Pilihan Raya Umum 2004: 
Satu Suratan Ataupun Sekadar Satu Kebetulan?


Assalammualaikum WBT dan Salam Perjuangan,

Assalamualaikum WBT Dan Salam Perjuangan!
 
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-11, telah pun kita ketahui. Walaupun banyak benda yang tersirat di sebalik keputusan tersebut, namun yang tersurat sudah kita saksikan di hadapan mata kita. Segalanya tidak perlu dihuraikan lagi, walaupun kita merasakan keputusan pilihan raya ini tidak sah dari segi undang-undang .. Tapi apalah gunanya kita berpegang lagi kepada undang-undang, kerana undang-undang di negara kita ini sudah lama tercemar oleh pemerintah yang rakus dan zalim. Justeru itu apalah gunanya untuk kita menuding jari menyalahkan serta mengeluarkan bukti demi bukti penyelewengan pilihan raya sedangkan kita sudah tau akan akibat dan tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan.
 
Seyogia diingatkan setakat yang Cucu tahu, dulu kini dan selamanya... Pilihan Raya Umum ke-11 baru-baru ini adalah satu pilihan raya yang paling kotor dan menjijikkan pernah terjadi di negara kita. Pihak yang dipertanggungjawab untuk mengadili pilihan raya iaitu Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) jelas sekali secara terang-terangan telah cuba bersekongkol dengan parti yang bertanding iaitu Barisan Nasional. Apa yang amat menyedihkan cubaan SPR ini sememangnya satu pengkhianat yang besar kepada rakyat marhaen yang dipertanggungjawab untuk memilih sebuah kerajaan yang adil dan telus, tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kehendak  puak-puak tertentu yang tidak mahu kehilangan kuasa dan ingin terus mempertahankan hak mereka. Bahkan, kejelikan SPR ini bukan sahaja dipertikaikan oleh pihak pembangkang ... ianya juga turut dipertikaikan oleh kerajaan yang memerintah.. Tapi mungkinkah ini hanya sandiwara semata-mata, apakah SPR berani berbuat sesuatu tanpa arahan daripada kerajaan yang memerintah? Sedangkan pemilihan pengerusi SPR  dan gaji kakitangan SPR dibayar oleh kerajaan? Sama-sama kita fikirkan akan hal ini.. Kalaulah perkara ini tidak berjaya kita atasi, maka Cucu melihat harapan untuk melihat satu pilihan raya yang bebas dari penipuan dan penyelewengan nampaknya kian hari kian pudar..dan akan terus punah untuk selamanya.. Dan apakah parti pembangkang yang ada pada hari ini seperti PAS, Keadilan, PKR dan DAP..akan terus menjadi pembangkang hari ini, esok dan selama-lamanya !!!
 
Inilah satu perkara yang amat menyedihkan, dan perlu diambil iktibar oleh sekalian rakyat . Bagi Cucu,  apa pun keputusan yang dibuat oleh SPR , semua itu adalah satu perancangan jahat dan "Konspirasi" peringkat tertinggi yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah serta mengaibkan pihak pembangkang. Dengan kekalahan TKO yang kita lihat baru-baru ini, seolah-olah pemimpin pembangkang yang terdiri dari kalangan golongan ulama yang benar-benar ULAMAK dan bukan "Ular dalam Semak" sudah tidak diterima oleh rakyat. Kononnya langkah memperalatkan agama yang dilabelkan kepada PAS telah memakan diri sendiri. Inilah sebenarnya yang ingin ditonjolkan oleh kerajaan sebenarnya, dan golongan ulama yang menyokong mereka dianggap sebagai ulama sebenar dan ulama tulen, yang harus diterima oleh sekalian rakyat jelata.
 
Bagi Cucu, kekalahan Prof. Dato' Dr Haron Din, Datuk Ismail Kamus, Dato' Dr. Hassan Ali, Ustaz Badrul Amin, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man serta ramai lagi tokoh-tokoh ulama " FORUM PERDANA RTM" amatlah mendukacitakan. Semua tokoh ini, yang dulunya tidak terbabit secara langsung dengan politik... tapi akhirnya setelah timbulnya isu "ulama demand bayaran" kemudiannya timbul pula "ulama digam"...lantaran itu mereka-mereka ini terpaksa mencari satu wadah perjuangan yang bertujuan untuk memberikan ilmu serta menunjuk jalan kebenaran kepada seluruh umat Islam di negara ini, dan wadahnya pastilah perjuangan politik kerana di situ ada kuasa, yang boleh digunakan untuk menggubal undang-undang.. maka sepatutnya ulama inilah yang perlu disokong dan diberi kepercayaan untuk menyampaikan dakwah kepada rakyat.. tetapi apa yang berlaku sebalik !! Benarlah kata sesetengah pihak bahawa..kekalahan besar pihak pembangkang dalam pilihan raya umum ke-11 baru ini, adalah satu perancangan jahat yang dibuat untuk menyekat kebangkitan ISLAM di Malaysia ini.  SPR adalah satu alat yang menjadi perkakas bagi mereka ini untuk melaksanakan rancangan jahat tersebut. Maka usahlah kita gusar lagi... kerana selepas ini..banyak lagi agenda jahat yang akan dilakukan bertujuan untuk menjatuhkan ISLAM di negara kita ini.
 
Berbalik kepada persoalan pilihan raya, segala keputusan yang diterima baru-baru ini haruslah kita terima walau" Berat mata memandang ..berat lagi bahu memikul". Apa yang dapat kita lakukan? Menghantar memorandum kepada SUHAKAM? Mencabar keputusan di mahkamah? Membuat laporan polis terhadap terjumpanya banyak kertas undi  yang meragui? Mengeluarkan petisyen untuk membatalkan sesuatu keputusan? Dan banyak lagi perkara yang terfikir untuk kita lakukan sebenarnya.. Persoalannya pada siapa harus kita mengadu? Pada Polis, SUHAKAM, SPR, BPR dan siapa lagi... Bukankah kita sendiri tahu bahawa semua badan-badan ini tidak dapat berbuat apa-apa kerana mulut dan telinga mereka dikawal oleh pihak pemerintah. Lantaran itu, bukankah apa yang diambil sebenarnya, jelas tidak akan memihak kepada kita? Selagi badan-badan ini tidak berlaku adil dan telus, maka selagi itulah keadilan tidak akan tertegak di bumi Malaysia yang tercinta ini.
 
Moral yang boleh Cucu berikan terhadap segala yang berlaku ini ialah supaya pihak pembangkang lebih berhati-hati dan melakukan persiapan awal untuk mengatasi kesilapan sebenarnya. Kekalahan besar dalam pilihan raya umum lalu sememangnya sudah dijangka lebih awal oleh kebanyakan pemimpin pembangkang terutamanya DAP ... tetapi mengapa tidak PAS dan Keadilan? Kenapa dalam keadaan PAS dan Keadilan kehilangan banyak kerusi, DAP pula berjaya menambah kerusi-kerusi mereka di DUN dan Parlimen. Apakah strategi yang mereka lakukan. Bahkan 2 pemimpin kanan mereka seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang berjaya memenangi kerusi yang mereka tandingi, sedangkan mereka telah kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-10 tahun 1999 dulu. Logikkah orang yang tidak menjadi ahli parlimen dan DUN tiba-tiba menang? Apa yang mereka lakukan? Lihat apa yang berlaku kepada Lim Kit Siang... dari Pulau Pinang beliau berhijrah ke Perak dan bertanding di Parlimen Ipoh Timur.. tetapi akhirnya beliau menang.
 
Apa yang berlaku kepada ahli Parlimen PAS dan Keadilan sedia ada sebenarnya? Risik punya risik, Cucu dapat mencari sedikit rahsia kekalahan besar BA dalam pilihan raya umum yang lalu. Maafkan Cucu.. Kiranya pandangan yang Cucu berikan ini agak keterlaluan dan tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak...
 
Sebenarnya kita jelas sudah tahu perancangan jahat SPR ini sejak dari awal lagi, bermula dengan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang jelas memihak kepada BN, negeri-negeri yang menjadi kubu kuat BN diberikan penambahan kerusi baru yang banyak ..sedangkan negeri-negeri yang mungkin berpihak kepada BA tiada penambahan ataupun kuantitinya jauh berbeza dari yang sepatutnya jika dibandingkan dengan statistik kepadatan penduduk dan pengundi di negeri terbabit.
 
Apa yang dilakukan oleh pihak BA? Kalau PAS, mungkin ada desakan yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi terhadap SPR.. Bagaimana dengan Keadilan...desakan juga turut dibuat... Tetapi apakah cukup sekadar desakan dan memorandum untuk SPR? Sedangkan daripada awal kita sudah tahu SPR akan bersekongkol dengan BN ... Akhirnya keputusan tersebut tidak dicabar di mahkamah dan ianya dibentangkan di parlimen dan diluluskan... Sepatutnya dari awal lagi kita sudah mengadakan pungutan suara rakyat dan berhimpun di hadapan pejabat SUHAKAM mendesak agar persempadanan semula dibatalkan.. Inilah yang berlaku yang akhirnya memakan diri kita semula.
 
Bila persempadanan baru berlaku, apa yang dibuat oleh pihak pembangkang? Tubuhkan jawatankuasa penaja bahagian baru..berserta dengan ahli jawatankuasa.. tetapi Cucu melihat kelemahan yang timbul ialah... tidak dibuat pemantau tentang ahli baru. Ini berlaku kepada Keadilan. Kempen keahlian tidak pernah diadakan secara menyeluruh. Masing-masing mengharapkan statistik semata-mata. Misalnya statistik pengundi baru 80% sokong BA, statistik kakitangan kerajaan 80% sokong BA, statistik rakyat termiskin, nelayan, petani , graduan menganggur 80% sokong BA... Statistik inilah yang akhirnya memakan diri sendiri dalam pilihan raya umum yang lalu !!
 
AJK Bahagian, lebih banyak berbicara dan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan agenda parti, sedangkan kempen keahlian tidak dilakukan. Bahkan .. Cucu pernah  bertanya kepada beberapa orang Ketua Bahagian Parti Keadilan Nasional di Pahang ini? Tentang jumlah ahli keahlian yang aktif di bahagian terbabit selepas pilihan raya umum ke-10... Ketua Bahagian pun sendiri tidak mengetahui dan hanya memberi anggaran. Macam mana harus tahu, sedangkan pendaftaran ahli baru serta ahli lama tidak dibuat.. Parti Keadilan Nasional sendiri tidak mempunyai data yang lengkap tentang ahli-ahli mereka yang berdaftar di seluruh negara sebenarnya... Kalau kita tidak percaya cuba kita semak nombor keahlian kita di ibu pejabat Keadilan, dengan memberikan butir-butir seperti nama, KP dan alamat... rasanya daftar tersebut langsung tidak di up-datekan di ibu pejabat.. Buktinya, ramai ahli lama yang hairan, Parti Keadilan Nasional tidak pernah menghantar surat kepada ahli-ahlinya tentang maklumat terkini, yuran tahunan dan sebagainya..Ini  berbeza dengan UMNO... Perkara yang remeh-temeh beginilah yang menyebabkan Keadilan akhirnya terperangkap dengan keputusan pilihan raya umum ..yang mana hanya Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang berjaya mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh. Sedar tak sedar, inilah yang berlaku. Sepatutnya setelah memenangi banyak kerusi pada tahun 1999, 4 tahun masa diambil untuk memantau perkara ini, tetapi banyak masa dihabiskan untuk ceramah dan berbicara soal isu semasa, sedangkan kempen keahlian tidak diadakan langsung di sesetengah kawasan.
 
Manakala, satu lagi isu besar yang memang sudah kita jangkakan dan saksikan sendiri di depan mata kita ialah strategi UMNO untuk menarik pengundi muda... Maka mereka menubuhkan "Puteri UMNO", khabarnya hingga ke saat ini ahlinya sudah melebihi 300 ribu orang. Puteri UMNO inilah yang banyak membantu Barisan Nasional ketika pilihan raya. Mereka berjaya menarik perhatian pengundi muda untuk menyokong BN ketika pilihan raya. Dengan menampilkan puteri-puteri yang berperwatakan menarik, ianya dilihat sebagai satu aset untuk menarik golongan muda menyertai UMNO di seluruh negara. Kempen yang dilakukan oleh Puteri UMNO juga amat berkesan dan dijalankan dari masa ke semasa selepas pilihan raya Umum 1999 lalu. Kenapa puteri UMNO ditubuhkan? Ini kerana BN melihat golongan muda banyak menyokong BA dalam pilihan raya ketika itu, dan daftar pemilih yang melibatkan hampir 800 ribu golongan muda akan mengundi pada pilihan raya umum 2004 menyebabkan mereka mengatur strategi bagi memikat golongan muda terbabit. Akhirnya mereka berjaya lakukan.
 
Bagaimana dengan BA? Kalau dalam PAS, secara logik nya memang ramai golongan muda terutamanya yang cintakan agama akan menyokong perjuangan PAS, cuma tidak ditubuhkan Puteri PAS. Tetapi bagaimana keadaannya dengan Keadilan? Apa yang dilakukan untuk menarik golongan muda ini? Sedangkan ketika gerakan reformasi berlaku, Keadilan ada seorang PUTERI yang dikenali PUTERI REFORMASI iaitu Sdri Nurul Izzah Anwar, anak sulong mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi pernahkah diadakan kempen untuk mendapatkan ahli muda yang ramai bagi menyertai Nurul Izzah yang digelar Puteri Reformasi itu? Inilah kelemahan yang harus kita akui. Keadilan gagal bertindak untuk mencari jalan mengatasi masalah sebenarnya. Kalau ditanya kepada pemimpin Keadilan, berapa banyak cawangan Keadilan yang ditubuhkan dalam bahagian parlimen mereka sepanjang 4 tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-10 ( 1999 ) lalu? Cawangan baru tidak ditubuhkan, yang ada dan yang berjuang hari ini ialah muka-muka lama yang sama pada tahun 1999 dulu. Bagaimana harus Keadilan mencapai kemenangan atas dasar mengharapkan sokongan orang-orang PAS dan pengundi atas pagar semata-mata?
 
Apa yang berlaku dalam Pilihan raya Umum baru-baru ini, di mana kawasan Keadilan bertanding, semuanya mengharapkan jentera PAS semata-mata. Ini kerana PAS mempunyai cawangan di seluruh pelosok bahagian, maka mudahlah dibina pondok UPU di kawasan terbabit. Bayangkan andainya Keadilan dan PAS tidak lagi berada dalam BA. Cucu rasa Keadilan tidak akan mempunyai harapan langsung untuk menang dalam pilihan raya sebenarnya. Ambillah iktibar daripada risikan Cucu ini, demi kebaikan bersama.
 
Apa pun keadaannya keputusan sudah kita terima, apa yang kita akan kata kepada SPR pun sudah tidak berguna lagi. Anggaplah kekalahan ini sebagai satu peluang untuk kita memperbaiki kelemahan yang ada. Gunakanlah masa yang ada dalam tempoh 5 tahun akan datang, untuk kita  melaksanakan program dakwah dan mendekati rakyat jelata. Apa yang penting gerakkan aktiviti, lakukan tugas, tubuhkan cawangan baru, dampingi masyarakat dan jangan banyak berkata-kata tanpa melaksanakannya. Mampukah kita untuk menjadi pembangkang sepanjang zaman? Takdir penentu segalanya. Setiap kekalahan pasti ada hikmahnya..mungkinkah kemenangan sudah terlalu hampir di hadapan mata. Pilihan Raya Umum 2004. Apakah ianya satu suratan buat kita bagi meneruskan perjuangan, ataupun hanya sekadar satu kebetulan yang perlu kita fikirkan? Tepuk dada tanya iman...
 
P/S ..  Setiap Perjuangan Itu Lebih Indah Dengan Pengorbanan Dan Kekalahan Demi Kekalahan.. Apalah Guna Kemenangan Andai Kemenangan Itu Bukan Datang Dari Kebenaran, Kekalahan Itu Adalah Penyubur Kejayaan Dan Kemenangan Yang Lebih Besar Sebenarnya !!
 
CUCU MAT KILAU
Pahang DM
cmk_pahang@yahoo.com - 02.04.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN