Syahmat: Mahathir lwn Gary Kasporov

Assalamualaikum,

Salam Ramadhan terlebih dahulu penulis ucapkan kepada peminat laman ini dan juga kepada seluruh warga penulis cyber di Laman M@rhaen ini termasuk pengendali laman. Sebagai menghormati bulan yang sangat barakah ini, ingin sekali penulis berkongsi tulisan bersama-sama penulis cyber lain akan satu senario yang jika diteliti cukup sinonim dengan seorang yang bernama Mahathir.

Seluruh rakyat kini menantikan tarikh 31 Oktober 2003 yang cuma tinggal 3 hari sahaja lagi (dari tarikh penulis menulis tulisan ini), buat Mahathir untuk menoktahkan dirinya sendiri dari arena politik tanah air. Jika ikut resam permainan catur, dia telah dikira kalah sebelum disyahmat (checkmate) kerana gagal meneruskan pertarungan yang belum lagi selesai. Satu keadaan di mana pihak lawan terpaksa berundur sebelum dimalukan dengan kekalahan yang lebih teruk lagi. Begitulah halnya yang bakal akan berlaku kepada seorang rakyat Malaysia bernama Mahathir. Beliau terpaksa berundur tatkala rakyat (kononnya) masih menyayanginya.

Jika dibandingkan dengan Mahathir, tidak ada siapa yang tidak kenal dengan Gary Kasparov seorang jaguh catur dunia yang cukup gah seantero dunia. Pada zaman kegemilangannya dengan hanya berbekalkan kepandaiannya berfikir, beliau telah  berjaya menumpaskan ramai pencatur dunia termasuklah bekas-bekas jaguh catur sebelumnya. Beliau cukup bijak menggerakkan buah-buah catur dan menggunakan peluang-peluang yang terhidang di depan mata untuk menumpaskan pihak lawan. Beliau mengawal setiap inci papan catur dari cuba dicerobohi oleh pihak lawan dengan mengatur pelbagai strategi yang sesuai dengan suasana permainan. Beliau akan menggerakkan askar-askarnya (Bidak-bidak) ke atas supaya tangkas bertarung mengawal Raja (King) dan kawasan permainan. Jika perlu, pembesar-pembesar negara (Castle, Knight dan Bishop) akan turut digerakkan sama berjuang dalam misi mempertahankan Raja (King) tersebut yang merupakan simbolik utama kepada permainan catur ini. Sehinggakan ada ketikanya askar-askar atau pembesar-pembesar termasuklah Permaisuri (Queen) akan dikorbankan sebagai jalan terakhir untuk membuka ruang buat mencapai kemenangan. Raja tertawan, maka akan berakhirlah sesuatu permainan catur itu.

Begitulah perkasanya seorang lagenda catur yang bernama Gary Kasparov. Tangkas berfikir dalam menggerakkan tangannya mencapai setiap buah catur tanpa mengira nilainya semata-mata untuk mencapai matlamat kemenangan. Kini ketangkasan beliau itu beliau telah menjadi lagenda buat para peminat catur terutamanya generasi sekarang. Hasilnya, beliau kini hidup mewah hasil dengan setiap kejayaan yang dicapainya serta merasa amat bangga kerana kejayaan yang dicapai itu adalah dari hasil titik peluhnya sendiri tanpa perlu bersusah payah untuk memporok atau memalukan pihak lawannya. Malah, apa yang turut membanggakannya ialah kejaguhan beliau itu turut diikhtiraf sama oleh pihak lawan tanpa sebarang perasan iri hati dan dendam kesumat.

Bagaimanapun, di negara kita ini kejayaan lagenda catur itu seolah-olah menjadi inspirasi atau ilham tersendiri buat Mahathir. Jika permainan catur dikisarkan kepada permainan oleh dua orang pemain dengan menampilkan ciri-ciri serang dan bertahan akan tetapi dengan berkat semangat Malaysia Boleh, Mahathir telah mengolah semula permainan catur tersebut supaya ianya dapat direalitikan ke dalam kancah politik tanah air. Maka terhasillah permainan catur versi Mahathir dengan hanya seorang pemain sahaja dibenarkan bermain. Satu permainan catur versi Mahathir yang dipenuhi dengan tipu muslihat, fitnah, bodekan, rasuah dan pelbagai lagi perkara lucah yang tak mampu dituliskan di sini. Jika silap perhitungan, boleh dijerumuskan ke dalam penjara.

Lihat sahaja apa yang telah berlaku ke atas DSAI. Ibarat seperti pemain catur, Mahathir bertindak pantas mengorbankan seorang pendokong politik beliau yang tulus demi survival segelintir penyangak-penyangak politiknya. Tanpa menghiraukan nasib rakyat, Mahathir menggerakkan perasaan rakyat (dalam konteks permainan catur ialah bidak askar) supaya sentiasa berkorban rohani dan jasmani demi untuk mencapai kemajuan bangsa, negara (negara, dalam konteks permainan ialah papan catur itu sendiri) dan agama (dalam era Mahathir, kepentingan bangsa diberi keutamaan terlebih dahulu. Kemudian, baru diikut yang lain). Rakyat yang tidak sedar akan tipu muslihat Mahathir terus-terusan digerakkan ke hadapan sehingga ada yang terkorban ketika menghadapi musuh tanpa sebarang ganti.

Para pembesar negara pula dikerah untuk mengawal kubu negara yang dipusakai kononnya oleh seorang Raja Tua bernama Mahathir dari diselenggarakan oleh rakyat yang celik kepada pemerintahan rasuahnya. Mana-mana yang engkar akan dipasung dengan akta-akta kolot seperti OSA, ISA, VISA dan sebagainya. Pada zamannya, polis-polis dan para hakim yang sama perangai dengannya semakin menjadi celik wang dan bukannya celik IT. Si Raja Tua Mahathir telah berjaya menjuarai permainan catur ciptaannya dengan kejayaan membungkuskan musuh nombor satunya, DSAI ke dalam penjara serta para pengikut setia DSAI. Malah apa yang membanggakan beliau kejayaan itu terhasil dari berkat kesungguhan beliau menyuap sesuap rasuah kepada para pembesar negara yang kini alpa dengan kecelikan mereka dengan wang dan kuasa.

Kalau Kasparov bermain catur dengan keazaman yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaan bagi dirinya, sebaliknya pula yang berlaku kepada Mahathir sebelum menjelangnya tarikh persaraannya. Dengan Kasparov dijulang sebagai jaguh catur dunia dengan menjuarai pelbagai kejohanan catur setiap tahun dan namanya pula sentiasa disebut-sebut oleh setiap peminatnya di seluruh pelosok dunia ini akan tetapi buat Si Raja Tua Mahathir pula terkapai-kapai kelemasan dihempas pelbagai cacian serta tohmahan oleh rakyat di negara sendiri.

Persoalannya sekarang ialah adakah Mahathir akan terus disyahmatkan oleh pengganti beliau Dollah Bedawi atau terus angkuh memerintah di mahligai putar lingkup? Bukan sahaja rakyat di negara ini malah rakyat di seluruh dunia juga bakal hadir untuk menjadi saksi pada tarikh syahmat itu. Jika Kasparov mampu mengukir senyuman di akhir kerjayanya, mampukah pula Mahathir untuk mengukir senyuman yang sama? Dan adakah rakyat akan menerima beliau sebagai rakyat biasa? Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Selamat tinggal dunia politik ku...

Cucu Reformasi ~ 27.10.2003
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN

Click Here!