Harga air naik 45 peratus: 
Paip terus bocor, air berkeladak dan bercacing halus (babi?) 


PUAS penyamun, SYABAS `perompak kebulur`
 
Mulai 16 Mei ini seluruh warga Selangor akan menerima hadiah istimewa daripada kerajaan pimpinan Dr Khir Toyo sebagai `imbuhan` kerana memenangkan Umno BN pada p/raya umum lalu begitu cemerlang sekali.

Jika sebelum ini di bawah pemerasan PUAS (Perbadanan Urusetia Air Selangor) rakyat marhaen sudah cukup parah kerana dipaksa membayar bil air dua kali ganda berbanding yang pernah dikenakan oleh Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) di era pra-penswastaan dulu.

Kini PUAS telah pun dijual kepada SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor) sebagai memenuhi janji kerajaan Selangor dan lain-lain negeri di bawah kekuasaan Umno BN untuk menyerahkan urusan pembekalan air kepada kerajaan pusat. Perjanjian tersebut telah dibuat pada awal tahun lepas.

Dato Seri Samy Vellu pernah bertelagah dengan Khir Toyo pada peringkat awal perjanjian tersebut. Samy Vellu pada mulanya menuduh kerajaan Selangor enggan menyerahkan urusan berkenaan kepada kerajaan pusat. Akibat daripada `mulut besarnya` itu Samy Vellu terpaksa menghadap DYM Sultan Selangor untuk menjelaskan perkara sebenar.

Sesetengah pihak menganggap keenganan Khir Toyo untuk menyerahkan urusan bekalan air itu bukanlah disebabkan prinsip sebaliknya lebih berfokus kepada terma-terma tertentu yang dikatakan tidak menguntungkan Khir dan kroni-kroninya yang menguasai PUAS.

SYABAS umpama `perompak kebulur` terus menaikkan harga (tarif) air 45 peratus sebaik-baik sahaja mengambil alih PUAS. Akibat kenaikan mendadak dan menindas itu para pengguna (rakyat marhaen ) terpaksa menanggung beban baru sedangkan beban lama bikinan PUAS masih menghantui mereka.

Cuba perhatikan bil air yang terpaksa dibayar oleh pengguna (empat orang sekeluarga) secara purata sebagai contoh:
 
Pembekal Bil sebulan (purata)
JBAS ( Kerajaan Negeri Pra-Penswastaan) RM 15.00
PUAS( Penswastaan Kerajaan Negeri) RM 30.00
SYABAS (Penswastaan Kerajaan Pusat) RM 43.50

Khir Toyo hanya membisu seribu bahasa apabila berdepan dengan tindakan drastik SYABAS itu. Khabarnya Menteri Besar yang dikaitkan dengan senarai `Top 20` perasuah mega itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana segalanya telah diserahkan kepada kerajaan pusat.

Penggantian paip dan pengambilan air dari Pahang.

Bagi mewajarkan kenaikan mendadak itu SYABAS telah memberikan alasan bahawa:

a. Pihaknya terpaksa berbelanja lebih untuk mengambil air dari Pahang sebagai memenuhi keperluan pengguna di Selangor.
b. Sistem perpaipan lama di seluruh Selangor perlu diperbaharui untuk memastikan keberkesanan bekalan air dan mengelak pembaziran.

Sebelum alasan-alasan di atas boleh diterima bagi mengelakkan SYABAS dari dituduh oleh rakyat marhaen sebagai `perompak kebulur`, mereka (kroni-kroni Umno BN yang menguasai SYABAS) harus menjawab pertanyaan berikut:

a. Apakah sumber bekalan air di Selangor sudah tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan penduduknya sehingga terpaksa membeli air dari negeri lain?
b. Jika sistem perpaipan lama perlu diganti untuk keberkesanan bekalan dan mengelakkan pembaziran, bukankah sebahagian besar dari program itu sudah pun dibuat oleh PUAS. Salah satu contohnya :

Kerajaan Selangor telah meluluskan kontrak untuk membekal paip berukuran lilit (diameter) 1.400m kepada JAKS Sdn Bhd pada tahun 2001 bagi keperluan PUAS untuk menukar sistem perpaipan yang melibatkan saiz tersebut di seluruh negeri Selangor.

JAKS adalah syarikat milik kroni rapat Khir Toyo telah diberi konsesi selama 30 tahun bagi tujuan berkenaan. Di dalam tempuh tersebut JAKS dikatakan akan mengaut untung atas angin sebanyak RM 1.5 Billion. Kes ini telah pun dilaporkan oleh Sdr Ahmad Lutfi Othman kepada BPR sebagai salah satu kes yang disyaki melibatkan rasuah mega amalan Khir Toyo lebih dua tahun lalu.

Apakah paip yang dibekalkan oleh JAKS itu tidak termasuk dalam sistem perpaipan yang akan diperbaharui oleh SYABAS ? Hal sedemikian tidak mungkin berlaku melainkan SYABAS tidak pernah berurusan dengan PUAS.

Air berkeladak dan bercacing halus (cacing babi?)

Kebocoran paip utama bekalan air di Selangor merupakan perkara lumrah yang boleh di lihat tanpa mengira waktu dan lokasi. Sejak era JBAS (Jabatan Bekalan Air Selangor) sehinggalah jabatan itu diswastakan masalah itu tidak pernah beres. Malah apabila PUAS mengambil alih tugas JBAS situasi tidak juga beransur baik.

Bukan masalah paip bocor sahaja yang menghantui PUAS,malah ketidak-cekapan perkhidmatannya sentiasa menjadi bahan cercaan rakyat selaku pengguna. Banyak kawasan di lembah Kelang yang tidak mendapat bekalan air secara sempurna. Daerah Hulu Langat merupakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat kelembapan PUAS.

PUAS nampaknya tidak begitu bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan prestasi perkhidmatan mereka. Apa yang mereka utamakan hanyalah mengaut seberapa banyak keuntungan.

Mereka tidak pernah berkompromi kepada perkara yang melibatkan bayaran bil. Lambat bayar bekalan akan dipotong dan untuk menyambungnya semula charge RM50 dikenakan. Bayaran ansuran untuk bil tertunggak langsung tidak dibenarkan. “Bayar semua atau bekalan air ke premis anda akan dipotong!”

Namun di sebalik `ketegasan` tersebut apa yang mereka buat untuk mengatasi bekalan air yang sentiasa berkeladak sehingga para pengguna terpaksa menggunakan `penapis` untuk mendapatkan air jernih. Penapis (filter) bukan percuma sebaliknya terpaksa dibeli dengan harga yang membebankan juga.

Jurucakap PUAS dan kerajaan Khir Toyo tidak puas-puas mencanangkan kepada rakyat bahawa air yang mereka bekalkan selamat untuk digunakan. Betulkah begitu? Jika betul tolong jelaskan gerangan cacing halus apakah yang terperangkap pada jaringan penapis (filter) yang diletakkan bersebelahan dengan meter (jangka) air para pengguna?

Dari mana datangnya cacing-cacing halus tersebut walhal sebelum ini ia tidak pernah wujud. Apakah kebimbangan sesetengah pihak bahawa air Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus keperluan untuk penduduk Selangor dan L:embah Kelang telah mula dicemari dengan sisa sembelihan babi.

Seperti yang sudah dimaklumi Syarikat Tip Top Meat Sdn Bhd. telah pun diberi keizinan oleh kerajaan Khir Toyo untuk membina Pusat Penyembelihan Babi terbesar di Asia Tenggara berlokasi di sempadan Rawang-Batang Berjuntai. Kawasan penyembelihan itu terletak hanya ¼ batu dari Sungai Selangor yang menjadi punca kepada bekalan air tadi.

Ketika pembinaan Pusat Penyembelihan tersebut banyak pihak yang membantah kesesuaian lokasi berkenaan. Jabatan Alam Sekitar Selangor pun dikatakan kurang senang dengan langkah pengusaha yang membina premis tersebut tanpa menepati spesifikasi JAS. Namun semuanya tidak diendahkan oleh pengusaha yang mendapat sokongan kuat dari Khir Toyo ketika itu.

Bayangkanlah Pusat Penyembelihan itu mampu memotong 3500 ekor babi sehari. Apa jaminan sisa daripada sembelihan sebanyak itu tidak akan mencemar sungai jika tidak diurus dengan penuh ketelitian. Operasi penyembelihan sudah pun bermula lebih enam bulan .

Kalaulah cacing-caing halus tadi terhasil daripada sisa sembelihan babi yang tidak diurus dengan sempurna sehingga mencemar sungai yang membekalkan air bersih,bsiapa yang harus bertanggung jawab?

Isu ini amat sensitif bukan sahaja kepada orang Melayu Islam bahkan kepada semua lapisan rakyat kerana ia bukan sahaja melibatkan tuntutan agama bahkan kehormatan manusia seluruhnya. Mana ada manusia yang waras sanggup menggunakan air yang telah dibabikan untuk keperluan asasi mereka?

Akhirnya apakah jaminan SYABAS bahawa mereka akan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik daripada PUAS? Selagi sikap tamak yang disalurkan menerusi syarikat-syarikat milik kroni sang penguasa masih lagi bermaharajagila membaham keuntungan tanpa tertanam sedikit pun unsur-unsur mengutamakan kebajikan rakyat selama itulah segala-galanya akan bercelaru.

BA Selangor tertipu?

Sebenarnya semua itu adalah pernyataan daripada amalan rasuah dan penyelewengan golongan yang berkuasa. Sayang sekali ! BA Selangor gagal mengetengahkan isu tersebut di sepanjang kempen p/raya kesebelas yang baru berlalu.

Khabarnya dua tiga hari sebelum hari penamaan calon Pengerusi Pilihan raya Negeri Selangor Encik Abdullah telah memberitahu beberapa orang pembesar BA Selangor bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Selangor bahawa Khir Toyo `bersih` daripada sebarang kes rasuah.

Abdullah mengingatkan agar `isu rasuah Khir Toyo` jangan dijadikan bahan kempen kerana dikhuatiri melanggar akta p/raya .Ramai calon-calon BA yang tertipu dengan `ingatan ikhlas` Abdullah itu.

Akhirnya isu rasuah Khir Toyo tidak berapa kedengaran lagi di sepanjang tempuh kempen p/raya dan hakikatnya kebanyakan pembesar-pembesar BA Selangor memang tidak menampakkan kesungguhan mereka memerangi isu itu lama semenjak sebelum p/raya lagi.

Yang bersungguh-sungguh hanyalah Ahmad Lufti Othman, Dr. Yusof Wahab, Ezam Mohd. Noor, Azmin Ali dan Dr Hassan Ali manakala yang lain hanya `syok sendiri` dan akibatnya hampir-hampir sahaja Selangor `sifar pembangkang`. Mujur masih ada dua kerusi DAP kalau tidak pasti Khir Toyo tertawa bedekah-dekah!

- Inderaloka  - 17.05.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN