PERLUKAH PAS DIREFORMASIKAN?
Catatan 1: PAS untuk orang tua atau orang muda?

Tidak syak lagi, kini selepas kalah teruk dalam pilihan raya 2004, PAS akan berdepan dengan persoalan besar. Jika selepas tahun 1999, PAS bersorak kerana Umno sudah ditolak oleh bangsa Melayu, kini giliran PAS menanggung derita Umno empat tahun lalu. Lupakanlah seketika faktor pihak BN-Umno dan kecurangan SPR, renunglah diri PAS sendiri dalam mencari jawapan kekalahan PAS.

Jika dahulu Umno dituduh sebagai parti orang tua kerana dominasi Dr Mahathir, kini dominasi TG Nik Aziz dan TG Hadi Awang terhadap PAS meresahkan golongan muda. Orang muda bertanya, apakah suara orang muda dapat didengar oleh Tuan-tuan Guru berserban itu? Jika musuh PAS, Umno mengagumi personaliti Datuk Kamaruddin Jaafar dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, dalam PAS suara mereka tenggelam.

Umno telah bangkit dengan melahirkan Puteri Umno. Tak mengapa meniru Umno, lahirkanlah Puteri PAS, bukankah ada Pemuda Umno dan ada Pemuda PAS? Pemuda PAS kata mahu lahirkan ulama muda, siapakah tokoh tersohor itu dan bagaimana rupa personalitinya? Inilah silapnya PAS yang telah menyebut rancangannya tetapi tidak membuktikan hasilnya walaupun dalam parti sendiri.

Catatan 2: Masa depan golongan bukan ustaz.
Sudah ada luahan di kalangan ustaz dalam PAS bahawa parti seperti mengutamakan golongan bukan ustaz (selalu dibaca professional). Kemasukan Datuk Hassan Ali memang memberi kesan besar terhadap golongan bukan ustaz terhadap PAS. Jika kepemimpinan Datuk Asri Muda dahulu dianggap oleh golongan ustaz sebagai tidak jelas dan perlu digusurkan, maka bagaimana masa depan bukan ustaz pada zaman kepemimpinan ulama?

PAS sudah ada Mursyidul Am yang mesti ulama besar. PAS ada Dewan Ulama yang sangat berpengaruh. Jawatan Presiden tampaknya mesti di kalangan ustaz dan seolah-olah tidak mungkin jatuh ke tangan bukan ustaz. Lihatlah hierarki kepemimpinan PAS sekarang. PAS sanggup menerima Datuk Hassan Shukri yang lebih tua daripada TG Hadi Awang sebagai Timbalan Presiden semata-mata kerana Mustapha Ali bukan ustaz. PAS melihat pendidikan Datuk Hassan sebagai syarat mendaki tangga Presiden sedangkan Mustapha Ali jauh berkaliber dan berwibawa sebagai pemimpin. Tidak pelikkah, Timbalan Presiden hanya menjadi penonton pertarungan pilihan raya, tidak turun sendiri bertarung sebagai calon.

Jika PAS telah membekukan golongan bukan ustaz setakat Naib Presiden sahaja, janganlah terlalu mengharap penyertaan berbondong-bondong golongan bukan ustaz ke dalam PAS. Tambahan pula imej golongan ustaz sebagai peneraju parti kini dalam perhatian kritikal semua pihak dalam dan luar parti. Persoalannya ialah apakah PAS tidak mantap sebagai parti Islam jika Presidennya bukan daripada golongan ustaz?

Catatan 3: Mencari Ustaz Fadzil Noor baru
Sewaktu Ustaz Fadzil meninggal dunia sebagai Presiden PAS, seolah-olah rumpun pun tunduk memberi tabik hormat terakhir. Tidak kira siapa mereka, dari TPM Pak Lah sehingga kanak-kanak kecil berbondong-bondong memberi penghormatan. Almarhum Ustaz Fadzil dihormati dan disegani kawan dan lawan! Dengan kalahnya PAS zaman TG Hadi Awang, suara mengkritiknya tidak dapat ditahan lagi walaupun di kalangan ahli parti. Orang merindui gaya Almarhum Ustaz Fadzil yang dapat menarik jutaan sokongan.

Siapakah jelmaan Ustaz Fadzil sekarang? Anak Almarhum pun tidak ditonjolkan sebagai pelapis dalam PAS. Ada pendapat mengatakan Datuk Haron Din adalah jawapan kepada ketiadaan Ustaz Fadzil. Datuk Haron seorang ulama tetapi tidak berjubah dan berserban, gaya yang disenangi oleh kebanyakan pihak. Namun Datuk Haron pula tidak duduk dalam hierarki kepemimpinan utama, beliau sekadar menjadi Ketua Penerangan, jawatan lantikan sahaja.

- Mandalaputra - 01.04.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN