Catatan Anwar di Mahkamah
Kiriman ER
SANDIWARA HAKIM-HAKIM

Oleh:  Anwar Ibrahim

Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang dipilih khas untuk mendengar rayuan kes saya dan Sukma Darmawan ialah Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk Hashim Yusof.

Sejurus selepas menolak rayuan saya tahun lalu, Pajan telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan bersama hakim-hakim yang menjatuhkan hukuman kejam ke atas saya di Mahkamah Tinggi, iaitu Datuk Augustine Paul dan Datuk Ariffin Jaka yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Sebaik rayuan ditolak pada April 2003, saya dan Sukma mengemukakan permohonan untuk ikat jamin sementara menunggu rayuan ke ahkamah Persekutuan, seperti yang lazim berlaku.

Hakim-hakim berkenaan menolak dengan alasan permohonan harus dibuat secara bertulis, bukan secara lisan. Peguam saya jelaskan bahawa selama ini dalam semua kes lain, permohonan lisan diterima.

Saya lantas dapat mengesan sandiwara awal mempersulit dan melengah keputusan. Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail dan pasukannya bangun membantah keras setiap permohonan saya, hal yang hanya mungkin dengan arahan penguasa politik atasan.

Permohonan bertulis dikemukakan lagi kemudiannya dengan alasan undang-undang dan fakta yang kukuh termasuk keadaan kesihatan saya berserta laporan pakar perubatan.

Notis alibi

Pada bulan Julai berikutnya barulah hakim-hakim tersebut mendengar hujah dan sekali lagi dibantah keras oleh Abdul Gani. Mahkamah ditangguh dengan jaminan hakim akan memberi keputusan segera.

Sepanjang tiga bulan, kami telah mengemukakan permohonan berulangkali memohon hakim memberi keputusan tetapi diketepikan juga.

Apabila mendapat keputusan bertulis rayuan (seperti yang disebut di awal artikel), kami dapati satu kesilapan besar telah dilakukan hakim. Dalam keputusan itu, hakim telah menafikan wujudnya notis alibi yang kami kemukakan, sedangkan notis tersebut dibahas selama dua hari dan turut disentuh oleh pihak pendakwa dalam perbicaraan.

Hakim merujuk empat kali mengenai ketiadaan notis yang menurut mereka menjejaskan pembelaan. Namun, rekod fakta adalah di sebaliknya kerana dalam kes ini, pihak pendakwa telah juga diberikan salinan dan menjawab panjang mengenainya.

Saya terus mengesan percubaan menipu dan memutarbelitkan fakta oleh hakim, kerana jika dengan mengakui wujudnya notis alibi tersebut, akan menyebabkan keputusan hakim ketika perbicaran saya di Mahkamah Tinggi, menjadi salah, dan rayuan saya mesti diterima atau sekurang-kurangnya diarah untuk mengadakan ulang bicara.

Ikatjamin

Jesteru, kami mohon hakim memberikan pertimbangan mengenai hujah tambahan untuk permohonan ikat jamin selain peluang mendengar semula.

Selang beberapa bulan, mahkamah akhirnya menetapkan untuk mendengar hujah baru pada bulan Disember. Ketika itu, apabila ditanya mengapa keputusan ikat jamin yang biasa diputuskan oleh mahkamah dalam masa satu jam, hakim mengelak dengan berdolak dalik kononnya kerana pihak saya ingin mengemukakan hujah tambahan.

Walhal kami usulkan sedemikian kerana menunggu terlalu lama tanpa sebarang keputusan.

Dalam sidang yang baru berlalu (Januari 19, 2004), sebaik diminta keputusan ikat jamin, Pajan Singh menjawab sidang ini berkaitan dengan isu lain, dan soal ikat jamin akan diputuskan kemudian.

Ketika ini, saya bangun dan membantah kelewatan keterlaluan oleh hakim yang mencemar kewibawaan dan kebebasan badan kehakiman.

Pajan Singh menegur saya dan menyebut bahawa memadai peguam saya yang berbicara, jika tidak saya dianggap menghina mahkamah.

Saya menyoal balas menegaskan bagaimana hakim yang bertindak atas telunjuk penguasa politik dan dengan itu mencemar perlembagaan, hukum dan maruah manusia.

Afidavit

Setelah berlawan hujah seketika, hakim-hakim tersebut berunding dan mengumumkan bahawa keputusan ikat jamin akan dibuat pada hari Rabu 21 Januari. Saya terus duduk mengikuti perbicaraan seterusnya.

Yang merumitkan hakim ialah pihak pendakwa dalam afidavit mereka mengesahkan bahawa notis alibi memang disampaikan kepada mereka dalam mahkamah.

Ini menyebabkan suasana kelam kabut, dan hakim menekan pendakwa yang akhirnya menyatakan bahawa sementara menerima dokumen tersebut, mereka tidak melihat sama ada dokumen tersebut diserahkan kepada hakim. (Saya kira Abdul Gani dan kelima-lima pasukan pendakwa terlena ketika itu!)

Walau bagaimana pun ia tidak dapat menolak kenyataan bahawa dokumen tersebut dibahaskan oleh peguam, dijawab oleh pendakwa, bahkan menjadi pokok persoalan utama dalam hujah kami selama dua hari.

Dan hakim tidak ingat semua ini berlaku walaupun disahkan oleh peguam dan pihak pendakwa!

Untuk mendapat kepastian muktamad mengenai persoalan ini, peguam kami memohon untuk mendapatkan nota prosiding (catatan hakim) daripada hakim-hakim tersebut, namun ditolak.

Keputusan menolak permohonan kami untuk mendapat nota prosiding tidak munasabah sama sekali. Walhal Akta Keterangan 1950 menetapkan bahawa nota
hakim termasuk sebagai dukomen awam. Bila hal tersebut dibangkitkan, Pajan Singh hanya menyebut, "keputusan telah dibuat".

Sebenarnya penafian wujudnya notis alibi ini adalah penipuan jahat. Notis alibi tersebut menunjukkan pergerakan saya semasa pertuduhan dibuat pada Januari hingga Mac 1993. mengikut seksyen 402 A Kod Prosidur Jenayah, hak tertuduh mengemukakan notis alibi adalah wajib (mandatory) diterima oleh hakim.

Kegagalan mematuhinya oleh hakim bicara, Ariffin Jaka seharusnya mengakibatkan perbicaraan dianggap batal.

Editor: Sila hadir perhimpunan di Suhakam 5 Februari (3 ptg) ini sebagai tanda sokongan kepada Anwar dan protes kepada hakim-hakim yang menerima wang sebagai imbuhan mengikut telunjuk tuan-tuan politik mereka.

Kiriman ER - 28.01.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN