Pengisytiharan Negara Islam: 
Umno Patut Mengemukakan Dokumen Dasar Bertulis

Oleh CK Chew - Lunas
Pengisytiharan Negara Islam oleh Umno
 
Sehubungan dengan pengistiharan negara Islam oleh bekas PM, Dr Mahathir pada 2hb September di perhimpunan agung parti Gerakan dan yang terbaru, parti komponen BN, MCA yang mewakili masyarakat Cina mengaku secara terbuka bahawasanya, Malaysia adalah Negara Islam (laporan akhbar Chan Kong Choy: Malaysia is already an Islamic State with a parallel Islamic System – The Star, 13 December 2003 (Saturday).), maka ia adalah amat tepat pada masanya untuk kerajaan BN mengeluarkan satu dokumen rasmi atau “blue print” mengenai dasar negara Islam yang sedang atau bakal dilaksanakan di negara ini.

Dasar Negara Islam
 
Dasar dalam bentuk dokumen ini sangat penting memandangkan isu ini melibat kepentingan rakyat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, budaya and agama. Dasar ini akan menjadi penentu hala tuju pemerintahan negara yang kita sayangi ini.

Bagi kerajaan Umno/BN, proses penghasilan dokumen jenis ini sudah tentu tidak akan menjadi masalah kerana mereka mempunyai sumber-sumber kewangan dan jentera-jentera kerajaan yang selalu disalahgunakan untuk kepentingan mereka, dan ia boleh digunakan untuk melaksanakan tugas tersebut. Dr Mahathir sewaktu menerajui kerajaan BN pernah mencabar kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan PAS untuk mengemukakan Dasar Negara Islam (DNI) dan sejurus itu, PAS berjaya menghasilkan DNI-nya dalam bentuk dokumentasi. Sebaliknya, kerajaan Umno/BN yang telah mengistiharkan Negara Islam masih belum mengambil langkah untuk membentuk satu dasar negara Islam secara bertulis. Keputusan untuk membentuk dasar tersebut sekarang terletak di tangan kerajaan Umno/BN dan tindakan mereka yang enggan mengumumkan dasar ini akan dilihat sebagai ketidak-ihklasan kerajaan Umno/BN dalam pengistiharan Malaysia sebagai negara Islam. Ini akan disahkan jikalau Umno tidak dapat mengambil langkah proaktif dalam dasar negara Islamnya dan sebaliknya  sebuah parti Islam yang serba kekurungan disebabkan oleh sekatan demi sekatan yang dikenakan oleh kerajaan pusat di bawah parti Umno/BN dapat menghasilkan DNI.

Jika ia boleh dilakukan oleh sebuah parti seperti PAS, maka kerajaan Umno/BN yang kaya dan dikatakan “kuat” sudah tentu mampu dan boleh melakukannya. Kerajaan BN pernah menghasilkan pelbagai dasar dalam bentuk dokumentasi seperti Dasar Ekonomi Baru (NEP), Wawasan 2020 dan sebagainya. Oleh itu, tidak mustahil bagi mereka untuk menulis dasar yang sangat penting dewasa ini.

Dasar NEP merupakan satu langkah untuk merapatkan jurang perbezaan ekonomi di antara pelbagai masyarakat sementara Wawasan 2020 pula adalah untuk membentuk sebuah negara yang maju. Akan tetapi, sehingga kini, tidak ada sesiapa pun yang pernah melihat dasar rasmi negara Islam kerajaan Umno/BN secara bertulis sungguhpun dalam media tempat, BN terutamanya parti Umno sering mendabik dada bahawa merekalah yang membela agama dan bangsa.

Mengapa perlunya DNI Umno/BN
 
Dengan adanya DNI secara rasmi, rakyat dapat menilai dan memahami dasar negara Islam kerajaan BN yang diistiharkan oleh Dr Mahathir. Dokumen ini juga membolehkan kerajaan BN di bawah pimpinan pemangku presiden Umno dan PM yang baru DS Abdullah Badawi yang mempunyai asas pendidikan agama untuk memulihkan imej Islam yang kian dicemari oleh kenyataan media barat dan juga kenyataan pemimpin komponen BN yang bukan beragama Islam. Ia patut dijadikan satu panduan kepada pemimpin komponen BN yang bukan beragama Islam yang tidak berperasaan dan tidak sensitif terhadap agama masyarakat lain supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat sebagai menghina agama yang suci ini. Pengerusi MCA Terengganu baru-baru ini menyatakan bahawa jika minuman keras tidak boleh dijual di tempat yang dikunjung masyarakat Islam seperti di atas kapal terbang, maka kapal terbang itu juga mesti diharamkan untuk umat Islam (laporan akhbar The Star- Ban starts on Thursday – Kuala Terengganu shops & mini marts cannot sell alcohol, 28 Dec 2003). Kenyataan seperti ini mencerminkan kejahilan dan ketidak-sensitivitian pemimpin MCA terhadap agama Islam.

Jika begini tindakan seorang pemimpin tinggi parti komponen BN, maka keadaan menjadi lebih teruk lagi di peringkat akar-umbi.Oleh yang demikian, DNI kerajaan Umno/BN sebenarnya dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara kaum jika ia didokumentasikan dan dilancar secara rasmi. Justerus itu, ia akan melenyapkan segala kekeliruan pemimpin bukan Islam dalam BN. Perpaduan kaum juga dapat dieratkan dengan terhapusnya salah faham ini.

Selain daripada itu, dokumen rasmi juga dapat membuktikan bahawa pengistiharan negara Islam oleh BN bukan setakat retorik atau cakap-cakap kosong sahaja, semata-mata untuk memancing undi dalam pilihanraya umum yang akan datang. Umno dalam kerajaan BN sepatutnya mencontohi kerajaan negari PAS dalam menangani isu yang penting ini dengan secara tulus menggariskan DNI mereka dan ia boleh digunakan oleh rakyat sebagai kayu pengukur terhadap kedua-dua parti.

Tuntutan Rakyat: Dasar Negara Islam Kerajaan BN di bawah Umno
 
Akhir sekali, rakyat akan menjadi hakim terhadap segala dasar yang diperkenankan oleh parti-parti politik dan rakyat juga berhak membuat tuntutan terutamanya isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Parti yang memerintah juga harus peka dan menepati tuntutan rakyat yang memilih mereka untuk menerajui kerajaan. Oleh itu, kerajaan Umno/BN tidak boleh menyembunyi atau cuba menggelak daripada menghasilkan dasar negara Islam yang telah mereka janjikan kepada rakyat. Rakyat tidak begitu mudah diperbodohkan oleh pemimpin kerajaan dengan hanya memberi kenyataan ringkas seperti “Oh, dasar-dasar dalam DNI PAS sudah dilaksanakan oleh kita”. Kenyataaan seperti ini hanya menghina minda rakyat dan ia tidak mempunyai sebarang nilai intekletual. Ia adalah tugas kerajaan Umno/BN untuk menggariskan dasar-dasar yang diistiharkan untuk dinilai oleh rakyat. Apa yang perlu ditakutkan oleh Umno/BN sehingga mereka tidak berani mengemukakan dokumen negara Islam yang telah mereka istiharkan? Rakyat sedang menunggu, bila lagi Umno/BN hendak mengumumkan dokumen dasar negara Islam mereka?

Rakyat berhak untuk menuntut supaya kerajaan BN melaksana perkara-perkara berikut:

1. Gariskan dasar-dasar Negara Islam kerajaan BN dalam bentuk dokumentasi.
2. Hentikan dasar tohmahan atau “stereotyping” parti komponen BN yang terdiri daripada ahli bukan Islam terhadap isu negara Islam dan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam dengan maklumat-maklumat separa masak.
3. Buktikan ketelusan kerajaan BN dalam melaksanakan prinsip keadilan Islam dengan menghentikan segala kezaliman dan membebaskan tahanan politik terutamanya Dato Seri Anwar Ibrahim.
4. Menegakkan syariat Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang tulen berlandaskan kepada Al-Quran dan Hadis.
5. Menggunakan majority BN di parlimen untuk mengubal Perlembagaan Persekutuan supaya Enakmen Qisas dan Hudud dapat dilaksanakan di seluruh negeri.
6. Menggalakkan penghayatan Islam secara menyeluruh di samping memberi jaminan kebebasan beragama kepada penganut bukan Islam.
7. Mengadakan Muzakarah dengan semua parti dalam membentuk komsep negara Islam.
8. Mansuhkan akta-akta yang tidak berperikemanusiaan dan tahanan tanpa bicara yang tidak berlandaskan kepada ajaran Islam.
9. Memberi tumpuan untuk melahirkan masyarakat madani  yang tulen dengan penerapan nilai-nilai Islam.
10. Kembalikan bantuan per kapita SAR.
CKChew - Lunas.  19.01.2004
Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN