Di Sebalik Tabir Perlantikan Dato' Najib Sebagai Timbalan Perdana Menteri !!
Assalammualaikum WBT dan Salam Perjuangan,

Berita pelantikan Dato' Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri telah tersebar luas. Seantero dunia kini mengetahui bahawa Najib adalah TPM Malaysia yang baru, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Pak Lah. Melihat komen-komen yang dikeluarkan di dada akhbar dan di kaca TV , seolah-olah UMNO dilihat semakin kukuh dan teguh akibat daripada perlantikan Najib itu. Kononnya Pak Lah menyatakan bahawa perlantikan Najib tepat pada masanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Apakah benar UMNO kukuh dengan perlantikan Dato' Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri ini? Persoalan ini sebenarnya bukan semata-mata harus dijawab oleh pihak pembangkang, malahan juga oleh penyokong-penyokong kuat Tan Sri Mahyuddin Yassin selaku pesaing utama Najib untuk merebut jawatan nombor dua dalam parti karat itu. Benarkah ada rahsia besar di sebalik pelantikan Najib.

Melihat kepada raut muka Pak Lah dan Mahyuddin sebelum dan semasa Najib diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, seakan ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Mungkinkah Najib diangkat menjadi TPM kerana arahan pihak-pihak tertentu? Kita harus ingat sebelum Tun Mahathir meletak jawatan sebelum ini, beliau telah mengumumkan bahawa Najib adalah bakal TPM. Tetapi selepas itu dinafikan oleh Pak Lah, kononnya itu hanya khabar-khabar angin semata-mata. Hinggakan gambar mural pada dinding di PWTC juga dikatakan tidak menunjukkan realiti sebenar.

Melenting Pak Lah bila diajukan persoalan adakah Najib bakal TPM. Di mana akhirnya orang kanan dalam sebuah akhbar arus perdana dipecat kerana sering mencanagkan berita Najib adalah orang yang paling layak untuk mengisi jawatan tersebut. Bahkah di kalangan ahli UMNO sendiri menyaksikan kerusi empuk TPM bakal diduduki oleh Muhyiddin Yassin. Tambahan  pula Muhyiddin dilihat lebih layak mendudukinya kerana menunjukkan prestasi cemerlang dalam kementeriannya mutakhir ini. Kekuatan Muhyiddin di Johor juga mempengaruhi faktor beliau harus dilantik menjadi TPM, kerana Johor adalah kubu kuat UMNO maka hadiah yang paling berharga untuk UMNO Johor ialah seorang anak Johor dilantik ke jawatan nombor dua itu.

Namun, teka-teki yang wujud sekian lama akhirnya terjawab secara tiba-tiba selepas majlis perpisahan Tun Mahathir yang diadakan oleh kabinet di Putrajaya baru-baru ini. Apakah Mahathir masih berperanan dalam menentukan perkara ini? Kalau dilihat kepada prestasi, Najib dilihat semakin kurang popular. Kemenangan tipis yang diterimanya dalam Pilihan Raya Umum ke-10 lalu jelas menunjukkan yang rakyat Pekan telah menolak kepimpinan anak Bekas Perdana Menteri ke-2 itu. Reputasi Najib semakin buruk apabila Harakah menyiarkan laporan bergambar, rumah kongsi "pendatang haram" atau pengundi hantu yang diimport secara borong dari utara semenanjung di Pekan. Berita tersebut sepatut memainkan peranan untuk menidakkan Najib menjadi TPM, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.. Bukankah ini sesuatu yang amat mengecewakan sesetengah pihak terutamanya para penyokong Pak Lah dan Muhyiddin.

Apakah benar Pak Lah adalah Perdana Menteri "Robocop"? Munkin juga bayangan Tun Mahathir masih menghantui Pak Lah ..lantaran terpaksa akur dengan kehendak bekas Perdana Menteri itu. Bayangkan setelah bersara, Tun Mahathir masih dibenarkan menjadi Penasihat Petronas dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman. Umum telah mengetahui Petronas mengalami kerugian besar akibat campur tangan Mahathir. Langkah Mahathir menggunakan wang Petronas untuk "Bail-Out" agensi dan syarikat yang bermasalah amatlah dikesali selama ini. Tetapi mengapakah orang seperti beliau masih diberikan peranan dalam Petronas.

Kita juga harus sedar dalam pembentangan Belanjawan terakhir yang dibuat oleh Mahathir sebelum bersara, beliau telah menggariskan jumlah wang yang besar iaitu hampir enam billion Ringgit untuk pembangunan Pulau Tioman, sedangkan wang sebanyak itu sepatutnya boleh digunakan untuk membangunkan prasarana di seluruh negeri Pahang. Bukankah sesuatu yang mengejutkan apabila Mahathir dilantik sebagai penasihat Perbadanan Pembangunan Pulau Tioman? Berapa banyak billion Ringgit lagikah wang yang akan dipunggah oleh Mahathir dari Pulau Tioman agaknya?

Di sini jelas menunjukkan kreadibiliti Pak Lah jatuh. Bukankah beliau adalah Perdana Menteri dan sudah sepatutnya beliau juga harus menjadi penasihat kepada agensi terbabit. Namun Pak Lah sememangnya ROBOCOP.. Kerana gagal menggunakan kuasa yang beliau ada untuk menghapuskan pengaruh Mahathir. Jika dilihat perkara yang paling jelas dalam rombakan kabinet yang lalu, Pak Lah tidak berani memecat Hamid Othman, Penasit Agama yang bertaraf menteri lantikan Mahathir.

Kalau dulu Mahathir perlu ada Penasihat Agama kerana tidak pernah menjadi Imam.. Kini anak seorang ulamak dan sering menjadi Imam, masih perlukan Penasihat Agama !! Bukankah ini sesuatu yang amat memalukan sebenarnya. Tetapi apakah Pak Lah berani menamatkan jawatan Hamid Othman. Ini jelas menunjukkan Pak Lah bukanlah seorang manusia yang layak menjadi Perdana Menteri kerana beliau gagal membendung pengaruh Mahathir. Begitu juga dengan kes Landasan Keretapi Berkembar, khabarnya Mahathir terlalu marah kepada Pak Lah akibat pembekuan projek tersebut. Maklumat yang diterima anak Mahathir merupakan kontraktor utama projek tersebut dan akan menerima untuk bersih berjumlah hampir RM1 billion jika projek tersebut dilaksanakan.

Berbalik kepada isu pelantikan Najib. Apakah benar Najib dilantik oleh Pak Lah? Ataupun ada tangan lain yang lebih berkuasa? Menurut satu sumber yang boleh dipercayai, lantikan tersebut terpaksa dilakukan oleh Pak Lah, kerana arahan Mahathir. Katanya, dalam majlis jamuan perpisahan beliau dari kabinet ketika itu beliau diberi peluang untuk menyampaikan ucapan terakhirnnya. Dalam ucapan tersebut Mahathir secara tiba-tiba mengucapkan tahniah kepada Najib kerana dipilih sebagai TPM yang baru. Sedangkan ketika itu anggota kabinet sendiri termasuk Pak Lah belum mengumumkannya secara terbuka.

Bayangkan merah padam dan pucat lesinya muka Pak Lah ketika Mahathir menggunakan kuasanya untuk menamakan Najib sebagai pembantu beliau. Sedangkan beliau telah melakukan berbagai konspirasi untuk menggagalkan usaha Najib itu, hinggakan ada sumber mengatakan orang-orang Pak Lah sanggup berjumpa dengan para pemimpin tertinggi Angkatan Muda Keadilan untuk memberikan fail Najib dan meminta pembangkang memburuk-burukkan imej Najib sebelum ini. Desas-desus mengatakan Pak Lah lebih berminat mengambil Muhyiddin sebagai Timbalannya kerana beliau tau Muhyiddin lebih setia padanya, sedangkan Najib adalah seteru politiknya dalam UMNO.

Pak Lah sendiri tau jika Najib jadi orang nombor dua dalam UMNO dan kerajaan maka beliau mungkin tidak dapat bertahan lama memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Beliau sedar pengaruh Najib lebih besar dalam UMNO dan Kerajaan. Beliau juga tahu bahawa Najib lebih kanan daripada beliau semasa beliau diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dulu.

Khabarnya akibat tidak berpuas hati dengan pengumuman secara terbuka Mahathir dalam majlis jamuan kabinet yang diadakan itu, Pak Lah, Najib dan Mahathir telah mengadakan perbincangan enam mata di sebuah bilik rahsia. Pertelingkahan berlanjutan berjam-jam sebelum Pak Lah terpaksa akur dengan kehendak Mahathir.

Justeru itulah keesokkan harinya di dada-dada akhbar mengatakan laporan pelantikkan Najib diumumkan oleh "Sumber Kerajaan" dan bukan Pak Lah sendiri. Bukankah ini sesuatu yang melucukan. Hinggalah beberapa ketika Pak Lah berani membuat kenyataan kepada media massa. Itupun dalam nada yang amat terharu dan mengecewakan. Riak air muka Pak Lah jelas dapat dilihat beliau tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Dan Najib sendiri mengeluarkan kenyataan yang beliau tidak berani memberi komen, dan sebagainya. Itulah rahsia besar yang berlaku di sebalik tabir pelantikan Najib sebagai TPM sebenarnya.

Tahniah diucapkan kepada Najib dan awas untuk Pak Lah. Semoga kem UMNO ini akan terus berkecamuk menjelang pilihan raya umum akan datang. Ditambah pula dengan kes Ibrahim Ali di Kelantan. Kepada barisan pembangkang gunakanlah peluang ini untuk memantapkan jentera pilihan raya parti dan pastikan kemenangan kita dalam pilihan raya umum akan datang. Apa yang penting siapa saja yang menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, mereka harus ditentang kerana masih mengamalkan undang-undang jahiliah, masih lagi zalim serta tidak melaksanakan keadilan untuk seluruh rakyat. Keadilan hanya diberikan kepada mereka yang menyokong kerajaan memerintah pusat sahaja, sedangkan keadilan dinafikan untuk rakyat yang menyokong parti lawan. Walhal semua rakyat membayar cukai dan mesti menikmati keadilan yang sama rata.

Kalau takutkan risiko usah bicara soal perjuangan !! Kalau takutkan perjuangan usah bicara soal keadilan !!! Kalau takutkan keadilan usah bicara soal pembangunan... Lawan tetap lawan..Takbirrrr

CUCU MAT KILAU
Pahang Darul Makmur
cucumatkilau@yahoo.co.uk - 08.01.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Sertailah Kumpulan M@RHAEN