Apa Nak Jadi Dengan Rakyat Bernasib Malang?
Oleh Dr Nologareng
Dalam membuat sesuatu biarlah kita berterusan, bersederhana supaya ia memperolehi kesempurnaan pula. Begitu juga dalam soal tulis-menulis ini. Sejak tahun 1998 sehingga sekarang penulis yang ikhlas tanpa mengharap balasan kewangan mahupun ganjaran tanpa jemu melakar dan menggarap kejadian dan peristiwa dalam negara kita. Ikhtiar itu dibuat atas satu kesedaran, supaya rakyat marhaen faham dan sedar akan hak-hak mereka sebagai rakyat dan warganegara dalam sebuah negara Demokrasi Berparlimen ini.

Dalam penulisan ini, sekali lagi kita akan menumpukan perihal penyakit bengkak hati kanak-kanak, Biliary Atresia yang kini seperti sudah menjadi penyakit lumrah seperti mana demam selesema. Mengikut rekod, sekiranya pembedahan Kasai gagal memulihkan keadaan, maka si pesakit perlu dibedah dengan pemindahan hati dari seorang insan yang sesuai. Pembedahan sebegitu memakan belanja yang cukup besar- sekitar angka RM300,000. Kalau dibedah di luar negara lagi dahsyatlah angkanya.

Pembedahan ini menjadi popular dan bermutu tinggi dalam negara apabila seorang Doktor pakar dibawa pulang untuk berkhidmat di SJMC. Dr K.S Tan adalah satu nama yang besar dan dihormati dan bertaraf dunia dalam kerjayanya. Yang memisahkan kecekapan pisau bedahnya dan pesakit malang itu ialah wang sebesar RM300,000!!! Sekaligus, itu jugalah nilai harga nyawa anak-anak malang itu untuk menempuh usia remaja seterusnya.

Mengikut rekod kita dan juga apa yang pernah kita tulis, nama-nama seperti adik Sofea Qhairunnisa, Ikmal dan sebagainya sudah pun kembali ke rahmatullah atas kegagalan menjalani pembedahan itu oleh faktor wang!! Ia kemudiannya telah menjadi berita yang dihebohkan oleh akhbar perdana yang sekaligus membuatkan kerajaan mengumumkan penubuhan Tabung Penyakit Kronik yang bernilai RM100 juta. Seratus juta Ringgit, ma!

Namun sehingga hari ini, kewujudan tabung itu lebih bersifat halwa telinga sahaja. Beritanya akan tenggelam timbul dengan beberapa cerita yang dilantun-lantun bagai bola pingpong. Kemudiannya ia akan disenyapkan oleh para wartawan khadam kerajaan. Tidak ada lagi investigative journalism dan tidak ada lagi prinsip membela dan memperjuangkan nasib rakyat. Dalam konteks ini ialah pembelaan tentang pesakit Biliary Atresia. Sekali gus, penulisan ini juga mewakili jenis-jenis penyakit lain dalam masyarakat yang memerlukan pembiayaan yang besar.

Penetapan syarat sebelum wang Tabung itu dikeluarkan memang suatu yang tidak masuk akal dan dibuat oleh manusia bebal. Merujuk kembali kepada sejarah silam dan fe’el rejim pemerintah, ia tak lebih sekadar melepaskan kentut di kerusi sahaja. Sekadar untuk melepaskan diri! Malah daripada kelakuan dan sikap pelik mereka itu, tidak salah untuk kita mempersoalkan apakah sebenarnya status kewangan negara? Apakah benar wang RM100 juta itu sudah ada atau ia hanya besar di atas kertas sahaja? Tidak salah untuk kita membuat andaian dan telahan sebegitu.

Apabila kita sedar betapa rejim pemerintah sudah menjadi makar mahupun di zaman PakLah atau PM yang sudah belah, kita kini terpaksa pula memikir cara lain sebagai jalan keluar. Kalau diturutkan dari segi zakat, keluarga mangsa memang layak untuk diberi bantuan wang yang diserahkan rakyat itu untuk diagih kepada mereka yang perlu. Di sini juga masalah bertumpu. Zakat yang dikutip lebih mudah untuk diseleweng daripada fungsi sebenar badan itu. Mereka lebih galak untuk membuat bangunan daripada memberinya kepada golongan yang Allah perkenan. Terlalu banyak cerita penyelewengan zakat sendiri sehingga ada yang menyedut untuk dibuat banglo peribadi, manakala sebuah kerajaan negeri telah menyalahgunakan wang zakat untuk membeli kenderaan agensi negeri. Dan penyelewengan serta penipuan sebegini tiada henti.

Pilihan yang mungkin ada di tangan rakyat ialah daripada segi menggerakkan satu badan atau menggunakan NGO sedia ada untuk menjadi perantara bagi mengagihkan tabung Jumaat masjid seluruh negara. Sebagai contohnya, peruntukkan kutipan Jumaat minggu pertama untuk diberi kepada tabung ini. Sekiranya dibuat dengan telus, jujur dan berterusan, masyarakat kita akan menjadi lebih terbela dan kuat pula ukhwahnya.

Kita tidak lagi boleh berharap kepada rejim yang ada serta para kroni yang mengelilinginya. Mereka lebih gemar kepada acara yang menjulang populariti, seperti mana Yayasan Bukhary yang membiayai Datuk Malik Mydin sebanyak RM1.5 juta  melampiaskan hobinya merenangi Selat Inggeris. Atau seperti mereka bergelut menghulur bantuan kepada Ras Adiba Radzi tempoh hari yang mendatangkan siulan dari rakyat jelata.

Cadangan tadi adalah bersifat peribadi yang tercetus oleh rasa simpati yang amat tinggi. Mana tidaknya, air mata mengalir tanpa sedar apabila melihatkan anak itu yang jelas kesakitan, tidak selesa dan menderita.

Hairan kita, kalau dahulu kerajaan mudah sahaja membantu seorang warga RM2 billion menyelamatkan Syarikat perkapalannya yang akhirnya kantul juga tanpa perlu meminta kebenaran daripada rakyat. Kenapa pula untuk anak malang sebegini banyak pula ragam dan songelnya?? Apakah kita masih menaruh harapan dan kepercayaan kepada rejim baru yang bertukar nakhoda?

Selepas habis tempoh 100 hari, harapan dan aspirasi rakyat untuk melihat perubahan dan pembaharuan dalam pemerintahan hanya tinggal kenangan. Apa yang sedang berlaku dan heboh adalah Wayang Bangsawan sahaja. Itu satu tajuk yang lain pula.

Apa pun memang jelas nasib rakyat marhaen terus tidak terbela, apatah lagi mereka yang ditimpa malang seperti penyakit-penyakit kronik begitu. Barangkali mereka menunggu sehingga ada anak JKKK atau Ketua Bahagian Umno ditimpa penyakit begitu, baru mereka lakukan sesuatu.

Perlukah kita menunggu atau korbankan sahaja mereka dalam Pilihan Raya Umum ini?

Dr. Nologareng - 19.02.2004 (suntingan M@RHAEN)
Artikel-artikel terdahulu:

Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Nabil…..
Amier Andyka: Satu Lagi Kes Biliary Atresia!
Tabung Bantuan Penyakit Kronik

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN