Umno Kuala Selangor Kembali Bergolak

Walau menangis airmata darah Daud pasti dilanggar

Setelah masing-masing bertungkus lumus untuk memenangkan Barisan Nasional bagi membolehkan ketiga-tiga kerusi DUN dan Parlimen Kuala Selangor dikekalkan, team-team di dalam Umno Bahagian Kuala Selangor mula mengorak langkah untuk menentukan barisan kepimpinan bahagian yang mereka mahukan bagi musim 2004 – 2007.

Walaupun terdapat lebih dari tiga kem di bahagian itu tetapi nampaknya sudah ada tanda-tanda mereka boleh bersatu disebabkan persamaan matlamat.

“Kalau mahukan Umno Kuala Selangor terus stabil dan kukuh YB Daud Tarihep Ahli Parlimen Kuala Selangor juga selaku Ketua Penaja Bahagian mesti diberhentikan daripada terus menerajui parti” begitulah cakap-cakap popular di kalangan ahli-ahli dan pimpinan Umno di peringkat bawahan di Kuala Selangor.

Cakap-cakap yang amat menyakitkan hati YB Daud dan geng-geng pengampu beliau itu sudah tidak dapat dibendung lagi dan pasti diterjemahkan dalam bentuk resolusi politik di cawangan-cawangan yang akan memulakan mesyuarat agung pada 1 Jun nanti. Daud Tarihep akan dicabar, jawatan Ketua Penaja dan AP Kuala Selangor bukanlah lesen untuk mengesahkan beliau sebagai Ketua Bahagian.

YB Daud pula tidak wajar menagih simpati untuk menghindarkan cabaran kerana beliau sendiri yang membentuk suasana agar kepimpinannya dibenci sejak mula mengambil alih teraju kepimpinan Umno Bahagian daripada Dato Seri Abu Hassan Omar pada 2001 lalu.

Ahli-ahli dan pemimpin Umno Kuala Selangor tidak sesekali membenci batang tubuh Daud, sebaliknya mereka meluat dan tidak bersetuju dengan stail kepimpinan Daud yang tertegak atas runtunan mabuk kuasa, dendam kesumat, cantas-mencantas dan menanamkan bibit-bibit perpecahan sesama sendiri.

Kalau di dalam p/raya mereka mengundi Daud kerana taat kepada parti tetapi hal itu tidak semestinya sama apabila berlaku pemilihan yang mana ahli-ahli Umno sendiri menjadi penentunya.

Tidak menjadikan Daud sebagai Ketua Bahagian bukan bererti mereka tidak setia kepada Umno malah menurut mereka menyingkirkan pemimpin seperti Daud merupakan langkah awal untuk meletakkan semula Umno di landasan yang betul agar kepentingan Melayu dan agama terus dijagai.

Ustaz Sayuti menawarkan diri

Apabila YB Ustaz Sayuti Said ADUN Bukit Melawati juga selaku Timbalan Ketua Penaja Umno Bahagian Kuala Selangor diberitakan telah pun mula menawarkan dirinya untuk mengisi jawatan Ketua Bahagian sesi 2004-2007 sudah tentu hal itu amat menarik.

Sayuti bukanlah seorang ahli politik yang agresif apalagi bercita-cita besar. Bagi beliau apa yang dilalui dan di kecapi sekarang sudah memadai.

Beliau bukan tidak menyedari kerja-kerja Daud memperlekehkan dirinya selaku MP Kuala Selangor sejak 2001 lagi. Sayuti juga tahu bagaimana Daud `menggunakan` Naib Presiden Umno TS Muhammad Mohd Taib untuk merampas kerusi Parlimen Kuala Selangor daripada tangannya.

Mujurlah Sayuti masih bernasib baik apabila beliau mendapat tempat untuk bertanding di DUN Melawti. Kalau tidak pasti Daud gembira sakan kerana dapat membunuh salah seorang yang dianggapnya seteru, namun niat busuk Daud itu tidak kesampaian.

Kalaulah kesabaran Sayuti sudah sampai ke penghujungnya lalu beliau membuat keputusan untuk bersaing dengan Daud bagi mengisi kekosongan kerusi Ketua Bahagian, siapa pun tidak boleh menyalahkan Adun Bkt Melawati itu. Enough is enough begitu kata pepatah Mat Saleh.

Peluang Sayuti untuk menang pula adalah 50-50. Jika betul langkah dan silatnya tidak mustahil Daud akan terkangkang. Namun untuk membenamkan Daud, Sayuti mesti memperlengkapkan dirinya dengan kekebalan dan ketahanan bukan kepalang. Berikut di antara pancaroba yang terpaksa dilalui Sayuti sebelum beliau mampu menyaingi `kehantu rayaan` Daud :

1. Daud akan mengetengahkan berbagai-bagai isu untuk memburuk-burukkan keperibadian dan kepimpinan Sayuti, di antaranya termasuk kes-kes sejarah silam dan prestasi `buruk` Sayuti di dalam parti dan kerajaan.
2. Daud akan menggunakan para pemimpin Umno di peringkat negeri dan nasional untuk memujuk Sayuti di saat-saat akhir agar menarik diri dari bertanding. Daud amat memahami kelemahan Sayuti, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan hujah keagamaan. Daud akan menggunakan `orang agama` dikalangan pimpinan Umno untuk memujuk Sayuti.
3. Daud sanggup berbuat apa sahaja untuk menang termasuk menggunakan `bomoh`, menangis, merayu dan meratap bagi memancing undi tetapi Sayuti tidak berkemampuan ke arah itu.
4. Daud sudah menyediakan wang yang cukup untuk membeli undi perwakilan manakala Sayuti tidak berduit dan tidak mahu terlibat di dalam amalan politik wang.

Sayuti berkemungkinan akan menang sekiranya beliau mampu mengatasi rintangan-rintangan di atas.

Namun kebanyakan ketua-ketua cawangan meragui kemampuan Sayuti untuk berdepan dengan sepak terajang politik yang kadangkala terlalu brutal. “Kalau Sayuti makan pujuk atau dia menyerah di saat akhir,sudah tentu Daud akan ketawa berdekah-dekah” demikian kata sebahagian besar daripada ketua-ketua cawangan yang sempat ditemui.

Menurut mereka tokoh yang layak berdepan dengan Daud adalah individu yang tidak makan pujuk dan tidak punya track record untuk dieksploitasi.

Jika tokoh sebegitu dapat diketengahkan dan memperoleh sokongan padu dari semua pihak sudah tentu Daud akan berdepan dengan masalah besar. Daud hanya akan bergelar sebagai YB Ahli Parlimen Kuala Selangor sehingga tahun 2009 bukan sebagai Ketua Bahagian.

Soalnya siapakah tokoh itu? Kata kebanyakan orang politik di Kuala Selangor “Kalau Hj Jahaya dan Dato Hanafi Sulaiman bersatu tenaga sudah tentu Daud akan lingkup”.

Seorang ketua cawangan di DUN Bukit Melawati pula berkata: “Apa salahnya mencalonkan Hj Jahaya Ibrahim untuk jawatan Ketua Bahagian,lagi pun tahun 2001 dia sudah berlawan dengan Daud untuk jawatan itu, kalau lah tidak kerana pertandingan tiga penjuru Hj. Jahaya tentu menang.”

“Kali ni kalau Hj Jahaya bertanding diharap semua pihak terutamanya Dato Hanafi dan wakil-wakil rakyat boleh berkompromi, yang penting Daud mesti direhatkan daripada memimpin bahagian” ujar ketua cawangan itu lagi.

“Hj Jahaya jujur! Tengok saja dia kahwin dua pun tak sorok-sorok. Bukan macam Daud, kahwin dua-tiga tak mau mengaku,sejak akhir-akhir ini pula dia dikaitkan dengan skandal melibatkan pemimpin Puteri Umno Bahagian, itu amat memalukan bangsa dan parti. Kata orang … Daud dah kahwin dengan Puteri Umno tu di Thailand, betul ke tidak, kita pun tak tau.” kata ketua cawangan separuh umur itu sebelum mengakhiri satu sesi sembang politik di sebuah kem bina insan dekat Kuala Selangor baru-baru ini..

Cikgu Pencen - 04.05.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN