Ditakdirkan Mahathir Nazak... Bhgn. 2
Oleh Muaalim Toyiban

Mungkin ramai orang Melayu yang tidak berfikir apakah yang akan jadi kepada negara ini kalau Mahathir mati? Daripada segi agama Islam, memikirkan perkara begitu secara bertubi-tubi mungkin menjentik fahaman tahayul seolah-olah kita tidak percaya dengan kuasa Allah. Tetapi, sebagai manusia biasa kita perlu memikirkan perkara yang serba mungkin, agar bangsa kita tidak terhimpit satu suasana laksana itik kehausan di air dan ayam kelaparan di kepuk padi. Sudah sampai masanya kita memikirkan apa yang akan terjadi apabila Mahathir nazak dan kalau sudah nazak apa yang akan terjadi apabila Mahathir mati?

Kita boleh mengemukakan pelbagai andaian seandainya Mahathir nazak. Yang pertama, ekonomi negara akan merudum bukan disebabkan keadaan pelabur asing menjadi sangsi kepada masa depan kita. Sebab sebenar, ekonomi negara yang dikatakan semakin segar kini sebenarnya digerakkan 'seolah-olah segar' oleh satu badan khas dengan menggunakan wang rakyat marhaen. Satu ketika dahulu keadaan ekonomi negara yang disebut oleh Mahathir dan juga kuncu-kuncunya adalah berasaskan keadaan pasaran saham, kerana kenaikan indeks utama merupakan satu ‘barometer’ (kayu pengukur) yang jitu kiasannya. Tetapi, kalau diambil-kira cara kenaikan indeks itu diransang, ia hanya memerlukan ‘mainan’ pintar terhadap hanya enam kaunter saham di Bursa Saham. Enam kaunter ini menguasai lebih 40 peratus kekuatan kewangan pasaran yang memudahkan kelentongan untuk menunjukkan pasaran yang cergas dan meyakinkan. Oleh kerana 60 peratus peserta pasaran saham di negara ini adalah pelabur runcit, sebarang rangsangan untuk melonjakkan kaunter saham tertentu antara enam saham terkemuka, akan diikuti oleh pelabur runcit laksana semut menghurungi gula.

Tetapi, sebarang berita Mahathir sedang nazak tidak akan dapat mempengaruhi sesiapa melabur lagi di pasaran saham sehinggalah selesai segala jadual pengebumian orang yang sudah mati.

Apa lagi yang akan terjadi?

Terlalu ramai yang menyangka kalau Mahathir mati, negara tetap berkeadaan serupa kerana UMNO mempunyai pelapis untuk menggantikan Mahathir nanti. Tetapi, siapakah yang benar-benar difikirkan layak untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri? Cuba berikan lima nama sebagai bahan perdebatan kita?

Satu, katakanlah orang itu Paklah (Abdullah Ahmad Badawi). Sebelum kita sanggup sama-sama bersetuju, kita mahu tanya beliau dulu apakah pengajiannya dalam jurusan agama Islam dengan ijazah sarjana muda mampu menonjolkan beliau sebagai Perdana Menteri baru? Cuba tanya Paklah apa kisah KOBENA? Apa sudah jadinya? Bagaimana pula dengan kontrak jangka panjang yang diperolehi oleh Dewina?

Kedua, katakanlah calon itu Najib anak Tun Razak. Apakah kelulusan akademiknya? Apakah kemungkinan negara ini akan ditadbir-urus oleh isterinya laksana Nancy Reagan berkuasa di Amerika ketika Ronald Reagan menjadi presidennya?

Ketiga; katakanalah orang itu Mahyudin Yassin. Tanya dia dulu apa kisah skandal projek Pantai Lido?

Keempat. Seandainya calon itu adalah Mohamad (Tyson) Taib. Orang akan bertanya berapa ribukah wang seratus ringgit untuk menjadi satu kilo?

Kelima: Katakanlah orang itu Tengku Razaleigh. Tentu ramai orang Melayu yang mahu bertanya apakah kerajaan BNUMNO pernah menghantar wakil memohon maaf kepada anak dan balu Abdul Jalil yang dijerut lehernya ketika membuat siasatan dalam skandal bank Bumiputra di Hongkong?

Kalau lima nama teratas dalam heiraki kepimpinan Melayu didapati tidak layak menerajui jawatan perdana menteri seandainya Mahathir mati, apa yang akan jadi kepada negara ini? Siapa lagi di kalangan Majlis Tertinggi UMNO yang difikirkan layak menjadi pengganti? Cuba berikan beberapa nama lagi. Adakah dia pakar membakar jambatan (dan layak diISAkan - M@RHAEN )? Ataupun pakar pencuri balak? Ataupun pakar membela gadis sunti?

Dengan perkataan mudah, oleh kerana tidak ada satupun calon yang sesuai menggantikan Mahathir seandainya dia mati, makanya pada hari ini Mahathir dapat bermaharajagila untuk mencengkam kuasa dan memulas telinga sesiapa sahaja di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNOBN sehinggakan apa sahaja yang diperbuat oleh Mahathir dianggap sah tanpa ada sesiapa yang berani menyanggah.

Oleh kerana inilah kekuatan Mahathir sebagai Raja Kelentong dan Raja Penyangak, tidak ada sesiapa dalam UMNO masakini yang berani menentang Mahathir.

Satu ketika dahulu Mahathir menonjolkan beberapa nama sebagai anak-didik dan anak-emas sambil memberikan mereka keistimewaan menerajui syarikat kepunyaan kerajaan dalam program penswastaan. Apa jadi dengan semua syarikat ini kalau tidak lingkup? Yang peliknya orang yang melingkupkan semua projek mega itu dibiarkan hidup senang-lenang tanpa sebarang kerugian. Kenapakah orang Melayu berdiam diri dalam hal ini? Apa jadi dengan Tajuddin Ramli yang melingkupkan MAS dan Celcom sedangkan dia kaya raya melalui Naluri dan bermegah sakan sebagai ketua utama MIGHT? Tidak ada satupun suara lantang memberitahu Mahathir ‘cukuplah tu.... berundurlah secara hormat!!”

Mahathir bermaharajagila kerana dia fikir dia akan menongkat langit dan dapat terus berkuasa sehingga satu ketika apabila salah seorang anaknya dirancang bersedia menggantikan tempat yang sedang dicengkamnya. Kalau boleh dia mahu tempatnya sebagai presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia diambil-alih oleh Siti Hasmah. Tetapi siapakah yang berani berfikiran seperti ini? Kalau itupun dapat diaturnya, akan tercabut rambut ramai ketua pemimpin wanita UMNO, kerana kebingungan bagaimana perkara itu boleh terjadi.

Satu ketika dahulu, Tun Abdul Razak sedang nazak di London, dan tidak ada isteri kesayangannya di sisi kerana Razak jarang membawa isterinya setiap kali dia menerima rawatan perubatan ataupun membuat lawatan. Sebabnya ialah mahu menjimatkan belanja. Tetapi lihat apa yang sedang terjadi? Siti Hasmah sentiasa berada di sisi dan doktor peribadi beliau dibenarkan pula membawa anak kecilnya bersama ketika Mahathir membazirkan wang rakyat jelata. Kini dia sedang melancong di Eropah dengan bertopengkan berforum dengan masyarakat perniagaan di sana. Yang lucu, forum itu semuanya diuruskan oleh ASLI yang dimiliki oleh anak lelakinya. Inikah wira dunia ketiga yang dikagumi kerana keceluparannya?

- Muallim Toyiban - 18.03.2002

Bersambung ke Bahagian 3


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!