AFTA Atau AUTA
Oleh Dr Nologareng
Sudah menjadi satu berita anti-klimaks apabila harga kereta yang ramai-ramai orang jangkakan turun, tetiba mencanak pula naiknya. Dua tiga tahun kebelakangan ini, ramai dari kita yang bertahan dan bersabar saja dengan karenah kereta lama sambil memujuk hati, tak lama lagi harga kereta akan turun. Sudah terbayang di mata untuk memandu kereta baru yang serba selesa serta selamat dengan harga yang murah pula (bukan Mercedes Mata Belalang). Apapun sehingga ke hari ini, mimpi itu telah ditafsir sebagai salah walaupun petunjuk dan kehendak AFTA sendiri menuntut kepada kejatuhan harga untuk dinikmati oleh pengguna.

Ramai pengguna yang mengeluh. Sudah ada pula yang mempersoalkan, kalau begitu lebih baik kembali kepada sistem yang lama tanpa AFTA. Ramai juga yang merasa marah dan geram melihat kepada jawaban Menteri MITI Rasuah Aziz yang jelas tiada kemanusiaannya. Tidak layak untuk seorang menteri bagi mempermain dan menaikkan kemarahan rakyat yang juga merupakan pengundi. Rafidah telah memperolok dan memperbodohkan rakyat dengan berkata betapa mereka sepatutnya mendengar saja pendapat dan pandangan beliau serta PM terdahulu- Tun Kepala Taik Dr Mahathir Mohammed. ‘You should’ve listened to what I’ve said, You should’ve listened to what Tun Mahathir said before…’ begitulah lebih kurang ayatnya yang jelas mempamerkan kesombongan dan keangkuhan seorang menteri dalam negara kita ini seolah-olah rakyat bodoh belaka. Dan menteri ini juga merupakan center stage tuduhan pengamalan rasuah yang dibuat Anwar Ibrahim sedikit masa dahulu.

AFTA ini memang satu ikatan perdagangan bebas serantau yang penting serta tidak boleh dibuat main-main. Ia menjadikan rantau ini sebagai satu kawasan perdagangan antarabangsa yang kompetetif. Perjanjian itu membenarkan anggotanya mengekalkan tariff terhadap bukan ahli sementara itu pula memansuhkan kesemua halangan perdagangan sesama mereka. Ini dianggap sebagai batu loncatan kepada pendekatan multilaterisme yang dikatakan sebagai terbaik sekali dalam dunia perdagangan. Perdagangan bebas sebegini akan menghukum ketidakcekapan manakala bagi perdagangan yang berdaya saing pula akan memperolehi manfaat serta habuan yang lumayan. Industri yang dilindungi sebelum ini akan berada di pehak yang merugikan kerana peningkatan barangan import pada harga yang rendah akan mengancam mereka. Bagi industri yang kompetetif, mereka akan mengecapi keuntungan besar melalui pergerakan bebas dalam pasaran negara anggota.

Melalui Kawasan Perdagangan Bebas ini, pengguna adalah golongan yang paling beruntung sekali kerana mereka boleh menikmati harga barangan yang rendah disebabkan penghapusan tariff. Ini ditegaskan oleh Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia, MIER dalam satu tulisannya yang boleh dipetik dari lamannya.

Proton dan lain-lain kereta nasional memang akan menghadapi masalah sekiranya mereka tidak melakukan satu perubahan ketara dalam operasi mereka terutamanya yang bersangkutan vendor pembekalan yang diwarnai oleh hubungan politik yang berbelit dan jelik. Tariff yang agak tinggi sebelumnya akan segera dikurangkan serta ditarik mengecil sesuai dengan tuntutan AFTA. Namun, rupanya kerajaan telah berhelah dengan mengumumkan pula struktur cukai eksais yang baru dan menjadikan keadaan semakin haru dan bercelaru. Memang di negara kita, para menteri sungguh berkuasa. Cuba kita lihat dalam kes Menteri Nazri yang dengan angkuh telah memaki hamun pegawai BPR, Kes Menteri Musa Mohamad dengan dua orang pensyarah UKM yang menyoal kebekersanan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kalau mahu disenarai memang panjang sekali, cukuplah dua contoh sahaja yang diberi.

Apabila Proton merasa tertekan dengan cemuhan rakyat dan juga jelingan saingnya yang telah ditempangkan dengan pelbagai pendekatan dan syarat, maka mereka cuba menagih simpati dan sokongan moral dengan iklan yang sungguh melucukan serta nakal. Habis segala media diguna, tak cukup kaca tv akhbar pula ditempah mereka dengan niat mencatur rakyat punya minda. Apakah ianya berjaya? NEHI HEY! Para nada. Iklan itu sekadar melegakan kerungsingan isi perut mereka sendiri sahaja. Kalau pun ada yang terpikat adalah suku-sakat dan juga kroni yang dekat. Kenaikan harga kereta melalui pendekatan baru jelas menyebabkan rakyat rasa terbuku. Ramai orang Melayu dan rakyat umum yang menjeruk rasa. Arus kebencian dan rasa menyampah kepada pemerintah bagai mendapat nafas baru atas kejahatan tangan mereka sendiri melalui AFTA yang telah diautakan.

Kini Proton memaksa perlindungan baru untuk 20 tahun lagi sambil melempar pelbagai cerita dan janji. Lalu diungkit yang Proton menyuntik RM13 Billion ke dalam ekonomi negara serta menyediakan perkerjaan untuk ratusan ribu rakyatnya dan orang luar. Proton dikatakan telah menaikkan martabat negara menjadi pengeluar kereta yang ke sebelas di dunia.(tetapi kenapa dalam Malaysia sahaja gebu pasarannya?) Memang panjang hujah dan kata-kata manis mereka supaya rakyat terjerat. Akan tetapi mereka terlupa untuk menceritakan bagaimana mereka telah dilindungi dan dibajai laksana bayi yang kecil dari awalnya. Malangnya seperti kata seorang penulis, bayi itu tidak pun membesar sedangkan keperluannya mengalahkan orang dewasa. Kebantutan yang terjadi dalam perkembangan Proton disebabkan oleh factor yang multi sifatnya. Antaranya ialah agenda yang lebih bersifat politik serta dipolitikkan pula perjalanan industri itu. Pernah orang menyoal apakah benar dan ikhlas rejim negara ini mahu menjadikan negara terkenal sebagai pengeluar kereta.

Negara kita menjadi huru-hara dan bercelaru apabila politik dijadikan satu industri. Kalau benar mahu memastikan Proton sebagai pengeluar kereta yang unggul, kenapa pula ada anak menantu yang diberi AP membawa masuk kereta dari luar negeri? Hasil dari aktiviti begitu mereka boleh menyauk senang-senang berjuta RM tanpa sempat ketiak berpeluh. Sudah lah begitu, selama ini Proton tidak pun mempunyai terowong angin bagi menguji model keretanya, sedangkan Petronas pula membeli ekuiti terowong serupa di luar negara hanya untuk kegunaan pasukan lumba kereta yang ditajanya sahaja. Bukankah ia sudah menjadi satu cerita gila?

Wang rakyat akan akhirnya habis begitu sahaja di tangan mereka yang tidak jujur kepada amanah yang diberi. TKT Mahathir telah memulakannya manakala PakLah pula mengikut sahaja seperti orang buta yang dipimpin arah tujunya. Ada sekali dua yang kununnya menunjukkan PakLah cuba beralih arah, akan tetapi apabila kita mendalami apa yang diwar-warkan ia lebih kepada membina imej sahaja. Antaranya ialah penggunaan tender terbuka dalam kontrek kerajaan untuk masa hadapan. Akan tetapi secara berlapik telah pula diberitahu betapa dalam kes-kes tertentu, kaedah lama menjadi penentu. PM baru dikatakan akan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan di bawah RM ke 8, akan tetapi segala projek mega dan perjanjian haprak yang ditinggal Musibat Tua itu terus berjalan. Keadaan sudah menjadi semakin rumit dan sukar. Akan tetapi mereka siarkan dalam bentuk yang lunak dan enak. Malaysia dipuji sebagai penjaja Bon Islam yang elegante. Gabenor pula dipuji sebagai yang terbaik di dunia.

Manakala imej Menteri Kewangan Kedua si TS Mohd Nor Yakcob tak usah cerita lah. Digilap bagai ia sebuah lampu Aladdin yang boleh mengeluarkan jin untuk memperbaiki ekonomi negara. Walhalnya beliau adalah seorang cendikia yang jahil dalam ekonomi sehingga negara kehilangan RM30 Billion dalam satu urusniaga spekulasi mata wang yang dibuat secara sembunyi-sembunyi dengan izin Perdana Menteri. Kerana kesilapan itu Gabenor Jaafar Hussein telah meletakkan jawatan dengan mamak itu sendiri dilarang dari terlibat dalam industri kewangan. Perginya Anwar melalui helah politik yang hodoh oleh Mahathir telah membuka peluang untuk jin itu kembali. Ceritanya hampir sama dengan kisah Menteri Pendidikan TS mUsa Mohammad yang juga makan suap. Kedua orang ini meningkat naik dengan kehendak dan arahan TKT Mahathir. Sepatutnya TS Mohamed Nor Yakcob sudah berhenti atas kesilapannya mengurus soal ekonomi. Akan tetapi dalam negara Malaysia Boleh ini, yang baik terpenjara dan yang khianat, jahat dan sadis bebas menghayunkan telornya.

Kembali kita kepada soal AFTA. Jika menurut adat dan seperti yang diamal oleh negara jiran, berlaku penurunan harga barangan terutamanya kereta. Akan tetapi rejim yang angkuh ini telah melakukan sebaliknya. Memang benar ia tidak menyalahi atau melanggar AFTA kerana muslihat itu dibuat secara putarbelit juga. Akan tetapi ia telah menyebabkan ramai rakyat dan warga yang merajuk hati dan menyimpan dendam. Kata mereka – tahulah kami mengajarnya nanti! Apakah sudah mula bergolak gejolak bawah permukaan sehingga mampu mengganggu ketenangan di permukaan?

Apakah AFTA yang AUTA akan menjanjikan satu perubahan? Perubahan yang besar dalam negara.

Dr. Nologareng - 21.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN