Suara PRM: Mana hilangnya RM250 bilion wang Petronas?
PELANTIKAN Najib Razak tidak menggemparkan sebab ia sudah dijangka. Yang menjadi soal ialah: Mengapa Perdana  Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi akhirnya memilih Najib, walaupun beliau lebih sukakan Muhyuddin Yasin?

Adakah untuk memastikan Umno tidak pecah belah?  Atau adakah kerana tekanan dari dua Tun, iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Daim  Zainuddin begitu kuat sekali?

Dari apa segi pun dilihat, nyata bahawa  Abdullah masih gelap dibayangi oleh bekas Perdana Menteri yang menjadi bosnya  dulu.

Hal ini lebih jelas lagi apabila Abdullah melantik Nor Mohamed Yakcop sebagai Menteri Kewangan Kedua yang baru. Banyak orang tidak mengenali Nor Yakcop sebenarnya, walaupun beliau agak lama menjadi Penasihat Ekonomi Dr Mahathir, semasa masih Perdana Menteri.

Media menggambarkan Nor Yakcop selalu memberi nasihat kepada Dr Mahathir. Apa yang tidak disebut oleh media  yang sama ialah beliau sangat taat menurut perintah Mahathir, walaupun melibatkan penggunaan wang negara dengan cara yang tidak telus sehingga akibatnya merugikan negara dan rakyat.

Pada tahun 1992-93, Mahathir menceburkan negara ke dalam aktiviti spekulasi berkaitan nilai wang Sterling  British berbanding dengan dolar Amerika.

Mahathir menyokong sterling, manakala George Soros memihak kepada dolar.

Nor Yakcop, sewaktu itu  bertugas di Bank Negara, melaksanakan segala aktiviti spekulasi  itu.

Akhirnya, Malaysia kerugian lebih dari RM15 bilion; bahkan ada yang  menganggarkan RM25 bilion. Mahathir sangat marah kerana Soros untung besar.

Setahun lalu, Nor Yakcop melaksanakan idea yang memang dikehendaki oleh Mahathir, iaitu untuk menyelamatkan pasaran saham.

Mengikut sebuah  laporan CIMB, dari 1997 hingga 2002, sebanyak RM53 bilion telah ditarik keluar dari pasaran saham KL. Untuk memulihkan pasaran ini, Syarikat Valuecap telah  dibentuk, dengan modal RM10 bilion dikumpul dari wang Khazanah, PNB dan Amanah Pencen.

Pada masa yang sama, ini diharap boleh memberikan keuntungan kepada korporat kroni besar tertentu dan dapat menambah dana
pilihanraya  Umno. Menurut Nor Yakcop Valuecap ialah idea beliau.

Dijangka Nor Yakcop  akan menguruskan segala hal dalam Kementerian Kewangan, kerana Menteri Kewangan  Pertama tidak memahami a b c ekonomi dan kewangan dan juga akan sibuk dengan berbagai-bagai urusan lain.

Kami khuatir apa yang akan berlaku ialah Nor Yakcop melapor dan bertanggungjawab kepada Perdana Menteri serta Menteri Kewangan yang lepas (Mahathir) dan bukannya yang sekarang  (Abdullah).

Semasa berkuasa Mahathir sering mengarahkan penggunaan wang  negara terutama untuk projek-projek mega yang membazir dan menyelamatkan (bailout) syarikat serta korporat kroni yang nazak.

Segalanya dilakukan  dengan cara yang tidak telus. Ada skandal yang telah terbongkar, tetapi masih banyak yang belum terdedah,
berhubung penggunaan wang negara, Petronas, KWSP,  Khazanah dan lain-lain untuk projek mega dan "bailout" kroni.

Bahaya paling besar ialah jikalau Nor Yakcob dijadikan alat untuk melindungi segala skandal, yang melibatkan Mahathir, dari terdedah.

Adakah perlantikan Nor Yakcop akan menguatkan lagi usaha untuk menutup bermacam-macam skandal yang  berupa salah guna kuasa dan yang berbau korupsi?

Sebelum ini ramai yang telah mempersoalkan perlantikan Tun Mahathir sebagai Penasihat PETRONAS. Mereka mendakwa sebagai penasihat beliau bukan saja boleh menasihat bahkan mampu mengarah PETRONAS menutup segala pekong.

Kita semua tahu bahawa simpanan  modal terkumpul Petronas sekarang tinggal hanya sekitar RM50 bilion, walaupun  jumlah sepatutnya melebihi RM300 bilion.

Ke mana lesapnya lebih RM250 bilion? Berapa banyak digunakan untuk projek mega dan "bailout"? Jawapan dari  kebanyakan soalan seperti ini hanya diketahui oleh Mahathir serta segelintir manusia yang paling rapat sebagai kroni ekonomi dan politiknya.

Segala perlantikan dan perubahan dalam pucuk pimpinan yang diumumkan oleh Abdullah menunjukkan dengan jelas betapa lemahnya beliau sebagai Perdana Menteri dan  pucuk pemimpin negara.

Ia membuktikan Abdullah tidak lebih dari watak wayang kulit yang didalangi Mahathir.

Jangan mimpi Abdullah boleh  memerangi korupsi dan salah guna kuasa. Tiada harapan Abdullah boleh membawa perubahan.

Kiriman: GuagStation
PAS tawan Kedah 2004
guaqstation@al-islam.com - 15.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN