Sebuah Lagi Pesawat Korbankan Juruterbang
Oleh Dr Nologareng
(Sila rujuk artikel keluhan seorang juruterbang TUDM: Juruterbang Dedah Pelbagai Penyelewengan)

Beberapa minggu yang lalu sebuah pesawat Hawk 108 milik TUDM buatan Britain telah jatuh ke laut di perairan Pantai Sepat Pahang. Kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua orang juruterbang itu berlaku semasa mereka sedang melakukan latihan targeting di kawasan terbabit. Pesawat malang itu telah memulakan latihan pada pukul 11.30 pagi dan kali terakhir membuat perhubungan adalah jam 12.08 petang sebelum hilang daripada kaca radar.

Menurut rekod, ini adalah kemalangan yang kelima membabitkan pesawat Hawk sejak tahun 1996 lagi. Pesawat ini memasuk inventori persenjataan Negara tahun 1994 dalam satu urusniaga yang menimbulkan kontroversi di Britain. Pembelian itu dilakukan semasa zaman Margaret Thatcher memegang kuasa. Pada asalnya diura-urakan pembelian pesawat Tornado Panavia yang kemudiannya dibatalkan ekoran beberapa alasan antaranya kerana harganya yang terlalu tinggi.

Dalam kejadian pada 18 Disember 2003 itu, dua juruterbang anak Melayu, Kapten Khairul Hazrin Kamaruddin, 28 dan Kapten Ashraff Che Hussin, 30 telah terkorban. Kapten Khairul dikatakan telah meninggal di tempat kejadian, manakala Kapten Ashraff pula meninggal dunia dua jam kemudiannya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dekat Kuantan. Allahyarham berdua adalah dalam latihan terakhir sebelum diserap ke Skuadron pesawat canggih FA-18D Hornet di Butterworth.

Berita ini memang menyedih dan memilukan terutama sekali kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban. Manakala kita sebagai rakyat yang prihatin turut merasa dan menumpang kesedihan di kalangan ahli keluarga mereka. Ianya adalah satu kehilangan yang besar untuk negara. Wang ringgit sagu hati dan insurans kelompok beratus ribu itu tidak boleh mengubati kesedihan yang ditanggung keluarga mangsa. Nyawa bukanlah satu barangan komoditi yang boleh diniagakan. Ia tidak pernah dinilai setara itu. Apa yang menggamit persoalan dan pertanyaan dalam benak kita ialah, apakah penyelenggaraan pesawat TUDM disenggara dengan baik secara yang sepatutnya mengikut hukum-hakam penerbangan?

Kita belum mahu mengulas kenyataan oleh Menteri Pertahanan, Najib Tun Razak yang tentu sahaja akan menjulang segala peraturan dan kecanggihan sistem penyelenggaraan pesawat dalam negara oleh pihak swasta. Dalam negara kita Malaysia, ahli politik menjadi terlalu berkuasa sehinggakan ia mampu berkata dan berbuat apa saja tanpa merasa terikat secara perundangannya. Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, maka pegawai kerajaan tertentu akan dijadikan kambing hitam, dengan kambing putihnya terus terselamat menjadi anggota kabinet. Apabila rakyat mengungkit dan berkeriau tentang penyelewengan Menteri dalam Tabung Haji, kerajaan mendiamkan cerita itu dengan isu pelaburan lesap oleh syarikat penyanyi Asmadi Hassan. Apabila cerita penyelewengan peruntukan PPRT di Kelantan memuncak, rejim dengan segera memasong leher pegawai tertentu untuk dikorbankan sambil menunda-nunda tarikh perbicaraan. Begitulah adatnya dalam negara kita.

Dalam memperkatakan persoalan pesawat dalam negara, elok kita kembali membaca artikel yang telah ditulis oleh seorang yang menggunakan nama samaran ‘war rust’ dalam Harakah sedikit masa lalu. Keluhannya begitu natural tanpa ditokok tambah kebimbangannya itu. Ianya benar-benar menyatakan keresahan dan kebimbangan sebilangan besar anggota pengendali pesawat dalam negara kita. Jika menurut adatnya, tentu sahaja rejim akan cuba menjejaki si penulis untuk menghukum sebagai amaran kepada anggota-anggota lain.

Kita masih belum lupa tentang Surat Layang yang ditulis seorang hakim sedikit masa dahulu yang menyatakan keluhan akan perangai haprak dan tidak beretika segolongan Hakim yang ‘bercengkerama’ dengan Peguam yang terlibat dalam kes yang diadili mereka. Akhirnya Hakim itu telah dipaksa bersara sedangkan Hakim yang berkelakuan sumbang diberi kenaikan pangkat, walhal apa yang didedahkannya itu memang suatu yang benar, memalukan serta perlu ditangani dengan segera. (jika browser anda tidak menyokong penggunaan iframe, sila klik di sini)

Masalah penyelenggaraan pesawat dalam negara kita mula timbul dan membahayakan keselamatan negara setelah dasar penswastaan diperkenalkan. Seperti selalunya alasan untuk penswastaan hanyalah bertaraf halwa telinga sahaja. Apa yang berlaku ialah skim untuk memperkayakan penyokong, kroni dan suku-sakat. Meningkatkan mutu serta menjana ekonomi adalah retorika yang sudah membudaya. Apa yang berlaku selepas itu ialah penurunan mutu kerja, kerugian yang ditanggung rakyat serta ancaman kepada keselamatan negara secara tidak langsungnya. Dan keadaan sebeginilah yang sedang menghantui seluruh pesawat penerbangan. Sekali gus juga ia bermakna nasib juruterbang dan pengguna pesawat bagai telur di hujung tanduk.

Mungkin kerajaan merasa cukup dan berbaloi untuk membayar sejumlah wang dalam bentuk insurans kelompok dan sagu hati kerana jumlah itu jauh lebih kecil daripada biaya senggaraan pesawat?

Kita berharap TPM yang sedang berbulan madu itu dapat menjawabnya.

Dr. Nologareng - 15.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN