SURAT TERBUKA UNTUK DR ISMAIL IBRAHIM
Oleh dr. Putera Jebat (dr_putera_jebat@yahoo.com)


Akhirnya Datuk Dr menjadi orang penting dan tumpuan pada saat menjelangnya pilihan raya. Tahniah atas keberanian Datuk Dr mengatakan salah terhadap orang yang mencerca atau menghina peribadi seseorang tokoh politik semata-mata untuk menjatuhkannya dalam pilihan raya ini. Sebagai seorang ulama besar yang alim, tentulah celaan Datuk Dr terhadap pihak berkenaan kerana perbuatan pihak tersebut adalah salah dan berdosa besar di sisi Islam.

Sebenarnya sebahagian besar rakyat tidak menerima sahaja apa yang Datuk Dr katakan. Sekalipun TV dan akhbar harian memberi fokus terhadap wajah dan kata-kata Datuk Dr, janganlah hendaknya Datuk Dr berasa semua pihak menerima dengan terbuka. Pihak Pas dan KeADILan sedar segala kata-kata celaan Datuk Dr ditujukan kepada mereka. Mereka masih ingat bahawa Datuk Dr sebelum ini adalah salah seorang pelakon utama dalam VCD Debat Olok-Olok Umno-Pas. Oleh kerana drama debat itu diterbitkan oleh Umno, maka tentulah Datuk Dr sudah isytihar sebagai aktivis Umno. Maka Datuk Dr dikira berkempen untuk Umno-BN dengan menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi Majlis Fatwa.

Kewibawaan Datuk Dr masih boleh diperbaiki jika Datuk Dr berlaku adil. Setelah Datuk Dr mencela pihak BA maka cela pula pihak BN yang begitu ganas mencerca peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sepanjang usia Datuk Dr lebih 60 tahun, siapakah manusia Melayu yang telah dimalukan peribadinya sebagaimana yang dialami oleh Datuk Seri Anwar. Datuk Dr jangan lupa bawa Dr Mahathir sebagai PM dan para pemimpin kanan negara/ Umno waktu itu tidak berlapik mendedahkan perkara aib yang belum ditentukan betul salahnya.

Datuk Dr jangan lupa, mereka termasuk mahkamah dan media telah secara terperinci dan berulang-ulang menyebut mantan TPM itu berzina dengan isteri orang. Bukan itu sahaja dalam mahkamah diusung tilam, ditunjukkan bulu kemaluan dan air mani sekali! Setelah semua diulang-ulang dan segala warga tua muda bodoh pandai dapat menghafalnya, mahkamah mendapati kisah tilam, bulu dan air mani tidak berkenaan dalam kes yang sedang dibicarakan! Tidakkah itu perbuatan mengaibkan yang sangat keji di sisi Islam. Hang Tuah, sekali pun dituduh berzina oleh Sultan Melaka dahulu, tidak pula didedahkan satu persatu babak ranjangnya sedangkan baginda Sultan menjatuhi Hang Tuah hukuman mati!

Hari ini, bermula dengan Dr Mahathir hingga budak-budak Umno tepi jalan yang memainkan fitnahnya terhadap Datuk Seri Anwar itu. Tidak ada, malah dalam internet dan cerita kedai kopi orang Umno bergelak ketawa dengan perkataan ‘zakar masuk dubur’. Semua merujuk fitnah seorang lelaki yang dahulunya telah berbakti kepada negara, malah saya yakin Datuk Dr lebih kenal peribadi Datuk Seri Anwar. Bukankah kerana politik fitnah terhadap Datuk Seri Anwar terus dijaja, dan di manakah ketangkasan Datuk Dr dalam hal ini.

Jika Datuk Dr tidak mahu berlaku adil dengan mencela perbuatan tokoh Umno terhadap Datuk Seri Anwar, adalah lebih afdal Datuk Dr berhenti daripada jawatan Pengerusi Majlis Fatwa. Keluarlah dari rumah dan berkempenlah di Permatang Pauh untuk memenangkan sahabat Datuk Dr, al Imam Pirdaus. Bawalah tilam, bulu dan contoh air mani yang pernah digunakan dalam mahkamah itu untuk dipamerkan kepada pengundi Permatang Pauh! Yakinkan sungguh-sungguh bahawa semua yang dikata oleh pemimpin BN-Umno bukan fitnah. Sekali pun fitnah, tetapi jika daripada mulut orang berlambang dacing, Allah maha pengampun, sebab orang dacing telah menjadikan Malaysia Negara Islam contoh.

Akhirnya pertanyaan yang wajib dijawab oleh Datuk Dr, tidak salahkah Allah mencerca Abu Lahab dalam al Quran dan Nabi Muhammad pula menggelar bapa saudaranya sendiri sebagai Abu Jahal (bapa kebodohan!)?

Tolong Datuk Dr, kewibawaan dan kealiman Datuk Dr sangat teruji dan masih belum terlambat memuncakkannya kembali. Jika Datuk Dr terus berwatak seperti semalam, Datuk Dr telah merendahkan diri sendiri ke taraf yang sangat hina, sebab orang tahu Datuk asalnya seorang ilmuwan.

Dr. Putera Jebat - 18.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com (tidak berfungsi untuk sementara waktu)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN