Pengganti Khir Toyo: Bekas Ketua Pengarah BPR Tolak Lamaran

Kem Khir Toyo Kembali Ceria.

Setelah agak lama diselubungi kemuraman, kem MB Muda DS Dr Mohd. Khir Toyo dikatakan kembali ceria apabila DS Najib Tun Razak dilantik oleh `Tun Mahathir` sebagai TPM.

Dr. Khir memang dikenali sebagai salah seorang loyalis Tun Mahathir. Pertukaran baton kuasa kepimpinan Umno dan kerajaan amat tidak menggembirakan hati Pengamal Rasuah Terkemuka itu.

Sebagai orang muda keturunan Jawa yang telah dipasakkan dengan ajaran mengenang budi sejak anak-anak lagi, adalah mustahil bagi Insan Menggilai Rasuah itu untuk melupai sehingga akhir nyawa `jasa besar` Mahathir yang telah melantiknya sebagai MB Selangor

Siang-siang lagi Kem Pak Lah agak keberatan untuk menyenaraikan nama Dr Khir di dalam fail politik mereka. Ketidakhadiran Pengamal Rasuah Terkemuka itu pada sesi upacara Pak Lah mengangkat sumpah sebagai PM pada 31 Oktober tahun lepas, masih diungkit-ungkit  hingga sekarang.

Alasan menunaikan ibadah umrah yang dikemukakan oleh Khir adalah longgar. Kata salah seorang pendokong kuat Pak Lah di Selangor: “Ibadah umrah itu boleh ditangguhkan kerana masih ada yang waktu lebih sesuai. Kalau Dato Nik Abd.Aziz MB Kelantan boleh menangguhkan program-program penting yang sudah lama diatur mengapa Dr. Khir menganggap enteng upacara angkat sumpah Pak Lah. Tentu ada sesuatu yang tak kena.”

Sejak itu angin politik mula bertiup kencang membawa khabar bahawa peluang Khir untuk terus kekal di kerusi MB Selangor adalah terlalu tipis.

Sebenarnya komplot untuk mengusir Dr. Khir Pengamal Rasuah Terkemuka dari kantor paling berprestij di tingkat 23 Bangunan SUK Shah Alam sudah pun bermula sebaik-baik sahaja Pak Lah dinamakan oleh Mahathir sebagai penggantinya didalam perhimpunan Agung Umno yang historikal pada  Jun 2001 lalu.

Komplot yang menggabungkan golongan veteran dan orang baru Umno Selangor telah menjadikan isu rasuah mega dan kegelojohan MB Muda itu mentadbir politik dan kerajaan, sebagai senjata utama mereka.

Terbukti isu tersebut amat berkesan sehinggakan Khir hampir-hampir mengangkat bendera putih.

Beberapa nama telah diketengahkan sebagai bakal pengganti Khir. Di antaranya YB Dato Shafie Salleh, Timb. Menteri Kewangan, Dato Mokhtar Ahmad Dahalan, Dato Raja Idris kedua-duanya ahli Exco kerajaan Selangor dan beberapa nama lagi yang dikira layak. Nama bekas Exco Dato Hj. Aini Taib dan YB Dato Noh Omar SU Parlimen di JPM pun turut disebut-sebut.

Apa pun komplot yang dikatakan mendapat `green light` daripada kem Pak Lah itu tiba-tiba terhenyak ,apabila bekas PM Tua dilihat masih lagi mendominasi politik Umno di sebalik persaraannya.

Kegagalan Pak Lah meletakkan TS Muhyiddin sebagai TPM adalah isyarat paling jelas bahawa Mahathir masih lagi menjadi `Presiden` Umno di belakang tabir.

Dr. Khir menarik nafas lega dan mula tersenyum lebar serta melemparkan jelingan tajam kepada para penggerak komplot yang telah merancang untuk menggugat status qou nya tadi.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan sudah mula kedengaran suara-suara keras di kalangan `hard core` Pengamal Rasuah Terkemuka itu, bahawa  nasib malang pasti menimpa kelompok yang terbukti  tidak setia kepada Khir.

Peluang sebahagian besar daripada mereka untuk dicalonkan semula sebagai Adun di dalam PRU akan datang adalah amat tipis. “Yang belum pernah bertanding pula, jauh panggang daripada  api. Sure kempunan punya!” ujar mereka lagi.

Dato Zaki Hussien Bekas KP BPR  Dilamar Untuk Menggantikan  Khir Toyo

Keceriaan, kelantangan, keceluparan dan `raya sakan` kem Khir hanya mampu bertahan untuk dua tiga hari sahaja.

Perkembangan terbaru agak menggelisahkan Khir Toyo apabila penggerak komplot yang menurut sangkaannya sudah tidak berani mengangkat muka, masih belum berputus asa. Umno Bahagian Kuala Langat dijadikan pengkalan baru untuk menggerakkan semula komplotan itu.

Kali ini `prestasi buruk` Dato Abd Fatah Iskandar selaku Ketua Penaja Umno Bahagian, Adun Sijangkang dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, dijadikan isu untuk mengumpan Dato Zaki Hussien mengambil alih tempat `Panglima Perang Pasir` (meminjam bahasa penulis siber Sdr. Inderaloka)  itu..

Difahamkan jurucakap komplot tersebut yang berjawatan Exco Kanan Kerajaan Negeri telah menawarkan jawatan Menteri Besar kepada bekas Ketua Pengarah BPR itu.

Jurubicara itu meyakinkan hanya Dato Zaki yang paling layak menggantikan Khir Toyo untuk mempertahankan Selangor dari jatuh ke tangan pembangkang ;

Latar belakang Zaki sebagai Ketua Pengarah BPR yang tegas mampu memadamkan arang yang telah menghitam-legamkan wajah Umno Selangor akibat kerakusan Khir membaham rasuah.

Kredibiliti dan sejarah Dato Zaki itu juga boleh melonglaikan kombinasi Dr Hassan Ali- Azmin Ali yang mengepalai BA melancarkan slogan Ke arah Selangor Baru di dalam usaha pihak pembangkang untuk menawan Selangor.

Ujar Exco Kanan itu lagi untuk meyakinkan Zaki: “Dato tak perlu bimbang, terima sahaja lamaran ini. Pucuk pimpinan sendiri merestui kami.”

Bekas Ketua Pengarah BPR kelahiran Sijangkang itu dikatakan setakat ini masih belum termakan umpan. Secara bersahaja Zaki menegaskan: “Adalah kurang bijak jika saya menolak lamaran ini. Tidak ada siapa pun yang mahu menolak tuah. Tambahan pula jawatan MB negeri termaju, tetapi apa yang saya perhatikan sejak Allahyarham Dato Harun Idris hingga sekarang, belum ada seorang pun MB Selangor yang tidak terlibat dengan rasuah.”

“Biarlah saya dianggap bodoh serta menolak tuah, kerana saya tak yakin rasuah tidak akan mengunjungi Umno dan saya jika ditakdirkan ada rezeki menjadi MB. Hormatilah prinsip saya yang akan memerangi rasuah sampai bila-bila. Dato bolehlah cari calon yang lebih sesuai.” Sesi `negotiate` itu difahamkan berhenti disitu sahaja. Full stop!

Cubalah para pembaca gambarkan bagaimana suasananya jika lamaran seperti itu disuakan kepada Abd. Ghani Patail Peguam Negara atau Mohd. Noor Hamat Ketua Polis Selangor, sudah tentu mereka akan terjun tak bertangga untuk menerimanya. `Kurang tapak tangan Istana Keadilan dan lori FRU ditadahkan.`

Rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya bolehlah berbangga kerana setidak-tidaknya saki baki `pembasmi rasuah` masih lagi tegak berdiri di sebalik kejayaan Umno merasuahkan secara total segala institusi dan jentera kerajaan.

Khabarnya Dato Zaki masih lagi berkhidmat di Kementerian Kewangan, itu pun di peti aiskan.

Khir Toyo Pengamal Rasuah Terkemuka aka Insan Menggilai Rasuah dan kroninya bolehlah meneruskan pesta mereka merompak harta rakyat Selangor, selagi Pak Lah merelakan dirinya untuk dijadikan `boneka` Mahathir.

Tetapi awas! Seandainya Pak Lah memperolehi ilham baru dan kekuatan luar biasa untuk menjinakkan Mahathir, Khir sekali lagi bolehlah mengemaskan tikar bantal sebagai persediaan berpindah dari kediaman rasmi MB Selangor di Bukit Megawati.

Walau apa pun, mood rakyat Selangor yang sudah begitu `fed-up` dengan amalan rasuah mega Khir Toyo, bila-bila masa boleh meleburkan impian proksi loyalis Mahathir itu serta rencana Pak Lah dan Umno-BN untuk terus bertapak di negeri yang diwar-warkan akan mencapai  matlamat sebagai Negeri Maju menjelang 2005.

- Orang Dalam - 13.01.2004 - (suntingan M@RHAEN)
5 Dalil Mengapa Khir Toyo Tidak Sesuai Menjadi Menteri Besar Selangor

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN