BN Pahang Kecoh Soal Calon Pilihan Raya !!

Assalammualaikum WBT dan Salam Perjuangan,
 
Alkisah, Cucu mendapat satu berita yang cukup mengejutkan bagi Barisan Nasional di Kuantan baru-baru ini. Dalam keghairahan untuk menghadapi pilihan raya, sememangnya macam-macam boleh berlaku. Itulah yang terjadi kepada BN Pahang sebelum proses penamaan calon baru-baru ini. Akibat daripada krisis tersebutlah senarai akhir nama-nama calon BN Pahang lewat dihantar kepada Perdana Menteri.
 
Maklumat yang Cucu terima daripada SB Cucu, kekecohan pertama berlaku beberapa hari sebelum hari penamaan calon, di mana pihak MCA tidak berpuas hati dengan tindakan Menteri Besar Pahang memberikan kerusi Parlimen Kuantan kepada UMNO. Dalam perundingan awal kerusi Parlimen Kuantan akan diberikan kepada MCA. Khabarnya kekecohan tersebut menyebabkan beberapa orang penyokong kuat MCA bertindak untuk menyerang kediaman Menteri Besar Pahang. Mujurlah pihak polis cepat bertindak mengawal keadaan dan kekecohan tersebut daripada berlaku insiden yang tidak diingini pada malam tersebut.
 
Akibat daripada kekecohan tersebut Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob terpaksa membuat rombakan semula dengan memberikan semula kerusi Parlimen Kuantan kepada MCA, yang diwakili oleh Fu Ah Kow. Manakala kerusi MCA terdahulu iaitu Indera Mahkota diserahkan kepada UMNO yang kini calonnya ialah Dato' Wan Adnan, Ketua UMNO Bahagian Kuantan. Sebenarnya pelantikan Dato' Wan Adnan ini juga mendapat tentangan hebat daripada jawatankuasa penaja UMNO Bahagian Indera Mahkota, kerana kawasan tersebut adalah parlimen baru selepas persempadanan semula yang dibuat SPR baru-baru ini. Parlimen Indera Mahkota khabarnya sudah mempunyai calon-calon yang sesuai untuk diletakkan sebagai calon parlimen di situ, sebaliknya kini diberikan kepada Dato' Wan Adnan, yang merupakan Ketua Bahagian Kuantan dan bukannya Indera Mahkota. Apakah penentangan akan berlaku dari dalam UMNO dan BN sendiri, bagi memprotes keputusan BN Pahang ini? Apa pun keputusannya, ia memberi satu tamparan hebat kepada BN sebenarnya. Ini akan memberi bonus kepada Parti Keadilan Nasional yang bertanding menentang BN di kedua-dua kawasan parlimen tersebut.
 
Satu lagi berita kekecohan yang berlaku ialah perbalahan antara Menteri Besar dengan Timbalannya iaitu Dato' Tan Mohd Aminuddin Ishak, Calon BN DUN Chenor. Khabarnya Dato' Tan tidak berpuas hati dengan MB kerana membuang nama "Anak Buah" Dato' Tan dari senarai calon di Parlimen Maran. Perbalahan yang berlaku tersebut hampir mencetuskan pergaduhan antara MB dengan Timbalannya. Mujurlah ada pihak yang dapat meleraikannya.
 
Apa pun, kekecohan demi kekecohan yang berlaku di pihak UMNO, MCA atau Barisan Nasional ini jelas menunjukkan kepincangan yang berlaku dalam pakatan BN Pahang. Semoga dengan situasi ini, dapat memberi satu kelebihan buat BA untuk memperkuatkan jentera pilihan raya bagi menghadapi kekuatan Barisan Nasional nanti. Cucu mengharapkan agar satu kejutan akan berlaku dalam Parlimen di Pahang nanti. Cucu menjangkakan kerusi Parlimen yang paling panas di Pahang ketika ini ialah Parlimen Maran kerana BA diwakili oleh PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Parlimen Pekan yang diwakili oleh Brigedier Jeneral (B) Zakaria Dahlan. Dua kawasan Parlimen ini ada harapan untuk ditawan oleh BA dalam pilihan raya umum nanti.
 
CUCU MAT KILAU
Pahang DM
13.03.2004
cmk_pahang@yahoo.com - 13.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN