Bila Orang Islam Takut Hudud dan Prinsip Asas Negara Islam 
Kenapa orang Islam phobia atau takutkan hukum-hakam dan peraturan Islam yang jelas dan terang disebut dalam al-Quran dan al-Hadith (Sunnah Rasulullah s.a.w.). Tidak pelik bila ia terjadi kepada orang bukan-Islam, kerana orang bukan-Islam tidak belajar atau mempelajari ajaran Islam. Tetapi, terdapat kalangan orang bukan-Islam terutama sarjana atau mereka yang mengikuti secara baik ajaran Islam mengakui akan keindahan, kebaikan, kebenaran serta keadilan ajaran Islam, sehingga ada di antara mereka menjadi penganut Islam yang taat kepada ajaran Islam mengalahkan orang Islam yang Islamnya sekadar Islam keturunan tanpa mempelajari dan mendalami Islam.

Lagi besar kepelikannya bila ada sarjana Islam yang mempelajari Islam sejak kecil hingga mendapat title Phd atau bergelar profesor doktor, tetapi mereka phobia dan takut kepada hukum-hakam Islam yang hendak di ketengahkan ke dalam masyarakat majmuk di bumi Malaysia. Bukan itu sahaja, mereka pula berlagak menjadi juara menentang hukum hudud, Qisas dan dokumen negara Islam yang telah diusahakan oleh gerakan Islam seperti PAS. Mereka bersekongkol bersama golongan anti Islam dengan gelagat 'bijak pandai' tanpa sedar mereka sebenarnya diperkudakan oleh golongan tersebut.

Bala, Bila Hukum Allah Dicabar Manusia

Malahan, mereka bersedia mengiyakan apa jua kenyataan yang keluar daripada mulut dan lidah golongan anti-Islam atau golongan munafik itu seperti melabelkan hukum Hudud, Qisas sebagai kononnya Hudud PAS bagi mengaburi mata rakyat, masyarakat dan umat Islam agar menolak terus hukum Hudud, Qisas dan lain-lain yang sedang dibawa PAS ke tengah khalayak rakyat dan masyarakat supaya rakyat boleh menilai. Betulkah, kandungan Hudud, Qisas yang dibahas dalam al-Quran, Sunnah  dan dihuraikan oleh para ulama muktabar sejak dulu itu bercanggah dengan apa yang kini dan sedang dikemukan oleh PAS ke tengah-tengah masyarakat dan rakyat negara ini. Untuk rakyat Malaysia nilai dan adili secara positif.

Tiba-tiba para pemimpin besar, sederhana, kecil dan kaki-kaki bodek yang berkeliaran di kaki-kaki lima bangunan UMNO di PWTC Kuala Lumpur menghentam, menyerang dan memijak-mijak hukum Hudud yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah itu. Apa lagi kumpulan propaganda mereka yang berada di Kementerian Penerangan, RTM, TV 3/4, Utusan, Berita Hairan dan lain-lain tanpa merasa berdosa sanggup bersekongkol mewarna-warnikan hukum HUDUD dengan pelbagai label dan warna. Tujuan utama mereka cuma satu supaya rakyat terus jahil tentang hukum hudud dan menolak politik PAS/BA.

Sepatutnya, sebagai orang yang mengakui diri mereka Islam dan beriman, para pemimpin UMNO yang rata-ratanya orang Islam, malah ada yang berkelulusan sarjana Islam sehingga peringkat label Phd dan bergelar profesor/profesor madya dalam ilmu Islam, wajar dan wajib menyokong setiap perkara yang berkaitan Islam, walaupun perkara tersebut disuarakan oleh kumpulan lain bukan UMNO atau kroni UMNO seperti hukum HUDUD dan dokumen Negara Islam yang diusahakan oleh PAS/BA sekarang ini. Bab kepentingan politik masing-masing ketepikan dahulu. Sebagaimana para pimpinan BA/PAS, KeADILan dan DAP, mereka akan menyokong mana-mana rancangan atau suara pimpinan UMNO/BN yang berkaitan kepentingan rakyat dan negara. Dapat kita buktikan seperti dalam persidangan Parlimen atau DUN negeri-negeri yang dikuasai UMNO/BN. Namun, dalam perkara atau tindak-tanduk pimpinan UMNO/BN yang jelas menyusahkan rakyat, menjaga kepentingan dua tiga kerat pemimpin UMNO/BN, cukup jelas para pimpinan BA atau pembangkang tidak berdiam diri seperti dalam isu rasuah, pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya, mereka dengan keras dan tegas menentang segala bentuk ketidakadilan, penyelewengan dan sebagainya yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO/BN yang menguasai kerajaan sekarang.

Sokong Yang Benar, Ketepikan Kepentingan Politik dan Diri

Kita boleh berbeza dalam perkara atau isu kepentingan politik. Tetapi, dalam perkara yang jelas kebaikan dan kebenarannya kita mesti bersatu dengan memberikan sokongan penuh. Seperti dalam kes HUDUD, Qisas yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan secara kebetulan dua negeri tersebut dikuasai oleh BA/PAS dan KeADILan. Sebagai umat Islam dan orang yang beriman kepada kitab-kitab suci yang diturunkan Allah kepada rasul-rasul-Nya termasuk kitab suci al-Quran. Hudud tercatat dengan jelas dalam al-Quran dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w. Perkara ini benar dan tidak boleh dipertikai oleh sesiapa, apa lagi kita sebagai orang Islam yang beriman. KENAPA TIBA-TIBA ADA PEMIMPIN UMNO DI KELANTAN YANG BERGELAR PEGUAM DAN BERAGAMA ISLAM TERGAMAK MENCABAR HUKUM HUDUD, QISAS  YANG TERKANDUNG DALAM QANUN JENAYAH SYARIAH DI TERENGGANU DAN KELANTAN?

Pelik dan amat mengaibkan, bila ada orang Islam berani mencabar hukum HUDUD yang mahu dikembalikan oleh pimpinan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu. Perkara ada kekurangan dalam penghuraian itu satu perkara lain. Yang utama dan besar ialah perkara pendaulatan hukum HUDUD di tengah-tengah masyarakat. Sebagai orang Islam kita kena yakin 100% bahawa hukum-hakam Islam termasuk HUDUD adalah perundangan yang terbaik. Dalam al-Quran telah ditegaskan kepada umat Islam dan orang-orang beriman; firman Allah:"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya (dilarang Allah) kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya". (Q.S. al-Hasyr: 7).

Jadi, HUDUD itu memang perkara yang diperintahkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah s.a.w. sejak 1400 tahun yang lalu hingga ke hari ini hukum HUDUD tetap sah di sisi Allah, tidak pernah ia dibatalkan oleh Allah.

Beza HUDUD dengan Perlembagaan Negara Malaysia. HUDUD adalah hukum atau Undang-undang yang dicipta oleh Allah. Perlembagaan Malaysia disusun dan dibuat oleh Suruhanjaya Lord Ried. Suruhanjaya itupun dikepalai oleh bangsa penjajah. Kenapa tiba-tiba para pemimpin UMNO/BN takut Perlembagaan Negara dicabar, dan tidak merasa berdosa dan tidak takut  mencabar HUDUD yang dicipta oleh Allah dalam al-Quran.

Dosa Besar Melawan Perlembagaan Bikinan Suruhanjaya Lord Ried

Dalam hal ini, pemimpin UMNO/BN lebih berasa berdosa mencabar Perlembagaan Negara bikinan manusia dan tidak apa-apa salahnya bila mencabar HUDUD. Sebab HUDUD telah ditambah dihujung perkataan HUDUD itu perkataan PAS. Siapa yang melabel HUDUD PAS, kalau bukan para pemimpin UMNO/BN sendiri. Seingat penulis mulut celupar Mahathirlah yang memulakannya ketika kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS meluluskan Qanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan dulu. Itulah putar belit UMNO bila berhadapan dengan isu agama yang mereka tidak bersedia untuk bersama menyokong, melaksanakannya atau menyuarakannya. SUSAH DAN BERAT SANGATKAH SEKADAR MEMBERIKAN SOKONGAN KEPADA KERJA-KERJA AGAMA YANG JELAS KEBAIKANNYA, LEBIH-LEBIH LAGI IA SATU PERINTAH ALLAH S.W.T. DALAM AL-QURAN DAN TERMAKTUB JUGA DALAM HADITH RASULULLAH S.A.W.

Hujah Malaysia masyarakat majmuk merupakan satu hujah lapok yang sengaja dicipta untuk mengelak atau escapism daripada membicarakan kebaikan hukum HUDUD, dengan satu niat jahat agar rakyat pelbagai kaum di dalam negara ini terus buta perundangan Islam dan jahil berkenaan hukum HUDUD yang telahpun diperkenalan oleh Rasulullah s.a.w., para khalifah Islam dan ulama Islam yang muktabar. Inilah juga yang ingin dibawa oleh PAS sebagai sebuah gerakan politik Islam di Malaysia melalui sistem demokrasi.

Kalau PAS boleh menyokong mana-mana usaha Islam yang dilaungkan, disuarakan dan dilakukan UMNO konon sebagai parti Islam KETIGA TERBESAR di dunia yang pernah suatu ketika dulu dibesar-besarkan oleh pimpinan UMNO/BN, kenapa kerja-kerja Islam yang dibawa PAS diperkecilkan dan ditentang oleh pimpinan UMNO/BN, terutama Dr Mahathir dulu semasa masih menjawat jawatan PM. Mulut dan lidah Mahathirlah yang banyak menghina hukum Islam, HUDUD dan amalan-amalan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan menghina para ulama. (GuagStation: Koleksi kenyataan Mahathir Yang Menghina Islam) Penulis fikir, seluruh media pengampu UMNO/BN boleh mengulang siarkan kembali kenyataan demi kenyataan Mahathir pandangannya terhadap hukum HUDUD yang hendak PAS perkenalkan dan bawa ke tengah masyarakat Malaysia, khususnya umat Islam di Malaysia. Seluruh rakyat Malaysia boleh menjadi saksi sebab kenyataan negatif Dr Mahathir terhadap hukum HUDUD dan perundangan Islam lainnya disiarkan oleh RTM, Utusan, Berita Hairan dan akhbar berbahasa Cina, Inggeris dan Tamil.

Kenapa Takutkan Dokumen Negara Islam?

Kini, Dokumen Negara Islam yang dilancar oleh PAS pada hari Rabu  17 Ramadhan, 1424 (12 November, 2003) sudah mula ada suara-suara negatif dikalangan pimpinan UMNO/BN. Sepatutnya, sebagai umat Islam tanpa mengira kedudukan, pangkat, parti atau fahaman, kita kena bersyukur sebab usaha baik ini ke arah memberikan penjelasan lebih berani dan tanpa takut, tentang rupa wajah pemerintahan Islam sebenar yang berteraskan KEADILAN, KEBEBASAN, KEBAIKAN DAN KEBENARAN kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Tentang ada yang sudah dilakukan oleh UMNO/BN tidak timbul. Tetapi, PAS mahu mengemukakan suatu yang lebih jelas, teliti dan PAS hendak menonjolkan pemerintahan Islam secara keseluruhan. Selama ini, rakyat dan masyarakat majmuk di negara ini, khususnya masyakarat bukan-Islam hanya memahami Islam secara rambang atau kulit ke kulit, sebagaimana sebahagian umat Islam sendiri yang hanya faham Islam sekadar bab nikah kahwin, solat lima waktu, bina masjid, sekolah agama, solat jenazah dan tidak sampai keseluruhan ajaran Islam. Sebab itu, bila sebut HUDUD, Qisas, politik Islam dan Negara Islam sebahagian kita merasa terkejut dan gerun, seolahnya bila sebut HUDUD akan kudunglah tangan umat Islam, porak-perandalah dan berpecah-belahlah rakyat. Betapa jahatnya pemikiran sedemikian. Padahal, dengan mendaulatkan hukum Allah di muka bumi dan di Malaysia pasti jaminan Allah untuk melindungi kita, umat Islam/bukan-Islam dan seluruh manusia dari segala bala bencana.

Yakinilah Yang Baik Tetap Baik dan Berguna

Kita, rakyat Malaysia yang majmuk, umat Islam khasnya dan bukan-Islam di negara ini jangan bimbang dengan Dokumen Negara Islam yang telah digariskan PAS. Penulis belum membacanya, tetapi menurut kefahaman yang ada pada penulis sendiri pasti tidak ada satu patahpun dalam Dokumen itu yang menyebut rakyat bukan-Islam akan mengalami kesukaran atau kesusahan. Sebab setahu penulis, Islam datang bukan membawa kesusahan kepada manusia, tetapi Islam datang sebagai rahmat untuk semua manusia dan alam ini. Malah, dalam segala hal keadilan dan kebajikan adalah perkara paling asasi dalam ajaran Islam sama ada sosial, ekonomi, pendidikan, perundangan, jaminan kebebasan, hak-hak lain yang diperlukan manusia.

Akhirnya, kepada rakyat negara ini sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam yakinilah kepimpinan PAS/BA/KeADILan dan PRM, kerana keseluruhan barisan pimpinan yang berada dalam saf pimpinan BA/PAS/KeADILan adalah mereka yang memahami, menghayati dan mendalami ajaran Islam sebenar. Mereka melihatkan keikhlasan yang tinggi untuk menonjolkan nilai-nilai keadilan, kebajikan, kebaikan, demokrasi dan kebebasan hak asasi manusia secara telus. Dan percayalah Islam dalam sejarahnya tidak pernah mengizinkan umatnya berlaku zalim kepada umat atau bangsa lain.

Kerana itu, untuk melihat rakyat lebih aman dan Malaysia lebih demokratik, adil dan aman PILIHLAH KEPIMPINAN BARU MALAYSIA SELEPAS PILIHANRAYA UMUM KE-11 MEMILIH BARISAN PIMPINAN BA/PAS/KEADILAN/PRM DAN DAP. Kepimpinan UMNO/BN sudah terlalu letih dan mereka hilang keupayaan untuk membuat perubahan dalam sistem pemerintahan negara yang sudah terlalu teruk dilanda rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan betapa sekarang kuasa tertinggi pemerintahan negara telah beralih ke Majlis Tertinggi UMNO dan BN Sendirian Berhad di bawah Dr Mahathir, dan kini digantikan oleh kepala baru al-Imam DS Abdullah Badwi.

Ibn Sabah - 22.11.2003M - (suntingan M@RHAEN)

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: