Politik Baru Perlukan Medan Baru
Oleh KarimSelamat
..


Politik Baru walaupun pada prinsipnya amat menarik untuk diperkatakan dan diulas sesuai dengan tuntutan semasa, malangnya gagasan ini nampaknya bakal melalui lorong dan jalan lama yang sedia terpasang pelbagai jerangkap samar. Politik baru tidak akan jadi realiti selagi para aktornya masih mau meneruskan operasinya melalui jalan-jalan yang telah dipersempitkan oleh regim Mahathirisme lapok.

Paritisipasi rakyat dalam politik baru ini amat bergantung kepada interaksi dan komunikasi. Jaringan interaksi yang kian dipersempitkan oleh pelbagai akta inilah lorong atau laluan yang bakal ditempuhi oelh para pendokong politik baru ini. Jaringan konvensional seperti ceramah, media massa cetak dan elektronik, rapat umum adalah milik dan monopoli Politik Lama. Ciri-ciri politik baru seperti "mempunyai sikap terbuka, membuka serta menggalakkan penyertaan dari rakyat semua kaum dan agama dalam urusan parti dan negara, menolak politik yang menjelmakan semangat, desakan serta tindakan perkauman dan keagamaan yang sempit," adalah antitesis kepada permainan media dalam kerangka politik lama. Mengharapkan kemenangan Politik Baru dengan berpaut kepada jaringan konvensional seperti ini hanyalah satu 'wishful thinking".

Kaedah baru, gagasan baru perlukan alat dan teknologi baru. Internet lahir di saat dan ketika di mana suasana politik global semakin menjurus kepada unilateralisme, dan politik tempatan menjurus kepada kediktatoran. Rahmat Allah Taala boleh dikaitkan dengan fenomena ini. Satu dunia disedarkan bagaimana Bush mengatur helah untuk menguasai Iraq menerusi interaksi jaringan internet.

Strategi para aktor Politik Baru tidak dapat tidak mesti menumpukan gerak operasinya sekitar penggunaan pelbagai fasiltiti dalam dunia ICT. Laman web PAS Pusat jangan hanya memaparkan maklumat statik seperti senarai pimpinan sperti mana laman web kerajaan yang tidak informatif. Pengundi maukan informasi terkini, bukan carta organisasi parti. Pengundi mau kenal apa implikasi konsep negara dan kesan undang undang Islam terhadap mereka. Laman-laman web parti yang maukan Politik Baru harus sedar bahawa inilah ruang yang ada untuk menggerakkan kempen di samping berinteraksi dengan pengundi. Wujudkan ruangan forum yang dikendalikan secara aktif.

Setiap seorang dari pimpinan parti mesti "wujud" di alam siber. Kehadiran di alam siber para politikus Amerika patut dicontohi. Howard Dean sedar, bakal Presiden USA di tahun-tahun mendatang tidak lagi akan dilonjakkan oleh media konvensional seperti akhbar dan TV maka beliau lantas mewujudkan laman blognya sendiri. Beliau kini bukan saja dapat berkomunikasi dengan para pengundinya secara terus, malah satu dunia boleh behubung dengannya.  Tuan Guru Nik Aziz boleh sedia menjawab sebarang keraguan mengenai apa yang berlaku di Kelantan dan sebarang respons dalam laman blog atau webnya tehadap putar belit media Politik Lama.

DS Wan Azizah atau Dr Syed Husin Ali boleh berforum atau berinteraksi dengan kesemua rakyat Malaysia yang celik IT mengenai halatuju Politik Baru. Apa yang diperlukan ialah sedikit kesungguhan dalam mengeksploit media baru ini. Percikkan ilham ini amatlah perlu diambil berat oleh para aktivis Politik Baru dari kalangan parti BA. Mulailah daripada sekarang kerana rata-rata pengundi pada musim pilihan raya akan datang terdiri dari golongan celik IT. Mereka amat perlukan "kehadiran" para pimpinan BA di alam siber untuk menjelaskan pelbagai kekeliruan dan putar belit. Ingatlah, keputusan para pengundi di peti undi banyak bergantung kepada maklumat yang mereka perolehi. Pengundi yang dilengkapi maklumat yang tepat bisa melakukan kejutan.

Rapat Umum dan ceramah telah terbukti menjadi bahan mainan Politik Lama untuk mewujudkan suasana tidak tenteram yang kemudiannya dijadukan modal mengkambing-hitamkan pembangkang. Lupakan saja rapat umum dan ceramah jika dirasakan ia berpotensi untuk memakan diri. Gemblengkan tenaga dan minda untuk mengajak rakyat menghadiri RAPAT UMUM di alam maya.

Oleh Karim Selamat <blogku@redhat.polarh> - 10.10.2003 (suntingan M@RHAEN)
Dipetik drp M@rhaenPortal: http://marhaen.portal.dk3.com/article.php?sid=62
http://blogku.dk3.com


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!