DO Kuala Selangor dan Dato K.Sivalinggam Sama-sama Korup
Penduduk Pekan Batang Berjuntai meminta Badan Pencegah Rasuah menyiasat bagaimana tanah seluas 40 ekar di Sungai Rambai yang sepatutnya diagih-agihkan kepada rakyat terlepas ke tangan sebuah syarikat milik anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Dato K.Sivalinggam.

Seorang pemimpin MCA tempatan di dalam nada kesal berkata: “Tanah tersebut sepatutnya diberi kepada rakyat. Kalau setengah ekar seorang, sudah tentu lapan puluh orang dapat manfaat daripadanya. Lagi pun nilai tanah itu amat tinggi jika ikut pasaran semasa seekar tak kurang dari RM 400,000.”

Sementara itu seorang peniaga buah yang merupakan penduduk asal Batang Berjuntai turut meluahkan rasa geramnya: “Walaupun tiap kali election saya sokong BN, tetapi kalau ada apa-apa peluang orang-orang macam saya sentiasa diketepikan. Balik-balik orang itu sahaja…. orang kuat MIC,UMNO dan MCA. Apa kita orang ni bukan rakyat kah? Tunggulah bila election nanti, kita tau apa yang harus dibuat.”

Ketika diminta mengulas isu yang sama salah seorang AJK Umno cawangan Pekan Batang Berjuntai berkata: “Soal tanah di Sungai Rambai itu, kami telah bangkitkan di dalam mesyuarat parti, tetapi hanya terhenti setakat itu sahaja. Mungkin ketua kami sudah `kowtim` dengan Sivalingam. Lagipun siapa tak kenal Encik Ariffin, dia hanya jaga perutnya sendiri sahaja.”

Penglibatan K.Sivalinggam merompak harta rakyat bukan setakat di Sungai Rambai sahaja malah campur tangan dari anggota Exco itu mengakibatkan tergendalanya pemberian hak milik tanah seluas 280 lot di Kampong Sentosa, Ijok.

Selaku anggota Exco K.Sivalinggam telah menggunakan kedudukannya memasukkan nama puluhan orang pengikutnya untuk memiliki sebahagian daripada tanah berkenaan. Apa yang dikesalkan kebanyakannya adalah orang luar bukan penduduk tempatan.

Seorang AJK Bertindak Kg. Sentosa berkata: “Mana boleh Sivalinggam buat sesuka hatinya. Mujurlah kami bantah, kalau tidak ramai peneroka asal akan tersingkir. Sepatutnya perkara ini sudah diselesaikan lama dulu, tapi semua pihak khususnya wakil rakyat tak pernah serius.”

Menurut AJK itu lagi: “Kami telah puas mengadu ke sana ke mari tapi semua acuh tak acuh sahaja. Kalau ada pun yang bersungguh-sungguh nampaknya, adalah pihak BA sahaja. Bila BA sudah terlibat barulah DO dan Wakil Rakyat YB Ust. Sayuti kelam-kabut datang baru-baru ini.”

Di dalam pertemuan tersebut DO Kuala Selangor Haji Shamsuddin Lias memberi jaminan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan segera dan memastikan tidak seorangpun peneroka asal tercicir.

Shamsuddin digosipkan akan bertanding mewakili BN untuk kerusi Dun Sungai Burung yang kini disandang oleh Dr. Hassan Ali Naib Presiden Pas.

Tanpa berselindung Shamsuddin mengugut para peneroka Kg.Sentosa: “Kalau ingin permohonan tuan-tuan cepat diproses untuk kelulusan, pastikan parti pembangkang tidak bertapak di sini.”

Shamsuddin juga selaku Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Selangor tidak sewajarnya menjadi talibarut Umno BN di dalam melaksanakan tugasnya. Beliau harus lebih professional dan beramanah.

Tindakan beliau melarang para peneroka daripada menyokong parti pembangkang adalah menyalahi peraturan yang telah ditetapkan oleh SPR bahawa setiap pegawai pengurus yang dilantik oleh Suruhanjaya itu dilarang sama sekali berkempen (bias) untuk mana-mana parti politik.

SPR berkuasa untuk mengambil tindakan (memecat) mana-mana pegawainya yang melanggari peraturan tersebut.

Nampaknya para peneroka kenalah melaporkan hal tersebut kepada SPR jika sekali lagi Shamsuddin Lias membaruakan dirinya kepada Umno.

- Dolah Dagang  - 28.02.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN