Malaysia Negaraku, Perak Negeriku... PMnya Ehsan, MBnya Perasan... 
(sambungan....)
sambungan … MB Perak MB Perasan..

Selama 16 hari PM Ehsan menerajui pentadbiran Malaysia, tiada apapun yang boleh rakyat banggakan. Rakyat kecewa kerana dalam tempoh sepuluh hari sahaja beliau menjadi PM, telah begitu terserlah akan penderhakaannya kepada agama, bangsa dan negara. Penderhakaannya bukan sahaja diulas dengan panjang lebar melalui dunia siber oleh penulis-penulis yang semakin bertambah, bahkan ia juga diulas di merata tempat tanpa mengira keadaan status ekonomi marhaen oleh pelbagai bangsa dan agama di negara ini. Penulisan mini saya pada kali ini tidaklah hendak menyentuh secara khusus kepada PM Ehsan ini kerana saya masih mahu berlabun dengan MB saya yang saya gelarkan MB Perasan.

Perak merupakan sebuah negeri yang cukup kaya, bersesuaian dengan namanya perak .. silver. Hari ini Perak tinggal nama sahaja. MB-MBnya gagal menaikkan semula nama Perak kerana mereka lebih pentingkan glamer diri bukannya rakyat. Pembangunan spritual dan fizikal mundur ke belakang. Negeri lain semakin mengorak langkah ke hadapan. Selangor dan Johor peneraju dan memacu ekonomi negara. Selangor dan Johor hebat pembangunan fizikalnya, tetapi terlalu daif pembangunan spritualnya. Amalan korupsi semakin meningkat manakala pendidikan agama ditindas. SAR ditamatkan peruntukan.

Kelantan dan Terengganu mula mengorak langkah dalam kepayahan. Kepayahan kerana negeri-negeri ini adalah anak tiri kepada bekas PM Paduka Tun dan juga PM hari ini, PM Ehsan. Namun dalam serba serbi payah ini, Kelantan dan Terengganu masih mampu menyeimbangkan pembangunan fizikal dan spritualnya. Kelantan yang dianggap sebagai negeri yang merempat dan mengemis sewaktu di bawah BN telah berjaya menjadikan negeri ini tumpuan pelancong tempatan dan luar terutama semasa cuti sekolah ini. Begitu juga halnya di Terengganu walaupun tanpa bantuan wang royalti petronas, negeri ini masih mampu bertahan dan rakyat faham dan jijik dengan angkara murka BN pusat.

Kelmarin PM Ehsan datang ke Terengganu kerana beliau adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Kedatangan yang menjanjikan retorik kemenangan Gelombang Biru yang telah jadi haru-biru. Perbualan saya secara rawak dengan beberapa kenalan dan bukan kenalan di Terengganu sebelum pulan puasa memperjelaskan kepada saya yang marhaen Terengganu mula serasi dengan YAB Tok Guru Haji Hadi. Hanya kelompok-kelompok kecil pimpinan UMNO yang semakin miskin sedang mengemis simpati rakyat untuk menobatkan kembali mereka di kerusi DUN dan parlimen. Jauh lemang dari api .. lemang tak jadi lemang .. api yang marak padam tiba-tiba disimbah sendiri oleh gelombang biru ..

UMNO Perak pula kelihatan tenang seperti itik yang sedang berenang. Pandangan mata dari atas, itik yang sedang berenang di sungai, kolam atau lombong begitu mengasyikkan. Itik yang bermain dengan alunan ombak-ombak kecil kesan dari kuakan kakinya mententeram-damaikan jiwa kita setelah seharian suntuk penat bekerja. Tetapi cuba kita lihat dari dalam air .. lihat kakinya .. menggelupur ligat mengawal dirinya dari dibawa arus air. Begitulah perumpamaan yang sesuai dengan UMNO di Perak. Perumpamaan ini dicipta sendiri oleh Setiausaha Perhubungan UMNO Perak. Saya sekadar mengulangnya sahaja ..

UMNO di Perak sedang menutup masalah dalamannya. MB Perasan masih gagal memulihkan imej UMNO Perak. Tambahan pula MB Perasan ini tidak begitu mempedulikan kerenah-kerenah helah ketua-ketua bahagian yang sedia ada di Perak. Pembangunan fizikal terlalu kurang. Kekurangan pembangunan ini menyebabkan UMNO Perak tidak boleh memaksimakan korupsi mereka. Projek mega MB Perasan ini hanyalah membakar 7000 batang lemang dalam program Lemang Perdana di Layang-Layang Kanan, Parit pada hari memasak nanti. Semua exco negeri dan pegawai tinggi kerajaan Perak akan mempersembahkan diri mereka untuk ditatap oleh MB ini nanti. Siapa tak datang .. siapp… Rupa-rupanya MB Perak berstatus pembakar lemang. Tahukah MB bahawa ketua-ketua bahagian UMNO di Perak mahukan MB kembali ke pusat. Mereka mahu nyahkan MB Perasan ini dari kerusi MB Perak. Tapi sempatkah?

Sekiranya BA bijak mengeksploitasi isu pembangunan, memang pembangunan di Perak boleh dipersoalkan. Rakan-rakan dari luar Perak sering bertanya apa istimewanya Perak? Kelantan dan Terengganu terkenal dengan makanan dan kraftangan. Pulau Pinang, Melaka dan Perlis banyak tempat-tempat yang menarik dan sesuai dibawa keluarga bercuti. Cuma MB mereka sahaja yang ‘terover’ hingga lajak keluar anak. Selangor dan Johor merupakan negeri kosmopolitan sehingga banyak tanah negeri tergadai tak bertebus. Negeri Sembilan yang kaya dengan perpatihnya telah tercemar dengan JE di Bukit Pelanduk suatu ketika dahulu. Sempat juga JE bertuankan PM Ehsan. Pahang pula mewah dengan kasinonya. Sementara Kedah pula diselamatkan oleh lagenda Pulau Langkawi sehingga nyaris-nyaris Alor Setar hilang status ibu negeri. Tetapi apa ada di Perak? Pembangunan di Perak sekadar retorik. Maklumlah ada MBpun, MB Perasan. MB yang tidak langsung mempunyai idea untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat. Hanya mengharap tuah tanpa usaha.

Kebiasaannya pelancong tempatan yang datang dari dalam atau luar Perak akan menghabiskan cutinya bersama keluarga untuk tempoh dua atau tiga hari dengan kawalan perbelanjaan antara RM300.00 hingga RM500.00 sahaja. Kalau bercuti di Perak, rugi. Tidak banyak tempat-tempat menarik yang ada. Di Ipoh langsung tidak ada tempat-tempat yang menarik kecuali hotel sahaja yang berlambak. Nasib baik hotel-hotel itu dihidupkan oleh kursus-kursus anjuran jabatan-jabatan kerajaan. Taman DR hanyalah seperti taman permainan kanak-kanak yang ada di semua bandar-bandar di Malaysia ini. Begitu juga dengan Rekreasi Gunung Lang. Malu kami membawa rakan-rakan dari luar ke Ipoh.

Pelancong kerugian masa, rugi wang dan rugi bercuti di Perak. Maklumlah pergerakan dari satu destinasi ke satu destinasi memakan masa lebih satu jam. Perak hanya layak dikenali sebagai tempat persinggahan seminit dua untuk menghilangkan penat setelah memandu jauh dari utara ke selatan atau dari selatan ke utara. R&R Tapah dan Bukit Merah sahaja yang menikmati limpahan pelancong, sentiasa sesak.

Wahai MB Perasan, saya lontarkan sedikit pandangan. Jikalau baik boleh diusahakan. Jikalau tidak baik jangan difikirkan langsung. Pusing dan Papan adalah dua pekan kecil yang hidup segan mati tak mahu. Dari Ipoh sekadar 15 minit perjalanan sahaja. Jikalau mahu disingkatkan lagi masa kepada lima minit, Bukit Kledang di Menglembu boleh dijadikan sebagai tapak lokasi.

Hutan Simpan Papan dan Kledang serta tanah-tanah kerajaan di pinggir hutan itu boleh dimajukan. Peruntukkan 100 ekar atau 40 hektar tanah untuk dijadikan Ladang Rekreasi Budaya (LRB). LRB ini mungkin tidak mendatangkan nilai komersial dari segi namanya. Cadangkan nama lain yang lebih komersial. Majukan pinggir hutan simpan ini secara memanjang supaya tidak mengganggu ekosistem yang sedia ada. Kekalkan pokok-pokok besar dan landskap semulajadi.

Secara konsepnya LRB ini dibahagikan kepada 10 atau 11 zon dengan setiap zon mempunyai keluasan antara tiga hingga empat hektar. Perak mempunyai sembilan daerah dan sembilan zon itu adalah merupakan zon daerah. Kawasan yang berpaya dan lembah jadikan sebagai Zon Kerian. Kawasan yang berbukit jadikan sebagai Zon Hulu Perak. Kawasan bekas lombong jadikan Zon Kinta. Kawasan lata dan air terjun jadikan sebagai Zon Batang Padang. Kawasan bersungai, pamah dan berbukit jadikan pula sebagai Zon Kuala Kangsar, Perak Tengah, Larut Matang Selama, Hilir Perak dan Manjong. Zon yang selebihnya dikhaskan untuk membina masjid, dewan, padang permainan, tempat letak kenderaan dan bangunan pejabat Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Perak. Rumah-rumah pegawai dan kakitangan juga boleh dibina di setiap zon.

Saya kemukakan lagi gambaran konsep LRB ini supaya MB dan pembaca lebih jelas dan faham. Jadikan Zon Kerian sebagai contoh. Daerah Kerian adalah pengeluar utama padi Perak. Zon Kerian ditanami dengan padi. Terdapat pokok mempelam di batas-batas bendang ini. Ada ikan puyu, haruan, limbat dan keli di sawah. Di pinggir sawah terdapat resort atau calet dua bintang yang boleh disewakan. Penyewa calet boleh menuai padi dan membanting di sepanjang tempoh penyewaannya jika serentak dengan musim menuai. Boleh memetik buah mempelam di batas-batas sawah. Boleh memancing ikan-ikan ketika musim sawah berair. Boleh menanam padi menggunakan kuku kambing atau jari bila musim menanam. Boleh membajak dengan tenggala atau tajak serta bermain lintah ketika musim penyediaan tapak sawah. Adakan pesta layang-layang sebaik sahaja tamat musim menuai. Sepanjang tahun ada sahaja aktiviti yang boleh dilakukan di zon ini. Itu seimbas lalu tentang aktiviti yang boleh dilaksanakan di Zon Kerian. Dan di pintu keluar zon tuliskan begini, ‘Jikalau pengunjung mahu maklumat lebih lanjut sila berkunjung terus ke Daerah Kerian’.

Gambaran konsep seterusnya ialah Zon Kuala Kangsar. Kuala Kangsar terkenal dengan perusahaan labu sayong, golok, muzium diraja, pokok getah, durian dan tempoyak. Pengunjung boleh didedahkan dengan pengetahuan cara-cara membuat labu sayong dan golok secara tradisi. Pengunjung juga boleh melihat replika muzium diraja. Tulis di luar replika, ‘Muzium ini hanyalah replika, sila bawa keluarga anda melawat Muzium Diraja Kuala Kangsar di Kuala Kangsar’. Durian yang gugur dalam kawasan resort pengunjung adalah milik pengunjung tersebut. Pengunjung juga diajar cara-cara memasak gulai tempoyak dan memancing haruan di sungai. Terliur dah wehhhh .. bulan puasa cerita tempoyak .. iskk. Cukup dahulu!!!

Begitu juga dengan di zon-zon lain boleh dilaksanakan aktiviti yang pelbagai dan berbeza antara zon-zon daerah ini. Sehari suntuk pengunjung boleh berada di LRB. Mereka juga boleh menginap ala kampung di LRBP. Mandi air perigi, berehat di luar sambil menunggu durian gugur, mendengar dendangan cengkerik hutan dan sebagainya lagi. Tetapi dalam calet mesti ada air-cond. Jikalau tidak pengunjung lari malam dihambat nyamuk dan unggas hutan.

Wahai MB Perasan dan bakal-bakal MB Perak, adakah mustahil diwujudkan LRB ini. Banyak peluang pekerjaan yang boleh disediakan kepada rakyat. Pengunjung dalam dan luar Perak akan ceria berkunjung ke Perak. Secara tidak langsung ekonomi pelancongan Perak akan berkembang pesat. Dan yang paling penting, saya tidak lagi merasa malu apabila kawan-kawan marhaen bertanya akan tempat istimewa di Perak. Saya akan katakan dengan penuh bangga .. LRB.

Semua itu sekadar konsep awal, boleh dimurnikan lagi. Cuma satu pesan saya, jangan masukkan politik berat sebelah dalam pengurusannya nanti. Amanahkan kepada Jabatan Pelancongan & Kebudayaan serta Jabatan Perhutanan untuk mengurusnya. Barulah ada ummph …

Wahai MB dan bakal MB, boleh atau tidak merealisasikan impian saya ini …

Cacilut - 17.11.2003
Sila berikan respons/komen kepada artikel ini.

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: