Peluang Khir Toyo dan BN Selangor Menang 50 – 50

Juak-juak DS Dr Khir Toyo diingatkan agar jangan terlalu gembira dengan jaminan PM Pak Lah bahawa Pengamal Rasuah Terkemuka itu akan kekal mempertahankan kerusi DUN Sungai Panjang pada p/raya umum akan datang.

Menurut seorang tokoh veteran Umno Bahagian Sabak Bernam, PM Pak Lah berbuat begitu mungkin untuk mengendurkan ketegangan kerana banyak pihak di dalam Umno Selangor mendesak supaya jawatan MB diganti demi kebaikan Umno BN peringkat negeri.

“Selagi pengumuman nama calon belum diisytiharkan, tidak ada suatu pun yang boleh dikatakan muktamad. Lagi pun kita hanya mendengar kenyataan itu dari Dr Khir sahaja sedangkan kenyataan Pak Lah tak pernah pun kita dengar!” kata tokoh veteran Umno itu lagi.

Ketika diminta mengulas sama ada Selangor akan beroleh MB baru atau pun tidak selepas p/raya umum nanti, komen dari tokoh veteran Umno yang bergelar Datuk itu amat menarik:

1. Jawatan MB akan kekal disandang Dr Khir sekiranya Umno BN memenangi p/raya umum dengan majoriti 2/3.
2. Sekiranya kemenangan majoriti 2/3 tidak dapat dicapai seorang tokoh lain yang lebih berwibawa akan dilantik sebagai MB. Dr Khir Toyo hanya akan jadi ADUN biasa sahaja..
3. Jawatan MB akan disandang oleh tokoh Umno lain kerana kemungkinan besar Dr Khir Toyo akan tewas di DUN Sungai Panjang lantaran sabotaj dari dalaman.
4. Selangor akan memperolehi MB baru tetapi bukan dari Umno sebaliknya dari BA (sama ada keADILan atau pun Pas).

Beliau seterusnya mengingatkan semua pihak di dalam Umno BN Selangor supaya tidak memandang mudah saingan yang bakal diberikan oleh Barisan Alternatif.

“Lupakan sahaja `slogan pembangkang sifar`, yang penting kemenangan mesti dicapai untuk kesinambungan pembangunan. Jangan terlalu ghairah dan cakap besar kerana tidak mustahil pembangkang berupaya membuat kejutan.” tambah tokoh veteran itu.

Apa pun, tokoh veteran itu amat bimbang jika `isu rasuah` yang melibatkan Dr Khir Toyo berjaya mempengaruhi pengundi untuk menukar haluan. “Saya yakin pihak pembangkang akan menjadikan isu itu sebagai senjata utama mereka,dan kalau ini terjadi peluang Umno BN adalah 50-50.”

“Kalau Umno BN kalah nanti,jangan salahkan sesiapa sebaliknya ahli-ahli Umno bolehlah sama-sama berkongsi bala dengan Dr Khir.” kata veteran Umno itu ketika mengakhiri sesi sembang-sembang politik dengan penulis .

Apakah di saat-saat akhir nanti Pengamal Rasuah Terkemuka itu akan diarah bertanding di peringkat Parlimen atau Pak Lah sendiri yakin bahawa `isu rasuah Khir Toyo` sudah tidak lagi menyengat kerana BPR telah pun bertindak mensucikan MB Muda itu dari dosa-dosa rasuahnya.

Orang Dalam - 03.03.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN