Sepintas Lalu...
Oleh Dr Nologareng
Di sana-sini pemimpin Umno-BN meraikan segala juak-juaknya dengan kemewahan makan di hotel atau acara berjalan-jalan Cuti-cuti Malaysia. Pelbagai acara diatur dan dijalankan di hotel seluruh negara. Maka yang ceciwi pun kelihatan bergaya sakan seolah-olah itu mempamerkan kemampuan mereka sehari-hari. Mereka ini lah foot soldier Umno-BN yang sanggup bermati-matian mempertahankan status quo rejim yang sebenarnya jelas mempergunakan mereka. Anda dengan mudah boleh meneka dan menuding siapa mereka.

Menteri Pelajaran Hishamudin kini mula terkena badi gejala samseng dalam persekolahan. Kali ini ia perlu menanganinya, satu kerja songsang yang perlu dibuat sedangkan itulah budaya yang diterap di kalangan Pemuda Umno bagi menakut-nakutkan pengundi dan penduduk setempat. Putrajaya adalah contoh terbaik untuk memperkatakan budaya samseng pilihan raya. Manakala Pilihan Raya Kecil Indera Kayangan dan juga Sanggang di Pahang sedikit masa dahulu telah pun membuka mata siapa sebenar diri mereka.

Khabarnya Hishamudin yang telah memeluk dan mencium pipi DS Endon pada malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-11, telah diizinkan Abdullah menggunakan polis dalam menyelesaikan masalah itu. Sebenarnya itu kerja merapu juga, setakat mana sangat polis mahu digunakan terpacak di kawasan sekolah sedangkan tugas rondaan am pun mereka culas. Sepatutnya, peringkat pengurusan sekolah dengan pihak warden yang bertanggungjawab sudah cukup untuk menangani masalah sebegitu dengan penglibatan aktif para ibu bapa.

Dalam akhbar minggu lepas juga telah diberitahu bagaimana konsep pembelian peralatan ketenteraan akan diubah-suai dengan melibatkan sektor swasta. Katanya ia akan menjimatkan lagi perbelanjaan kerajaan. Maklumlah keadaan ekonomi negara memang tenat benar setelah diselewengkan oleh mantan PM dahulu yang kini bergelar Tun Kepala Taik. Anehnya, dasar yang serupa juga telah didendangkan oleh Tun Mahathir dua dekad lalu sehingga negara kini berada di jurang kemuflisan!!?

Sebagai halwa telinga, dikatakan dasar sebegitu telah dijalankan degan jayanya oleh negara Dunia Pertama seperti Amerika dan Benua Eropah. Iyakah….?? Tidakkah dasar sebegitu yang menyaksikan hutang terkumpul negara Paman Sam mencecah 6 Trillion Dollar US? Apakah penguasa dalam negara tidak tahu kemelut ekonomi yang menghimpit Amerika kini? Yang membalunnya ialah pelbagai Konglomerat dan korporat yang rapat dengan rejim Bush seperti Halliburton. Apakah langkah mudah serupa dalam memunggah saki-baki tabungan negara mahu ditiru oleh rejim Mr Cleantong?

Khabar-khabar angin telah bertiup yang mengatakan pelbagai cukai, tol dan percukaian lainnya akan meningkat. Saya merasa sungguh terpikat dengan kerja propaganda Umno-BN sehingga menjadikan pihak yang mengundi mereka sebagai kelompok bahlul. Kedah sudah pun mengeluarkan arahan baru kepada JUPEM dan Pejabat Tanah untuk dilakukan semakan semula sebagai punca tambahan cukai. Kali ini ia akan menjadi lebih luas sasarannya. Dan kebanyakannya adalah ahli Umno fanatik di kawasan kampung sana.

Begitu juga dengan unit trafik PRdM yang begitu galak bekerja seiring dengan slogan Cuti-cuti Malaysia di sepanjang jalan Persekutuan dan lebuh raya. Semakin kerap dan ligat anda menggunakan lebuh raya semakin tinggilah risiko mengutip tiket samannya. Kita boleh terima sekiranya had laju yang dilanggar itu dalam angka yang luar munasabah. Kerajaan juga sebenarnya perlu mengambil tahu bagaimana keadaan kereta kini yang sudah tinggi teknologi dan piawai keselamatannya. Kita ada ABS dan juga Airbag yang dibekalkan. Pun begitu, biarlah pendekatannya berpada-pada dan dapat diterima akal. Sekiranya sesuatu had laju dikenakan kerana ada sekolah di kawasan itu, kenapa pula speedtrap menanti pada hari cuti??

Bukankah lebih baik jika seorang dua anggota polis diletakkan di situ sehingga tamat sesi kemasukan budak ke sekolah! Yang anehnya speedtrap segera menjelma apabila selesai bebudak masuk ke sekolah dan memulakan pengajian. Untuk keselamatan kah atau sebagai agensi mencari duit untuk penguasa yang menindas??

Apabila TV3 ada menyiarkan slot pengakuan khas apa yang dikenali sebagai JI, kita menjangkakan ada sesuatu yang tidak kena dan dalam perancangan sulit rejim Abdullah Badawi. Ingatan kita segera kembali kepada tuduhan yang cuba mengaitkan Hj Hadi dengan JI setahun yang lalu. Kita juga segera melihat kembali pola kerja khianat pemerintah dalam sandiwara Sauk, KMM dan pertelingkahan kaum di kampung Medan. Cerita-cerita sebegini harus diulang-ulang supaya rakyat faham apa yang dikatakan pemerintahan ala Machiavelli. Matlamat Menghalalkan Cara.

Satu yang perlu direnungkan dan sekali gus mendedahkan siapa pemimpin negara yang sebenarnya ialah isu keselamatan di Selat Melaka. Sebagai lanjutan dari insiden 911, AS telah memperoleh banyak manfaat dari telaga minyak di Iraq sehinggalah kepada ruang untuk ia bertapak di seluruh dunia dengan preteks ‘Perang menentang Keganasan’. Singapura berkeriau mengundang kehadiran tentera marin Amerika untuk ditempatkan di Selat Melaka itu. Kita sedia maklum lah perangai Singapura, yang anehnya nanti kita menjangka pemimpin negara akan membenarkan kehadiran Amerika di sini.

Memang lah pada ketika ini Najib dan PakLah menentang. Tetapi itu semua atas dada akhbar sahaja. Untuk tujuan propaganda. Selepas pengunduran Inggeris, nampaknya Amerika pula akan bertapak sebagai kuasa penjajah baru- sekurang-kurangnya dalam bentuk kedaulatan.

Kedaulatan negara dengan mudah mula dicerobohi. Untuk peringatan, kita perlu mengingatkan semula bagaimana FBI dan juga Kastam Amerika sudah pun mempunyai pejabat mereka di Kuala Lumpur dan juga Pelabuhan Kelang. Kalau marin pun boleh berkubu di rantau ini, kira negara sudah jadi macam Panama. Kita perlu melihat dari skop yang luas dan berpandangan jauh. Tidakkah atas isu keselamatan juga yang Inggeris menjajah negara akhirnya? Bukankah atas nama keselamatan perniagaan yang negara Barat banyak mencabuli kedaulatan negara Asia? Inggeris di Canton, ShangHai dan Hong Kong. Belanda menjajah Indonesia dan Sepanyol menodai Filipina?

Ini lah masalahnya apabila PM adalah seorang yang tidak bersih dan juga dipalit skandal penyebaran perusahaan nuklear secara haram. Mungkin tawar menawar antara Abdullah dan rejim AS sana ialah membenarkan kehadiran Marin di sini? Apatah lagi apabila kita lihat suasana kekacauan dan keganasan di Selatan Thailand. PakLah jelas telah membahayakan kedudukan dan kedaulatan negara. Apakah PM PakLah yang ditabalkan secara haram oleh SPR akan menjual maruah dan martabat negara demi kerana anaknya?

Apabila tentera Marin berjaya bertapak di sini, keadaan negara kita akan menjadi bertambah rumit. Pelbagai unsur kuning dan sabotaj antarabangsa akan bertumpu ke sini. Bukan menjadi satu rahsia lagi apabila ejen yahudi/Zionis sering menggunakan pasport Amerika dan lain-lain negara Eropah untuk berkunjung ke negara ini. Apakah mereka ingin membantu pertumbuhan KDNK dengan membawa pelaburan terus atau berbelanja di sini? Tentu sahaja tidak.

Kalau kita melihat ke belakang, peristiwa letupan di Bali, Tanzania dan juga letupan kereta api di Madrid harus menjadi iktibar kepada kita. Kerja khianat subversif Zionis telah diguna untuk memaksa rakyat negara terbabit menerima cara mereka dalam menentang keganasan yang dikaitkan dengan Islam. Apakah tidak mungkin mereka melakukan pengkhianatan serupa untuk merosakkan negara kita?

Dalam keadaan pemerintah yang baru membentuk kerajaan secara haram melalui ehsan SPR sedang dihenyak kebimbangan kebangkitan rakyat, tentu sahaja tawaran penempatan Marin akan diterima bulat-bulat tanpa syarat. Kita juga harus menyedari bagaimana rejim Bush telah ‘mengendorse’ keputusan Pilihan Raya Umum lalu sebagai dijalankan secara adil!! Sebagai balasannya, tidak mungkinkah tapak diberi untuk Marin? Ianya menjadi serba mungkin.

Hubungan simbiosis sebegitu antara rejim haram dalam negara dengan rejim yang hampir serupa di Amerika sana sesungguhnya amat berbahaya sekali. PakLah tentu tiada keberanian seperti YTM Tunku Abdul Rahman yang menolak rancangan sabotaj Inggeris terhadap Indonesia sedikit masa lalu. Bapa Kemerdekaan ketika itu telah berkeras mengatakan yang Malaysia berseteru dengan Soekarno bukannya rakyat Indonesia. Malah kalau kita kaji betul-betul, konfrontasi Indonesia- Malaysia juga adalah adu domba negara barat terhadap dua negara berjiran yang punya sejarah persaudaraan yang panjang.

Buat pertama kali dalam sejarah, PM kita jenis manusia lembik tetapi zalim kepada bangsa sendiri di sebalik senyuman manisnya. Dalam masa yang sama ia menjadi sahaya serta khadam kepada Amerika melalui ugutan terhadap masalah perniagaan haram nuklear anaknya yang bernama Kamaludin.

Patutkah kita melakukan sesuatu untuk menyelamatkan maruah dan keselamatan negara?

Dr. Nologareng- 06.04.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN