Selepas Kampung Baru, Kampung Puju Terbakar...
Selepas ini kampung mana pula???

Oleh Dr Nologareng
Sekiranya kita semua masih ingat, selepas Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya terbakar, Dewan UPM pula menyusul yang diikuti beberapa kejadian kecil di Johor. Apakah ia secara kebetulan atau terancang tiada siapa yang tahu sehinggalah mereka yang terlibat membuka mulut untuk memberitahu kita. Sehingga itu, hanya berita dari pihak berkuasa sahaja akan mencaturi otak kita menerima apa sahaja yang disogok mereka.

Pada hari Jumaat lalu bertarikh 16 haribulan Januari, satu lagi kejadian kebakaran pada skala besar telah terjadi. Kali ini ia berlaku di dua buah  perkampungan nelayan di Kuala Perlis. Sebenarnya ini adalah kebakaran besar kali kedua setelah kejadian yang sama berlaku 12 tahun lalu. Kali ini ia melibatkan kawasan penempatan Kampung Puju dan Seberang Tok Pi yang merupakan penempatan tanah tol yang berakar umbi dari dahulu di negeri Indera Kayangan itu. Katanya ia bermula dari sebuah rumah seorang nelayan tua yang kebetulannya berada di luar rumahnya. Beliau katanya hanya menyedari kebakaran apabila melihatkan kepulan asap yang terbit dari dalam rumahnya. Tiada siapa yang tahu asal usul ia bermula. Setelah itu mudah sahajalah bagi api itu merebak apatah lagi mengambil kira kedudukan binaan rumah di situ serta keadaan angin timur yang bertiup kala ini. Kebakaran yang menghanguskan hampir seratus buah rumah itu membabitkan penduduk seramai 1000 orang dengan kerugian berjuta Ringgit Malaysia.

Menurut saksi yang memberitahu, cara api itu merebak amat mengkagumkan sekali. Jika mengikut arah angin tentu sahaja ia akan menuju sehala sahaja sambil menyambar sebuah dua yang berhampiran. Api itu katanya merebak segenap arah yang sebuah rumah hanya mengambil masa sekitar dua minit sahaja untuk direntungkannya. Secara Sains nya memang boleh diterangkan. Wap panas yang terhasil akan meruap ke atas sambil meninggalkan ruang bagi angin sejuk meluru masuk sambil sekaligus menyediakan bahan penting untuk pembakaran yakni angin dan oksigen. Seperti juga kejadian di Kampung Baru Kuala Lumpur, Kampung Puju Kuala Perlis juga tidak meninggalkan mangsa yang rentung. Bersyukur kita ke hadrat Illahi.

Ada satu persamaan dalam dua kejadian kebakaran ini. Kedua-dua tanah terbabit adalah ‘prime land’ atau tanah yang bernilai tinggi. Seperti juga di Kuala Lumpur, tanah kampung di Kuala Perlis itu memang sudah lama menjadi idaman kepada kerajaan negeri yang memerintah. Beberapa kali rundingan telah dibuat untuk membangunkannya tetapi tergendala oleh pampasan yang tidak setimpal. Isu pembangunan kawasan sebegitu memang mencabar kesabaran banyak pihak. Pemaju, kerajaan negeri, wakil rakyat dan penduduk setempat akan mempertahankan hak masing-masing. Tawaran yang dahulunya berat sebelah atau tidak berbaloi kini sudah menjadi mudah. Apa yang perlu kerajaan negeri buat ialah sama sepertimana kerja Dewan Bandaraya di Kuala Lumpur sana. Letakkan pita hadangan dan dipacak papan tanda - Ini Hak Kerajaan. Penceroboh akan didakwa. Habis cerita. Manakala tuntutan penduduk sekitar itu kini sudah tidak bernilai lagi. Kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga.

Akan tetapi sebenarnya cerita di situ baru bermula. Ia bukan sekadar berkaitan penghuni yang malang itu, bahkan ia lebih jauh dari itu lagi. Kebakaran sebegitu di tanah yang menjadi rebutan antara penduduk dan penguasa sering kali akan membidas dan menggigit kerajaan yang memerintah. Kejengkelan dan kemarahan rakyat semakin terserlah. Lawatan para Wakil Rakyat yang tidak berfungsi di Dewan Negeri tidak menyejukkan hati mangsa. Hantaran selimut, pakaian dan bekalan roti tidak dapat menebus kembali apa yang telah terbakar. Walau apinya sudah padam, akan tetapi hati yang terbakar siapakah yang dapat menilainya? Ini lah masalah yang dihadapi Wakil Rakyat di kawasan itu. Sekaligus juga rejim yang diketuai MB Shahidan Kassim yang kini semakin kurang samsengnya apabila melantik musuhnya sebagai Exco baru negeri itu.

Sudah ada mangsa yang berani dan menegur YB-YB UmnoBN yang datang dan pergi. Kata mereka, ‘Hai, kalau nak ambik pun, jangan lah buat cara ini. Runding secara munasabah kan baik!’ kata-kata begitu yang dihambur ke hadapan muka pembesar negeri memang ada bisanya. Menurut saksi itu lagi, muka YB pucat lesi apabila diseligi sebegitu. Topik sabotaj sudah menjadi tajuk harian di kedai-kedai kopi sekitar Kuala Perlis. Ada beberapa versi menurut mereka. Satu mungkin warga Myanmar yang diberi kerakyatan sebagai agennya atau pun kakitangan TNB sendiri yang terbabit.

Menurut empunya cerita yang sampai di meja kita, sehari sebelum kebakaran, sepasukan kakitangan TNB telah memacakkan satu tiang berhampiran rumah itu sambil menyatakan yang mereka akan menggantikan segala wayar yang lama. Orang kampung menerima begitu sahaja tanpa mahu menyiasat secara mendalam. Bagi kita yang mendengar khabar begitu, teringin pula mahu tahu. Apakah agaknya yang dipasang mereka? Satu penentu masa/ jam randik yang boleh mencetuskan litar pintas sebagai pemula kebakaran? Ataukah ia satu teknologi baru dalam simpanan yang diguna apabila keadaan memerlukan?

Satu lagi cerita yang menimbulkan tandatanya ialah kenapa pula anggota bomba sepenuh masa menjadi yang terakhir sampai? Kenapakah agaknya bomba sukarela dahulu yang menampakkan muka? Apakah sudah ada hantaran kawat yang menyuruh mereka supaya sampai lewat??

Yang menarik untuk dipandang, kawasan kebakaran itu kini bersambung pula dengan tapak lama yang terbakar dahulunya. Ia memang satu kawasan yang sungguh luas untuk dibangunkan secara moden. Akan tetapi sepertimana juga di Kampung Baru, siapakah yang akan memperolehi untungnya? Mangsa kebakaran di situ ataukah sekerat dua manusia yang bagai menangguk di air yang keruh??

Beberapa malam yang lalu, kita ada menonton satu rancangan dari Brunei yang menceritakan tentang pembangunan semula Kampung Air yang telah dibuat kerajaannya secara moden dan dijual kepada rakyat dengan kos yang munasabah. Apakah kerajaan negeri Perlis di bawah Shahidan Kasiim yang kaya melalui saham Bernas dahulunya memikirkan suatu rancangan yang serupa? Atau kah mereka sudah pun duduk berbincang membahagi-bahagikan peluang di Coffee House sambil nasib rakyat kecil terutama yang menjadi mangsa terbiar begitu sahaja??

Apakah Pilihan Raya Umum akan datang menjanjikan perubahan dengan kejadian ini? Siapa tahu…...

Dr. Nologareng - 19.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN