Maths Dan Sains: Kasihanilah Anak-Anak Kita Pak Menteri!
Oleh Cikgu Komando (Laman M@RHAEN)


Polemik mengenai penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik amat merisaukan semua pihak termasuk para guru dan ibu bapa. Sebagai seorang guru yang terlibat mengajar sains tingkatan satu, saya ingin memberikan pandangan terperinci berdasarkan pemeriksaan terhadap mutu jawapan pelajar dalam kertas soalan peperiksaan sebuah sekolah luar bandar. Untuk  makluman, saya juga adalah salah seorang pemeriksa kertas bagi Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Terdapat tiga kategori pelajar sebenarnya. Yang pertama; memang mahir dalam Bahasa Inggeris dan mahir konsep sains. Yang kedua: mahir konsep sains tetapi lemah Bahasa Inggeris ataupun mahir Bahasa Inggeris tetapi lemah konsep sains. Yang ketiga dan dominan: konsep sains lemah dan Bahasa Inggeris pun lemah. Saya tidaklah mempunyai kaedah canggih, laporan tesis dan penyelidikan peringkat tinggi untuk membuktikan dapatan ini seperti pihak EPRD kementerian Pendidikan; tetapi sekadar jujur dan ikhlas menyatakan yang benar dan tersurat berdasarkan pengalaman mengajar (tidak hanya duduk dalam pejabat dan melemparkan dasar dan pelbagai rumusan pendidikan untuk memuaskan hati orang atasan).

Saya sukar untuk merumuskan kelemahan pelajar dari segi konsep sains mahupun bahasa kerana keadaan ini menjadi lebih parah dengan perlaksanaan bahasa asing. Ini terbukti dalam banyak ujian kertas 2 sains yang dijalankan di sekolah:

a) Kebanyakan pelajar tidak mampu memahami arahan dan kehendak soalan. Jawapan mereka memang entah apa-apa. Soalan lain jawabnya lain.
b) Pelajar tidak mampu menghuraikan jawapan seperti mana yang dikehendaki dalam skema jawapan. Hanya yang betul-betul cerdik (kategori pertama) mampu.
c) Banyak ruang jawapan kosong (tak boleh jawab langsung)

Apakah sebenarnya yang sedang kita lakukan kepada anak bangsa kita? Wajarkah masa depan mereka dieksperimenkan hanya untuk memastikan satu hipotesis iaitu “Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mampu meningkatkan mutu pencapaian Bahasa Inggeris” boleh diterima atau tidak? Kalau kita menunggu kejayaan anak didik pertama hasil dasar ini pada 2008, wajarkah kita meminggirkan ketidaktentuan yang berlaku pada anak-anak didik dari tahun 2002-2008? Mereka dijadikan bahan eksperimen dengan keputusan ujian dan peperiksaan yang menyedihkan. Siapa yang akan menanggung risiko daripada perubahan dasar ini? Pembuat dasar? Ibu bapa? Guru-guru? Atau murid-murid itu sendiri…?

Bagaimanakah perasaan ibu bapa yang anak anak mereka dilaburkan untuk “dileburkan” oleh dasar ini. Apakah semua saintis, para doktor, jurutera dan ilmuwan Melayu masa kini semuanya lahir hanya pada zaman sains dan matematik diajar dalam Bahasa Inggeris? Saya tidaklah terlalu fanatik dalam soal bahasa Melayu cuma sekadar memikirkan kesan dan implikasi perlaksanaan dasar ini sekarang yang sedang membarah di kalangan anak-anak kita.

Pergilah ke sekolah-sekolah dan ambillah keputusan subjek Sains dan Matematik untuk dikaji kembali secara menyeluruh. Janganlah hanya ke sekolah-sekolah di bandar dan terkemuka untuk melaksanakan kajian. Berlaku jujurlah. Semua ibu bapa yang menatap tulisan ini juga tahu mengenai prestasi anak mereka masing-masing dalam subjek pembunuh ini.  Biarlah kerugian wang berjuta-juta ini dihentikan sekarang demi memastikan anak-anak masa kini dan akan datang terbela. Yang sudah tu sudahlah.. jangan biarkan sampai lebih ramai lagi yang terkorban kerana perlaksanaan terburu-buru ini.

Cikgu Komando
Pahang - 24.10.2004
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: