Situasi awal menggambarkan jentera BA sukar disaingi
  - Dipetik drp Harakah Daily Net
 

KOTA BHARU, 21 Mac (Hrkh) – Proses pengundian di hampir semua tempat pembuangan undi di Kelantan berjalan lancar, apabila orang ramai datang seawal jam 8 pagi.

Peratusan pengundi yang keluar di beberapa tempat pengundian di DUN Chempaka, Tanjung Mas, Kota Lama dan Kijang lebih ramai di awal pagi. Cuaca redup memberi keselesaan kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab.

Sehingga tengahari ini, cuaca masih redup dan orang ramai terus bertali arus mengunjungi tempat-tempat pengundian.

Di BACHOK, bagaimanapun sedikit masalah berlaku apabila nama-nama pemilih yang terdapat dalam internet Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada dalam senarai buku SPR.

Calon PAS Parlimen kawasan itu, Wan Nik Wan Yusof Ngah berkata, kesulitan itu semakin bertambah apabila petugas SPR hanya mengguna kaedah manual untuk membuat semakan.

“Keadaan ini juga berlaku kerana pemilih mengambil sikap untuk melakukan semakan pada hari mengundi dan ini menimbulkan suasana agak kelam kabut di kaunter penyemakan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, SPR sepatutnya menggunakan komputer untuk memudahkan semakan dibuat, bagi mengelakkan berlaku kesesakan di kaunter pendaftaran.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku di Sekolah Kebangsaan Badak pagi tadi.

Di GUA MUSANG, suasana proses pengundian juga berjalan lancar di mana orang ramai termasuk pemilih yang tinggal di kawasan pedalaman sudah keluar mengundi.

Calon PAS DUN Galas, Chek Hashim Sulaima berkata, suasana pilihan raya di sini agak berlainan berbanding pilihan raya umum lalu kerana kedudukan masih 50 – 50.

Pada pilihan raya umum lalu, BN menguasai DUN Paloh, DUN Galas dan Parlimen Gua Musang.

“Penduduk Orang Asli yang tinggal di pedalaman kelihatan sudah ramai keluar mengundi. Begitu juga penduduk Cina di bandar ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, citarasa pengundi agak berlainan sekarang kerana mereka bebas membuat pilihan, tidak sebagaimana berlaku pada pilihan raya umum lalu.

Di JELI, wakil Harakah, Nazman Yusof melaporkan proses pengundi juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, ramai golongan belia yang bekerja di luar Kelantan balik mengundi.

“Kehadiran mereka seakan-akan menyuntik semangat baru kepada petugas PAS. Ini boleh mencorakkan suasana politik tempatan pada masa akan datang,” katanya.

Sebaliknya menurutnya, petugas-petugas BN sudah kelihatan kurang bermaya kerana mereka kepenatan untuk berkempen sejak hari penamaan calon lagi.

Beliau berkata, mereka keletihan kerana kurang mendapat sokongan daripada tenaga muda terutamanya anak perantau yang pulang mengundi.

Suasana sehingga tengahari ini memperlihatkan jentera PAS semakin sibuk dan sebahagian besar kenderaan yang melekat tanda parti bertanding lebih dikuasai BA berbanding kenderaan berpelekat dacing di Kota Bharu.

Sembilan DUN yang menjadi tempat persaingan sengit sebelum ini sudah membayangkan hasrat pemilih untuk mengekalkan kedudukan seperti pilihan raya umum lalu.

Jangkaan ramai pemerhati politik membayangkan undi PAS bagi DUN Kota Lama dijangka meningkat, memandangkan gerak kerja lebih tersusun.

Di beberapa tempat di Kelantan juga berlaku pos-pos BN menurunkan bendera dan ada juga pos BN tidak mempunyai petugas kerana habuan duit tidak sampai.

Di DUN Manek Urai keadaan itu dilihat lebih ketara apabila jentera BN langsung tidak memberi saingan sengit memandangkan bantahan mereka terhadap calon dari luar kawasan. - MJ

Petikan daripada HarakahDaily
- http://harakahdaily.net/article.php?sid=7173 - 21.03.2004 (7.00 malam)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN