Selepas 100 Hari, 
PM Baru Malaysia Pak Lah Hanya Berupaya Mengikut Jejak Habibie

Oleh CK Chew - Lunas
Selepas Suhaeto melepaskan jawatannya sebagai pemerintah tertinggi di Indonesia, beliau melantik Habibie yang dianggap lemah dan tidak mempunyai karisma sebagai penggantinya dengan harapan Habibie dapat melindungi segala salahlaku beliau dan sekutunya. Hari ini, di Malaysia pula, seorang “Habibie” dilantik hanya untuk mengikut telunjuk bekas PM supaya segala salahlakunya dan kepincangan yang berlaku sewaktu beliau menerajui kerajaan dapat dilindungi dan segala kehendak bekas PM dapat ditunaikan. “Habibie Malaysia” adalah PM baru, Abdullah Ahmad Badawi.

Mengapa Pak Lah sama dengan Habibie?

Dasar Negara Islam yang diistiharkan oleh bekas PM

Bekas PM, Dr Mahathir mengistiharkan Malaysia sebagai negara Islam secara lisan tanpa sebarang dokumen dasar yang rasmi sebagai sokongan kepada pengistiharan beliau. Ia memberi mengambaran bahawa Umno di bawah Dr Mahathir, tidak bersedia sewaktu membuat pengistiharan tersebut.

Setelah Pak Lah mengambilalih tampuk pimpinan Umno dan kerajaan pusat BN, dasar negara Islam Umno tetap tidak berubah. Dengan latarbelakang pendidikannya yang berasaskan kepada agama, Pak Lah sepatutnya lebih arif dan bersedia untuk membetulkan pengistiharan negara Islam oleh Dr Mahathir.

Langkah pertama yang patut diambil oleh Pak Lah selaku ketua pemimpin masyarakat Islam ialah mengarah jentera Umno yang kononnya berjuang untuk agama dan bangsa supaya menyediakan satu dasar rasmi Negara Islam sebagaimana yang telah dilakukan oleh PAS.

Akan tetapi, Pak Lah tidak bertindak sedemikian selepas memegang jawatan PM, beliau hanya meneruskan langkah yang telah diambil oleh Dr Mahathir yang secara langsung menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai wawasannya sendiri dan tidak berkewibawaan sebagai seorang pemimpin yang mempunyai asas pendidikan agama.

Kes Dato Seri Anwar Ibrahim

Boleh dikatakan kesemua rakyat tahu bahawa kes DSAI ini adalah satu dakwaan yang direka dan ia adalah sebahagian daripada agenda jahat Dr Mahathir terhadap DSAI. Kes ini jika mengikut normal keadilan antarabangsa sudah lama ditendang keluar oleh mahkamah yang adil.

Akan tetapi Pak Lah membiarkan kes ini berterusan dan ia menunjukkan Pak Lah sentiasa akur kepada kehendak Dr Mahathir. Ini adalah kerana Dr Mahathir mahu melihat DSAI menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah kangaroonya  sebelum dibebaskan.

Kes rayuan dan ikat jamin DSAI menjadi bahan kelakar antarabangsa. Kekeliruan yang ditunjukkan oleh para hakim dan juga hakim yang tiba-tiba ghaib sewaktu berjalannya kes tersebut mengambarkan kelemahan Pak Lah sebagai PM dan juga Menteri Dalam Negeri. Beliau selaku ketua kepada jabatan kehakiman, tidak berupaya memberi arahan dan keputusan yang jelas dan di atas kemahuan beliau sendiri. Oleh yang demikian, hakim-hakim terbabit terpaksa meminta tunjuk-ajar daripada Tuan politik mereka bila peguam bela mengemukakan hujah dan bukti yang bernas. Di manakah kepimpinan Pak Lah?

Kabinet baru Dr Mahathir bukan Kabinet Pak Lah

Perlantikan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri mengkukuhkan lagi perspesi rakyat bahawa Pak Lah senantiasa di bawah telunjuk Dr Mahathir. Pak Lah mengambil masa lebih kurang 3 bulan untuk mengumumkan perlantikan timbalannya kerana khabarnya beliau mahu  Muhiddin Yassin mengambil tempat tersebut.

Malang sekali, hajat beliau tidak kesampaian tetapi sebaliknya atas kehendak Mahathir, Muhiddin pula diturun-pangkatkan menjadi menteri pertanian. Di manakah kewibawaan Pak Lah sehinggakan kabinet beliau dilantik atas kehendak Dr Mahathir?.

Selain daripada itu, Pak Lah tidak berupaya untuk menggantikan kesemua ahli kabinet tinggalan Dr Mahathir yang telah usang dan tamat tempoh. Pak Lah hanya sekadar menerima apa sahaja yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir dan yang paling mengecewakan ialah Pak Lah terpaksa melantik seorang penyanggak mata wang yang juga sekutu rapat Mahathir, Nor Mohamed Yakcop untuk memegang jawatan sepenting Menteri Kewangan ke-2. Umum mengetahui bahawa Nor Yakcop telah menyebabkan bank negara mengalami kerugian berpuluh billion ringgit setelah pertaruhannya dalam pasaran mata wang gagal dan kegiatan ini dilindungi oleh Mahathir sendiri. Jika penyanggak mata wang Mahathir juga boleh diterima oleh Pak Lah, apa lagi yang Pak Lah boleh lakukan atas kehendak dirinya?

Dasar Ekonomi Negara

Kekeliruan adalah perkataan yang paling sesuai untuk menghuraikan dasar ekonomi Pak Lah. Dua perkara yang berlaku yang melibatkan ekonomi kita akhir-akhir ini menunjukkan bahawa Pak Lah sangat keliru dan hanya mewarisi dasar ekonomi Mahathir secara bulat-bulat.

Kenaikan harga kereta selepas pengumuman tariff baru oleh Pak Lah berikutan perjanjian Afta telah menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah Pak Lah faham berkenaan dengan pengurangan tariff mengikut perjanjian Afta ataupun beliau hanya mengikut arahan Dr Mahathir supaya bertindak sedemikian untuk menyelamatkan projek kereta nasional Mahathir?

Rata-rata harga kerata di seluruh dunia menurun akibat daripada perjanjian setempat(regional) seperti Afta dan juga WTO. Di Singapura, harga kereta jatuh secara mendadak, misalannya, harga kereta Toyota Corolla 1600 cc pada tahun 1995 adalah S$ 127,000 berbanding dengan sekarang hanya S$ 74,000 sahaja. Sementara kereta Nissan Cefiro pula hanya sekadar S$107,500 berbanding dengan harga S$ 115,000 3 tahun lalu (dipetik daripada Mailmoney, Malay Mail 12/1/04 - More affordable Car). Begitu juga di India, harga kereta Honda City 1.5 Exi ialah 647,000 rupee ( RM 53,377 – 100 rupee = 8.25 ringgit)  berbanding dengan 667,000 rupee (RM 57,502) (dipetik dari Mailmoney, Malay Mail – Honda Motor India to lower prices).

Selain daripada itu, dasar mata wang Pak Lah yang tidak menentu ataupun langsung tidak ada juga menunjukkan beliau terpaksa bergantung kepada dasar RM 3.80 untuk US$1.00 yang diperkenalkan oleh Mahathir. Menurut analisas Malaysian Institute of Economic Research (MIER), ringgit Malaysia adalah berada di tahap bawah-nilai (undervalue) sebanyak 20%. Ini menyebabkan harga barang import naik secara mendadak dan di Malaysia boleh dikatakan kebanyakkan barang kegunaan seharian adalah diimport dari luar negara. Oleh yang demikian rakyat menanggung beban yang tinggi selepas Pak Lah mengambilalih jawatan menteri kewangan dan juga PM. Bagi Pak Lah, beban tanggungan rakyat nampaknya tidak begitu penting jika dibanding dengan dasar kewangan Mahathir yang diwarisinya. Jika kepentingan rakyat diutamakan, sudah tentu Pak Lah selaku menteri kewangan akan mengubal dasar RM 3.80 untuk US$ 1.00 supaya harga import barangan dapat diturunkan, juterus itu beban rakyat dapat dikurangkan.

Kewibawaan Pak Lah dipersoal jika beliau masih tetap tidak mengambil tindakan proaktif terutama berkaitan dengan isu-isu penting seperti yang dijelaskan di atas. Jika beliau mempunyai wawasan dan berkarisma, keadaan seperti sekarang tidak mungkin berlaku. Atas sebab ini, rakyat perlu sedar dan tidak memberi mandaat secara membuta-tulit kepada Pak Lah yang lemah dan ia mungkin akan merosakkan lagi ekonomi dan juga keadaan hidup rakyat Malaysia

Kewibawaan Pak Lah dipersoal jika beliau masih tetap tidak mengambil tindakan proaktif terutama berkaitan dengan isu-isu penting seperti yang dijelaskan di atas. Jika beliau mempunyai wawasan dan berkarisma, keadaan seperti sekarang tidak mungkin berlaku. Atas sebab ini, rakyat perlu sedar dan tidak memberi mandaat secara membuta-tulit kepada Pak Lah yang lemah dan ia mungkin akan merosakkan lagi ekonomi dan juga keadaan hidup rakyat Malaysia.?

CKChew - Lunas.  19.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN