ABDULLAH LEBIH ZALIM DARIPADA MAHATHIR?
Kiirman: Wartawan Rasmi Laman Reformasi
Sudah hampir 1 tahun Pak Lah anak dan cucu alim ulama di Utara semenanjung ini menduduki takhta sebagai Perdana Menteri yang ke-5 setelah dilantik oleh Mahathir Mohamed yang terpaksa melepaskan jawatan gara-gara tidak tertahan dengan tekanan masyarakat Malaysia dan Antarabangsa khasnya setiap kali beliau melakukan lawatan ke luar negara terutamanya masyarakat Eropah. Namun Pak Lah cuba ditonjolkan sebagai seorang panglima perang dalam UMNO dengan berbagai retorik yang menarik.

Sehingga kini, sudah banyak kali juga Pak lah sudah membohongi rakyat jelata Malaysia dengan retoriknya untuk membanteras rasuah, Namun kesalahan yang paling besar sekali ialah menipu orang Melayu dalam pilihan raya yang berlangsung pada 21 Mac lalu. Kita tahu siri pembohongan ini akan berterusan dari lawatan ke benua Asia sehinggalah ke benua Eropah, beliau akan ditonjolkan sebagai seorang pahlawan agung Bangsa Melayu abad ini. Namun sejauh mana pembohongan yang dilakukan oleh akhbar arus perdana tidak akan kita ketahui bila tarikh luputnya.

Dari siri pembohongan dalam pilihan raya, kes tahanan ISA (sehingga Hishamuddin Rais menulis warkah dalam MalaysiaKini), penangkapan wayang-wayang perasuah, sehinggalah kepada siri lawatan beliau ke Britain baru-baru ini yang tidak di siarkan ialah bagaimana akhbar The Guardian telah menanya beliau perihal Anwar Ibrahim dan rawatannya di Jerman. Sama seperti mentor yang melantiknya, si pembohong akan tetap menjawab dengan nada selamba dan tetap berbunyi satu pembohongan di mana Pak lah menjawab bahawa di Malaysia juga ada pakar yang merawat bahagian tulang belakang, cuma kaedahnya berlainan. Maka sebab itulah gamaknya Tony Blair akan melakukan lawatan kerana ingin melihat kemajuan yang dicapai di Malaysia.

Sebenarnya untuk mengukur keadaan kezaliman ini tidaklah mudah. Perwatakan, tindakan, percakapan, perbuatan seseorang sudah mudah diketahui oleh para pakar psikologi yang telah mengkaji buku-buku setebal langit tidak berbumbung. Berbagai teori dan praktiknya para pakar psikologi memberi pendapat dan maklumat dalam buku-buku kajian mereka. Maka dari segi teorinya tidak mudah untuk meneka si zalim dalam cerita-cerita psikologi ini.

Jelas sekali Pak Lah tidak akan membenarkan apa-apa pun urusan yang berkaitan dengan Anwar Ibrahim ini ditonjolkan, bukan kerana beliau ini zalim, cuma tidak sesuai pada masa pemerintahannya. Kelemahan beliau ada dalam kocek Anwar sewaktu Anwar mengambil alih Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang. Siapakah yang melingkupkan syarikat bas Melayu Pulau Pinang? Suatu ketika dahulu syarikat bas ini dipunyai oleh persatuan ahli perniagaan Melayu Pulau Pinang. Agak gah juga di Bandar yang kaum Melayunya terhimpit di tengah kemajuan bangsa lain selayaknya mempunyai syarikat bas Melayu sendiri. Tapi, di bawah telunjuk siapakah syarikat ini di perlingkupkan. Jawapannya Abdullah, pada ketika beliau menerajui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Bagaimana pula dengan keazaman Abdullah untuk membantu Melayu Pulau Pinang? Takkan tak nampak di depan mata? Harta Melayu dah punah-ranah di Pulau ini. Kalau ada kuasa tapi bertumpu kepada kemelut Anwar dan Islam Hadhari maka agenda membantu Melayu Pulau Pinang akan juga terjejas. Sekarang Abdullah merupakan orang nombor satu dalam negara. Anak-pinak kaya raya, menantu pula dilantik berkuasa sebagai penasihat dan juga tukang jaja. Isteri pula sihat sejahtera, cuma kenapa Anwar didera?

Jangan bandinglah kalau nak cerita jasa Anwar untuk mengembalikan kedudukan Melayu. Terutamanya Melayu Tanjong Tokong dan Melayu yang tak ada rumah kos rendah. Kalau tak ada Melayu, tinggal tokong sahaja di ketika itu. Anwar pantas mengambil jalan menyelamatkan masyarakat Melayu di Tanjong Tokong yang tidak berpuas hati dengan kedudukan Flat mereka. Itu sedikit coretan yang digambarkan Abdullah akan membantu Melayu Pulau Pinang.

Bagaimana pula dengan kezaliman ke atas Anwar. Dari segi teorinya, Abdullah tak akan berbuat apa-apa pada Anwar. Beliau lebih suka musuhnya itu merempat, melanus, meringkuk, patah semangat, lumpuh, lara di dalam penjara Sungai Buloh. Tak ada sesiapa pun dalam bumi Malaysia ini yang boleh lakukan apa-apa pun, hatta ketua pembangkang sekali pun, hatta berbondong-bondong rakyat sekali pun jika dinamakan si zalim memerintah.

Wajah dan perwatakan berbeza. Jika dahulunya sasaran di kaca televisyen menjadi medan menghentam Anwar oleh Mahathir Mohamed, tapi Abdullah berbeza apabila diam menikus tidak mengeluarkan sebarang komen sehinggakan rakyat marhaen tidak mengetahui perkembangan Anwar Ibrahim jika tidak ada sebarang berita elektronik alternatif yang lain.

Sayang sekali di tengah-tengah kegagahan dan rakyat hampir percaya kepada cerita dongeng penglipur lara zaman dahulu kala di mana sang wira akhirnya diselamatkan oleh para dewata dari kayangan, maka kisah Anwar ini umpama sebuah penglipur lara oleh para tukang karut untuk meluahkan rasa hina-dina kepada rakyat marhaen akan keprihatinan sang dewata tadi untuk melepaskannya. Malangnya cerita dongeng sebelum pelantikannya sebagai seorang yang ada pegangan agamanya berbanding 4 Perdana Menteri sebelum ini yang dilihat mendapat pendidikan Barat, maka yang ini juga sebenarnya tak ubah seperti yang nombor 4. Nampaknya parti KeADILan harus bekerja kuat lagi di samping mengharap pertolongan besar dari Tuhan untuk menyelamatkan Anwar.

Selagi berharap sesiapa yang berada dalam UMNO mahu membebaskan Anwar, jangan mimpilah. Tak ada sesiapa pun dalam UMNO yang ambil pusing akan keadaan Anwar Ibrahim kini. Takkanlah Anwar bebas dan menjadi Perdana Menteri dan kawannya sanggup pula menjilat ludah. Lihat bagaimana Mahathir lakukan dan kini Pak Lah pula akan mewarisinya. Siaplah siapa yang pernah menjadi musuh-musuh mereka. Dendam si zalim tidak berakhir di sini sahaja. Ia akan lebih busuk dan membusukkan, sebagaimana yang dikarang oleh Shahnon Ahmad.

Kiriman: Wartawan Rasmi Laman Reformasi - 10.08.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: