Rogol Juga Salahguna Kuasa
Oleh KarimSelamat
..


Seperti telah diduga, sepanjang minggu ini akhbar-akhbar Melayu seperti mematuhi skrip atau agenda pengisian media dengan isu rogol dan sorotan terhadap reaksi para VIP UMNO bermula dari PM sehinggalah kepada peringkat kampung. Aspek-aspek umum seperti moraliti dan kriminaliti rogol tidak perlulah dipanjang-lebarkan lagi kerana tahap intelektual pembaca bukan berada di tahap baru mengenal tamadun. Satu sudut lain juga wujud dalam perbuatan merogol tetapi ia tidak akan diperkatakan walaupun hakikatnya adalah sama.

Apa kaitannya merogol dengan salahguna kuasa? Pertama, rogol berlaku secara paksa. Orang yang merogol adalah orang yang berkuasa yakni punyai kudrat yang lebih daripada mangsa rogol. Ia berlaku secara paksa tanpa rela mangsa yang selalunya kurang kudrat dan kuasa daripada perogol.

Kedua, siperogol adalah orang dewasa, berkuasa untuk bertindak sebagai penjaga, dan diamanahkan oleh masyarakat yang bertamadun (adakah kes masyarakat primitif merogol?) sebagai pelindung kepada yang lemah. Tetapi kuasa serta amanah itu tidak dilaksanakan seperti yang diharapkan.

Paradigma atau model yang jelas disini menunjukkan keadaan yang kuat, berkuasa memperlakukan kehendaknya ke atas yang lemah.

Daripada sorotan model atau contoh yang mudah itu adakah ia tidak sama dengan kes kes pecah amanah? Polis yang memegang amanah ada yang menjadi perompak? Lembaga Tabung Haji yang diamanahkan wang orang Islam melabur dalam aktiviti perjudian? Akhbar yang diamanahkan untuk mendidik rakyat menjadi penyebar budaya permisif lagi negatif?

Parti politik Melayu yang diamanahkan untuk memertabatkan bahasa Melayu tiba-tiba merumuskan dasar yang mengetepikan penggunaan Bahasa Melayu? Pelik dan lucu bila menyentuh soal bahasa. Murid Melayu tidak boleh menggunakan Bahasa Melayu untuk menjawab kertas soalan Sains & Matematik tetapi murid sekolah Cina diberikan pilihan. Siapa yang merdeka sebenarnya?

Rumusannya, janganlah kita merasa takjub, terkejut dengan berleluasanya kes kes rogol kerana pada hakikatnya kerja "rogol-merogol " dalam erti kata yang berkuasa dan berkudrat memaksakan kehendaknya ke atas yang lemah telah dan sedang berlaku ke atas diri kita semua.

Oleh Karim Selamat <blogku@redhat.polarh> - 25.01.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN