekan habis-habisan sekurang-kurangnya dapatlah rakyat diajak berfikir. Saya kata "rakyat diajak berfikir", barangkali sekadar itulah harapan saya. Kalau ada yang sanggup menolak BN kerana telah berfikir Umno double standard dalam memberi maksud politik wang, salut habis kepada mereka!
 
Apa pun selamat berjuang.

- Mandalaputra - 11.08.2004 (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: