‘ANCAMAN’ GELOMBANG GLOBAL FUNDAMENTALIS ISLAM (2)
Oleh: HC (Honda Civic)
Gelombang fundamentalisme kedua dimulakan oleh perang Afghanistan-Soviet. Umum mengetahui bagaimana besarnya pengaruh Mujahidin Afghan ke atas minda umat Islam seluruh dunia ketika itu. Ramai yang menyertainya dari seluruh dunia Islam. Ramai yang cuba-cuba memakai topi Afghan dan berpakaian seperti mereka. Tetapi ambo melihat peringkat ini lebih sebagai gelombang kebangkitan Islam, dan masih belum di peringkat gelombang fundamentalisme.

Gelombang fundamentalisme global pertama bermula dengan pengaruh yang dibawa oleh Usamah Bin Ladin, atau pendewaan beliau yang berlebih-lebihan oleh media Barat sendiri. Serangan ke atas Iraq dan kemudiannya disusuli oleh gerakan anti-Islam USA untuk cuba mengubah budaya umat Islam seluruh dunia jelas menjadi ancaman yang dipandang berat oleh umat Islam. USA lah sebenarnya yang mencetuskan gelombang Islamic fundamentalisme yang bersifat global ini.

Tanpa syuhada' Afghanistan, tanpa syuhada' Iraq dan tanpa syuhada' dari kalangan pejuang Islam yang lain hasil dari tekanan USA, tidak mungkin akan muncul pengaruh fundamentalisme di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Dan tanpa ini semua, UMNO tentu masih boleh tersenyum riang menikmati keselesaan duniawinya tanpa bimbang akan kehilangannya dalam waktu yang hampir ini.

Fundamentalisme muncul dari rasa bimbang umat Islam akan hilangnya heritage mereka. Siapakah yang menjadi punca kemungkinan ianya akan hilang jikalau bukan USA itu sendiri. USA mampu mengubah cara fikir dan world-view seluruh dunia dengan kekuatan medianya, tetapi ia juga mampu tanpa disedari untuk mengubah persepsi umat Islam terhadap agama mereka sendiri dengan kekuatan ketenteraannya.

Boleh dikatakan hampir seluruh gerakan Islam di dunia ini mendapat manfaat daripada usaha anti-Islam USA ini. USA secara tidak langsung telah memberikan saham yang tidak sedikit kepada kebangkitan fundamentalisme ini. Umat Islam pada asalnya hanya berada pada tahap kebangkitan Islam sahaja. Tetapi sikap agresif USA telah menjadikan umat Islam seluruh dunia mula bepegang kepada faham fundamentalisme, demi survival budaya mereka.

Dari sinilah, maka timbul delima UMNO dan parti komponen BNnya. Tiada satu pihak pun di kalangan mereka ini tahu bagaimana untuk sekurang-kurangnya mengawal gelombang yang tidak terkawal ini. Mereka semua sedar ianya satu fenomena global dan bukan semata-mata dibawa oleh PAS dan gerakan Islam di peringkat nasional sahaja. PAS sahaja tidak akan mampu membawa gelombang sebesar ini. PAS sahaja tidak akan mampu membuatkan Mahathir melutut lalu mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam Fundamentalis. Sebaliknya PAS lebih merupakan the convenient recipient dari fenomena global yang dicetuskan oleh USA ini.

Di samping fenomena global gelombang fundamentalisme ini melanda senario politik nasional, ianya juga turut melanda senario kehidupan seharian rakyat negara ini. Golongan bukan-Islam ramai yang merasa bimbang dengan perkembangan ini. Golongan Muslim yang sudah pun berada di pihak fundamentalis dan yang bakal memasukinya tidak pula merasa bimbang akan fenomena ini malah mengalu-alukannya, kerana melihat bahawa fahaman ini sahaja yang mampu menjadi benteng mempertahankan kesucian agama dan budaya mereka dari serangan pengaruh yang anti-Islam, samada yang lahir dari sikap pemerintah mahupun yang bersifat global.

Golongan Muslim seperti ini mungkin juga sedang memasuki satu fasa peralihan dan masih tidak jelas bagaimana untuk menanganinya vis-a-vis perhubungan dengan non-Muslim.

Ambo lahir dan dibesarkan dalam suasana bandar, berpindah dari satu bandar ke satu bandar sejak berusia 1 tahun, dibawa berpindah-randah oleh ibu bapa yang berlatarbelakangkan pendidikan barat yang lebih gemar berbahasa Inggeris ketika bertikam lidah. Disekolahkan juga dalam sekolah kebangsaan yang ketika itu diduduki oleh pelbagai bangsa.

Tahun 70-an menyaksikan generasi pelajar sekolah rendah dan menengah pelbagai bangsa dan agama. Belum ada sekolah cina yang banyak dan mempunyai impak besar kepada masyakat cina. Belum ada rasa bimbang masyarakat cina terhadap kemungkinan pupusnya budaya dan bahasa mereka ketika itu. Anak jiran berbangsa cina bebas keluar masuk rumah ambo dan sebaliknya, untuk bermain dan kami pergi ke sekolah juga dengan berkejaran bas yang sama. Pendek kata, ketika itu ambo dapat merasakan 'ukhuwwah' yang tidak sedikit dengan jiran cina tersebut.

Tetapi bangsa cina merasa budaya mereka mula diancam lebih awal daripada bangsa Melayu dan Islam, mungkin hasil daripada polisi kerajaan ketika itu yang terlalu Malay-centric. Akibat daripada rasa 'threatened' ini maka mereka mula beransur-ansur keluar daripada proses asimilasi ini dengan membuka sekolah cina mereka sendiri. Tidak boleh juga kalau mahu disalahkan mereka sahaja kerana memulakan sikap pengasingan diri ini.

Mereka perlu mencari jati-diri sendiri, dan jati-diri mereka ialah budaya dan bahasa Cina itu sendiri. Dari situlah mereka memperoleh kekuatan, yakni apabila mereka kembali kepada jati-diri mereka sendiri. Apa yang berlaku kepada mereka kini sedang berlaku kepada umat Islam itu sendiri, yakni setelah timbul rasa 'threatened' tersebut ke dalam jiwa umat Islam terhadap agama dan budaya mereka. Umat Islam tidak pernah menyangka bahawa satu hari nanti mereka juga perlu membuat adjustment terhadap cara fikir mereka, samada dengan atau tanpa bantuan pemerintah yang kononnya menjadi benteng budaya bangsa Melayu Islam ini.

Sebagaimana orang Melayu dahulu tidak mengerti mengapa orang cina dahulu mahu mencari jati-diri dengan sikap mendiri dan anti-asimilasi, orang cina sekarang sudah mula merasakannya pula. Mengapa umat Melayu yang Muslim ini mahu kembali ke zaman unta dengan tudungnya, dengan kopiahnya, dengan sekolah agamanya, dengan nasyidnya, dengan, dengannya... dengan Hududnya.

Perhubungan antara-bangsa di negara ini sedang melalui satu fasa yang anih; satu pihak mahu kembali kepada agamanya secara syumul secara perlahan-lahan tetapi pasti. Satu pihak lagi, yakni cina, terus-terusan hidup dalam budaya materialisme tidak terkawalnya. Dua ekstrim yang sukar untuk ditemukan.

Sebab itu pernah beberapa penulis non-Muslim di malaysiakini.com menyuarakan betapa pada zaman dahulu beliau bebas makan dan minum bersama rakan Melayunya, rakan Melayunya pula bebas makan di rumahnya memakan makanan yang dimasak cina itu sendiri. Tetapi itu semua kini hanya tinggal kenangan baginya. Ambo juga pernah merasakannya, cuma sebagai seorang kanak-kanak sahaja ketika itu.

Salah siapa, kalau mahu dikatakan sebagai satu kesalahan? (bersambung...)

Salam,
- HC (Honda Civic)
honciv@yahoo.com - 30.12.2003

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Tangguhkan dahulu