Kemenangan Besar Yang Bermentalitikan Dunia Ke-3
Oleh CK Chew - Lunas
Kemenangan besar BN dalam pilihan raya ke-11 bukan sesuatu yang boleh dibanggakan tetapi sebaliknya memalukan jika dinilai dari segi ketidakseimbangan aras permainan yang lebih memihak kepada parti pemerintah. Bagi seorang pemimpin yang mengelar dirinya “Mr Clean”, Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya berasa malu dengan tindakan pihak SPR, media tempatan dan agensi kerajaan yang diperlakukan sebegitu rupa semata-mata untuk menentukan kemenangan besar ini.

(Gambar: Petugas BN yang berkempen pada hari mengundi)

Beliau yang pernah menyarankan rakyat Malaysia supaya meninggal mentaliti dunia ketiga untuk maju ke hadapan, tetapi apa yang berlaku sewaktu pilihan raya ke 11 mirip dan menyerupai tindakan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin dunia ketiga seperti Robert Mugabe, Fidel Castro, Putin dan pemimpin tentera Myanmar untuk terus berkuasa. Cakapnya tak serupa bikin langsung.

Tindakan-tindakan yang diambil untuk melemahkan dan mengurangkan keberkesanan pihak lawan bukanlah satu tindakan yang mulia dan bertamadun atau bertaraf dunia. SPR sebuah badan yang ditugaskan untuk mengendalikan pilihan raya secara adil dan saksama gagal menjalankan tugasnya dan sebalik membiarkan dirinya dijadikan kuda tunggangan pihak Mr Clean.

Dari awal lagi SPR mengambil tindakan-tindakan yang menguntungkan pihak Mr Clean. Persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ternyata memberi kesan yang maksimum kepada kemenangan pihak Mr Clean. Di Kedah, kawasan parlimen seperti Yan, Pokok Sena, Kuala Kedah yang dahulunya dimenangi oleh pembangkang diubahsuaikan supaya undi dari masyarakat bukan Melayu diperbanyakkan. DUN Gurun yang mempunyai pengundi bukan Melayu yang agak ramai dimasukkan ke parlimen Yan. Begitu juga dengan DUN Derga diserap ke kawasan Pokok Sena.

Kesan persempadanan semula ini juga nyata di lain-lain negeri yang pernah dimenangi oleh pihak pembangkang. Antaranya yang paling nyata ialah DUN Batu Lanchang di Pulau Pinang di mana ia dianggap sebagai kubu kuat DAP. Sebelum persempadanan semula, ramai yang beranggapan bahawa jika DAP meletak anjing sekali pun sebagai calon, pengundi di sana akan tetap mengundi DAP. Akan tetapi, selepas persempadanan semula, sebahagian pengundi yang setia kepada pembangkang dibawa masuk ke kawasan baru Bukit Gelugor dan hasilnya DUN tersebut kali ini jatuh ke tangan BN.

(Gambar: Kertas dengan muka calon BN yang diletakan dieja barung SPR di Prai)

Selain daripada itu, pihak SPR juga menetapkan 7 hari sahaja bagi parti-parti yang bertanding untuk berkempen. Tempoh masa yang singkat ini hanya memihak kepada parti Mr Clean kerana mereka dapat berkempen secara terus-menerus ke setiap rumah menerusi media, radio dan TV, terutamanya kepada sasaran penting iaitu pengundi atas pagar. Pengundi-pengundi atas pagar inilah yang menjadi penentu dalam setiap pilihan raya. Akan tetapi dalam tempoh yang singkat ini, pihak pembangkang bukan sahaja tidak dapat bersua muka tetapi sukar untuk mereka menyampaikan risalah atau maklumat penting seperti manifesto dan calon mereka. Pengerusi SPR dengan tidak merasa segan dan malu mendakwa bahawa parti-parti telah lama berkempen dan tempoh masa yang pendek sudah memadai. Tidakkah pengerusi SPR sedar bahawa ceramah politik telah lama diharamkan dan jika adapun ceramah, adakah maklumat yang cuba disampaikan oleh penceramah dapat disalurkan kepada pengundi atas pagar yang pada kebiasaannya tidak berminat tentang hal-hal politik?

Untuk terus memenangkan pihak Mr Clean, SPR juga mengeluarkan arahan-arahan yang terang-terang memihak kepada parti pemerintah. Parti pemerintah boleh menggunakan media untuk membentuk imej Mr Clean supaya dapat mempengaruhi rakyat. Akan tetapi SPR tidak membenarkan pihak pembangkang melawan imej tersebut. Kempen pembangkang melawan imej tersebut dikatakan sebagai serangan peribadi dan pihak yang melakukan serangan peribadi boleh dikenakan tindakan termasuk digugurkan pencalonannya. Bukankah ia hanya untuk menjadi kepentingan Mr Clean sahaja? Dan adakah ini adil dan saksama?

 Pihak SPR juga membelakangkan undang-undang serta arahan mereka sendiri sewaktu taklimat yang diberi kepada semua parti sebelum pilihan raya ke 11 ini. Menurut taklimat mereka, pondok panas yang pada kebiasaannya disediakan oleh parti-parti yang bertanding telah pun dimansuhkan, akan tetapi, 24 jam sebelum hari mengundi SPR sendiri mengisytiharkan bahawa pondok panas dibenarkan semula. Pada hari mengundi hanya pihak Mr Clean sahaja yang dapat menyediakan pondok panas berserta dengan komputer untuk semakan nama pengundi. Pondok panas ini juga dijadikan tempat memancing undi padahal pihak pembangkang telah diberitahu bahawa pada hari pengundian tiada sebarang jenis kempen untuk memancing undi dibenarkan.

Akhir sekali, jika kemenangan dicapai hanya dengan cara berat sebelah, ia tidak membanggakan lebih-lebih lagi kepada seorang pemimpin yang memanggil dirinya Mr Clean. Rakyat Malaysia jangan harap pemimpin sebegini boleh cakap serupa bikin jika mentaliti mereka bukan sahaja berada pada tahap dunia ketiga tetapi sudah sampai ke tahap gila kuasa. Mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa segan dan malu semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka. Jika sebegini mereka lakukan apakah harapan rakyat untuk melihat negara tercinta diperintah secara telus, terbuka dan boleh dipercayai?

CKChew - Lunas.  25.03.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN