PETIKAN DRP MALAYSIA TODAY
Mahfuz: Dedahkan kertas siasatan JAWI

Oleh Zulkifli Mohamed
www.malaysia-today.net 4 Mac 2005
 

Hj Mahfuz Omar

BUKIT MERTAJAM- 2 Mac: “Saya mencabar kerajaan membenarkan pihak penguatkuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) mendedahkan kertas siasatannya tanpa pindaan, termasuk menyiarkan sekali gambar-gambar suasana keadaan malam itu, yang melibatkan penangkapan artis Jeslina Hashim iaitu anak saudara Datuk Shahrizat Jalil.”

Demikian cabaran Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat, ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Hadharah bukan Hadhari” di Galeri Pejuang, Cherok Tokkun, semalam.

Gesaan Mahfuz itu, berikutan tindakan JAWI yang menarik balik saman terhadap 100 pengunjung kelab malam The Zouk, Ampang yang dipercayai mengadakan pesta arak di kelab itu pada 13 Januari lalu.

Soal beliau, “Apakah Islam Hadhari tajaan Umno menganggap tindakan JAWI menahan umat Islam yang meminum arak dan berkelakuan tidak senonoh itu salah?”

Jelasnya, jika benar Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan iaitu di antara sepuluh prinsip asas pelaksanaannya, tentulah tidak berlaku pembatalan saman oleh pihak JAWI.

Sepatutnya, katanya biarlah mahkamah tentukan sama ada tindakan JAWI itu salah atau tidak, bukannya pemimpin Umno bertindak menyalahkan JAWI.

Sebab itu, katanya, Islam Hadhari hanyalah satu istilah untuk mengelirukan orang Melayu bagi mengekalkan sokongan kepada Umno, dan bukannya untuk memandu rakyat ke arah Islam sebenar.

Isu penangkapan 100 pengunjung Islam di “The Zouk” oleh JAWI mendapat bantahan keras pemimpin Umno, antaranya oleh Datuk Shahrizat Jalil, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Noraini Ahmad, Ketua Puteri Umno, dan Zainah Anwar; Sisters In Islam.
 

Ustaz Sidek Noor

Ustaz Sidek Noor, yang turut berucap sebelum itu, menganggap Islam Hadhari bertujuan menghalang kemaraan Islam di negara ini yang dipelopori PAS. Beliau selaku AJK PAS Perak, turut menyoal keikhlasan kerajaan memperkenalkan konsep itu.

“Tidak ada satupun kelab malam, premis judi atau kilang arak yang ditutup atau dikurangkan. Yang ada, maksiat semakin bertambah sejak Islam Hadhari diperkenalkan,” katanya.

Sementara itu ketika bercakap kepada Malaysia Today berkaitan cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), Mahfuz menjelaskan,

“Saya bersetuju dengan pandangan Datuk Abdullah Mohd Zin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang tidak bersetuju dengan penubuhan IFC. Tetapi dalam masa yang sama, kita sentiasa mengalu-alukan program dialog antara agama dan program silang budaya antara pelbagai kaum di negara ini.”

Menurutnya lagi, apabila Perdana Menteri meminta ditangguhkan, bermaksud beliau tidak peka dengan bantahan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini dan bercanggah dengan kenyataan menteri yang menjaga hal ehwal Islam di negara kita. Beliau perlu tegas dalam hal ini.

http://www.malaysia-today.net/blog/2005/03/mahfuz-dedahkan-kertas-siasatan-jawi.htm

04.03.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: