Sah Pak Lah Dibonekakan!
Cerita atau kisah boneka dan manusia yang dibonekakan bukan baru. Apakah Pak Lah spesis manusia boneka itu? Ikut jalan cerita bagaimana Pak Lah melonjakkan diri sehingga duduk di atas kerusi bekas punggung berkematu Mahathir tidak salah ramai mentafsirkan bahawa Pak Lah sekadar orang suruhan, boneka dan wayang kulit sahaja. Sekali pun ramai telah merubberstampkan watak Pak Lah sebagai boneka... Namun, bagi penulis masih ada beberapa kelebihan dalam diri Pak Lah yang tidak tertonjolkan oleh pimpinan UMNO/BN yang tidak pro Pak Lah, melainkan kelemahan Pak Lah saja yang bermain-main di bibir mereka. Serupa dengan tindak-tanduk para kaki ampu Mahathir yang mendewa-dewakannya sehingga terlajak...pada hal Mahathir cuma seorang manusia biasa yang bergelumangan dengan segala macam bentuk kelemahan dan kekurangan, tetapi ia ditutupi dengan segala lipstik indah-indah oleh para pemuja dan kaki ampunya selama 20 tahun lebih menduduki kerusi PM. Penulis berkeyakinan Pak Lah kalau ditakdirkan Allah menjadi PM sehingga 20 tahun atau 23 tahun lamanya. Pak Lah lebih terserlah kehebatannya dan wibawanya sebagai PM berketurunan cucu ulama tersohor tanah air.

Berdasarkan tulisan beberapa sahabat kita tentang reaksi mereka terhadap pelantikan TPM dan rombakan kecil kabinet Malaysia yang diumumkan Pak Lah. Pak Lah seperti tidak berani merombak kabinetnya supaya dilihat rakyat, pemerhati dan pengulas politik sebagai kabinet Pak Lah sebenar. Mungkin Pak Lah masih berwatak malu-malu kucing atau segan silu kepada Mahathir yang berpejabat di sebelah pejabatnya. Kemungkinan Mahathir juga ada pasang TV kawalan jauh di pejabat yayasan yang dipengerusikannya untuk Maksud memantau pergerakan Pak Lah secara rahsia? Kesian Pak Lah kalaulah dia diperbuat sebegitu rupa oleh Mahathir dan konco-konconya. Apalah gunanya dia bergelar PM ke-5 tetapi kuasanya dipantau oleh bekas ketuanya.

Maknanya selagi Mahathir hidup, Pak Lah akan menjadi PM boneka dan pasti hidupnya dalam tekanan memanjang. Apakah rakyat Malaysia mahu keadaan ini berterusan menghantui sistem pemerintahan negara dibayangi oleh sang manusia rakus untuk menguasai seluruh sistem negara ini agar terus berada dalam cengkaman mereka. Kalau ini terjadi tak ubah negara seperti dikuasai oleh kumpulan samseng atau gangster yang bergerak bebas melalui penguasa yang memerintah negara. Umpamanya, ekonomi dikuasai oleh kelompok korporat/tauke belaan penguasa, sistem pendidikan dikuasai oleh profesor/korporat belaan penguasa, kehakiman dikuasai oleh para hakim belaan penguasa, sistem keselamatan dikuasai oleh kepala samseng yang dibela penguasa dan begitulah seterusnya yang menimpa sistem-sistem lain dalam negara ini.

Benarlah Pak Lah Orang Suruhan Mahathir?

Tulis sahabat kita, Meli di Laman Marhaen (Analisa Pelantikan Najib Sebagai TPM) mengulas pelantikan Najib anak Tun Razak PM kedua, katanya: "Kalau macam itu gayanya, Paklah bukanlah PM sebenar. Ia hanya bayang-bayang Mahathir. Selagi Mahathir ada di Putrajaya, Pak Lah hanyalah budak suruhannya sahaja. PM boneka. Segala dasar yang Pak Lah hendak laksanakan mesti mendapat restu Mahathir terlebih dahulu. Paklah tidak berani bertindak sebelum mendapat lampu hijau daripada Mahathir dan secara tidak langsung Mahathir adalah Penasihat kepada Kerajaan pimpinan Paklah. Mahathir sendiri pernah berkata dalam interview dengan akhbar The Star pada bulan Jun tahun ini yang beliau kata ketika beliau bersara beliau tidak mahu sebagai penumpang sahaja dan dia mahu ada peranan yang dia patut lakukan. Tidak ubah seperti apa yang berlaku di Singapura. Goh Chok Tong sebagai PM, Lee Kuan Yew Menteri Kanan yang menentukan segala dasar yang boleh dan tidak boleh dilaksanakan. Goh Chok Tong sebagai pelaksana dasar sahaja".

Raja Petra Kamarudin pula menulis menegaskan lagi senario sebenar betapa Pak Lah cuma orang suruhan kepada mantan PM yang sedang berpejabat di Putrajaya sekarang di sebalik jawatan Pengerusi sebuah yayasan yang ditubuhkan untuk Mahathir mudah memantau pergerakan Pak Lah secara tidak langsung, katanya: “Soalan kedua ialah siapa sebenarnya memerintah negara ini, Abdullah Ahmad Badawi ataupun TKT Mahathir yang masih mencengkam kuasa lagi? Seandainya Daim boleh menguruskan secara proksi di bawah perhatian Abdullah, adalah jelas bahawa TKT Mahathir masih menguasai negara ini. Abdullah terpaksa menukarkan Dr. Jeyaindran yang merupakan proksi Daim, untuk membuktikan dia adalah orang yang unggul dan bukannya TKT Mahathir lagi".

Penulis tertarik dengan pandangan dan kenyataan dua tulisan di atas, sebagai benar-benar mengesahkan apa sebenarnya kedudukan Pak Lah sebagai PM ke 5 sekarang. Pak Lah seperti bukan PM sebenar kerana dia hanya boneka. Gerak kerja pentadbirannya, keputusannya dan segala percaturan pentadbiran mahupun percaturan politiknya seperti tidak datang daripada dalam diri atau hati nuraninya. Anda boleh membuat satu tanggapan betapa seorang PM perlu berjumpa bekas PM untuk membuat keputusan dalam tindakan politik dan pentadbirannya.

Kalau inilah keadaannya dalam sebuah negara Merdeka. Sistemnya ditukang-tukangkan oleh dua tiga kerat manusia yang berlagak hebat. Apa akan jadi 10, 20 dan 30 tahun mendatang ke atas generasi bangsa kita. Bila seluruh sistem ekonomi, pentadbiran, pendidikan, pemerintahan, kehakiman, keselamatan dan sebagainya dikuasai atau ditentukan oleh dua tiga kerat manusia angkuh, sombong, gila kuasa, gila kekayaan, rakus dan tamak haloba. Mereka telah lama mencaturkan perjalanan seluruhan sistem dalam negara ini. Penamat kepada episod ini ialah bahawa Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sekadar kuda tunggangan kepada pimpinan sedemikian, Parlimen pula sekadar menjadi dewan tertinggi untuk merubber-stamp dan mengendorsment segala kehendak penguasa yang sedang bermaharajagila di bawah parti UMNO/BN sekarang. Selama ini rakyat melihat MT UMNO/BN lebih tinggi daripada Institusi Parlimen dan Majlis Raja-Raja Melayu. Inilah kerja politik UMNO/BN selama ini yang telah menterbalikkan segala sistem negara sehingga hilang fungsi sebenar seluruhan sistem yang ada bila para pimpinan UMNO/BN masuk campur yang tak boleh jadi boleh dan yang boleh jadi tidak boleh demi menyelamatkan UMNO/BN dan para pemimpinnya, sementara keselamatan rakyat biasa atau mereka yang tidak sebulu dengan UMNO/BN tidak boleh dijamin. Bahkan para pemimpin UMNO/BN dan ahli-ahlinya yang tidak sebulu dengan ketua mereka juga akan hilang hak mendapat jaminan keselesaan dan keselamatan itu. Ini terbukti bagaimana dengan nasib yang menimpa diri DS Anwar Ibrahim, ahli keluarga dan rakan-rakan rapatnya dalam UMNO/BN itu sendiri. Sejarah tidak boleh dipadamkan.

PM Malaysia Ke-6 Ialah Pimpinan BA

Kita mengharapkan episod derita rakyat di bawah cengkaman sang penguasa tamak, rakus dan gila kuasa ini akan berakhir di tangan rakyat sendiri bila mereka mengundi memilih pemimpin baru dalam PRU 2004 ini yang diramalkan pada 24 April 2004. Mudah-mudahan kepimpinan negara Malaysia selepas PRU 2004 nanti bertukar tangan kepada pimpinan baru di bawah kepimpinan BA yang dibarisi oleh pimpinan PAS, KeADILan, PRM dan parti-parti pembangkang seperti DAP dan lain-lain. Kepimpinan BA/PAS/ KeADILan/PRM dengan kerjasama NGO's dan masyarakat bukan-Islam di Kelantan dan Terengganu cukup meyakinkan bahawa amalan demokrasi dan keadilan benar-benar telah diterapkan dalam pentadbiran di kedua negeri yang dikuasai oleh BA itu. Kita mengharapkan rakyat di negeri-negeri lain juga akan menuruti jejak Kelantan dan Terengganu dalam mendaulatkan kuasa rakyat, menyuburkan demokrasi dan melaksanakan sistem negara dengan keadilan yang sebenar.

Insya-Allah, dengan kesedaran rakyat Malaysia akan dibebaskan daripada cengkaman UMNO/BN dan rakyat akan menobatkan kepimpinan baru Malaysia di bawah BA. Dan insya-Allah, PM baru akan menerajui Malaysia PM Ke-6 Malaysia selepas PRU ke-11 calon-calonnya ialah DS Anwar Ibrahim, TG DS Abdul Hadi Awang, Dr Syed Husin Ali, DS Wan Azizah dan Dr Hassan Ali... Takbir 3x Reformasi 3x.

Ibn Sabah,
8.1.2004M. - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Sertai Maillist M@RHAEN