Salam Khas Untuk YAB Pak Lah

Tahniah dan syabas atas perlantikan Pak Lah sebagai PM Malaysia yang baru. Walau apapun pandangan dan jangkaan rakyat marhaen sama ada berbentuk pujian atau cercaan, Pak Lah tetap PM. Tidak boleh disangkal kebenaran ini.

Sebelum Pak Lah menjadi PM, rakyat marhaen bergolak jiwaraganya dengan sentuhan perasaan benci atau sayang. Benci kepada Tun Dr. Mahathir seolah-olah ia lebih klon daripada Bendahara Tun Mutahir zaman Melaka. Ada juga yang sayang seperti Pak Lah ‘sayangkan" dia. Tetapi nilai benci dan sayang tersebut lebih bermajoritikan benci. Majoriti pengundi Melayu telah menolak UMNO pimpinannya melalui pilihanraya 1999 dan juga melalui pilihanraya-pilihanraya kecil selepas itu. Semua itu telah menjadi lipatan sejarah. Buang yang keruh ambil yang jernih, yang telah berlalu biarkan berlalu. Biarkan Tun Dr. Mahathir terjun dengan labu-labunya.

Pak Lah lebih memahami daripada kami mengerti. Pak Lah lebih banyak makan garam daripada jumlah garam yang kami makan. Kami merasa yakin dengan Pak Lah. Pak Lah tahu punca UMNO bermasalah. Pak Lah tahu kekuatan PAS/keADILan dan kelemahan UMNO. Cuma BA belum cukup kuat untuk menggugat BN. Tiada bermakna BN menang kerana yang kalah bukan BA tetapi UMNO yang Pak Lah pimpini hari ini yang merudum tunduk layu penuh keangkuhan.

Tempoh masa penyatuan marhaen Melayu masih terbentang luas. Pak Lah berkuasa sekarang. Silap guna kuasa Pak Lah akan hancur seperti perginya Tun Dr. Mahathir sehingga tidak sempat menunggu tempoh edahnya sebagai PM hingga pilihanraya akan datang. Penerusan kuasa dan nasib marhaen Melayu terletak pada bahu Pak Lah. Marhaen Melayu yang akan menentukan Pak Lah menjadi Pak Lah yang sebenar, bukan Pak Lah peliharaan Tun Dr. Mahathir.

Ucapan pertama Pak Lah sebagai PM apabila memijak kaki di negeri kelahirannya Pulau Pinang, mengajak kami rakyat marhaen bekerja bersama Pak Lah, bukan bekerja untuk Pak Lah. Begitu lembut dan sayu ajakan saraf Pak Lah kepada kami. Walaupun mungkin Pak Lah bermaksud lain, tetapi antara yang kami faham Pak Lah sudi mendengar pendapat dan pandangan kami. Mungkin pandangan kami terlalu cetek, tetapi kisah seorang budak berjaya menyelamatkan Singapura daripada amukan todak memberi gambaran nasihat tradisi setiap pendapat ada harganya.

Pak Lah, kami sayangkan negara ini sebagaimana Pak Lah sayangkan Malaysia. Kami akui sumbangan UMNO merencana kemerdekaan negara. Tetapi kami juga akui sumbangan KMM, AWAS, INSAF dan lain-lain parti yang dikatakan radikal Melayu suatu waktu dahulu. Kehadiran parti radikal ini telah mempercepat dan memberkesankan perjuangan UMNO zaman itu. Teringat satu siri di tv beberapa bulan yang lalu, kalau tak silap Majalah 3 di TV3, seorang pak cik tua di Johor yang menganggotai Angkatan Pemuda Insaf (API) ada menyebut, "Dari dahulu hinggalah ke hari ini, kebun getah inilah tempat saya menyara diri dan keluarga. Dahulu, kami adakah perintis kepada kemerdekaan, kami jalan di depan, kami merintis laluan supaya menjadi mudah kepada orang di belakang melaluinya. Tapi jasa kami dilupai …",

UMNO zaman akhir Tun Dr Mahathir tidak lagi relevan kepada orang-orang Melayu. Orang Melayu terus dipersalahkan kerana menolak UMNO. Tidak dinafikan Tun Dr. Mahathir berjaya menaikkan martabat Melayu di mata dunia. Apa guna dunia memandang tinggi kepada Malaysia sedangkan pada pandangan dunia dan masyarakat marhaen Melayu, telah berlaku satu penganiyaan kemanusiaan yang memalukan pimpinan dan perundangan negara. Tun Dr. Mahathir mahu menutup tohmahan padunya terhadap Anwar Ibrahim dengan rencahan ekonomi dan pembangunannya. Tetapi beliau tetap gagal dan isu Anwar tetap dan terus segar menyuntik marhaen Melayu dalam pilihanraya nanti. Anai-anai marhaen Melayu tentu dapat meruntuhkan busut dan gunung ciptaan UMNO.

Pak Lah, mahukah Pak Lah melihat Melayu yang bersatu? Tentu mahu kan? Kami mahu bersama Pak Lah untuk merealisasikan penyatuan ini. Mungkin Pak Lah mahu mengajak kami bersatu bersama UMNO. Kami boleh bersama sebagaimana datuk nenek kami yang seangkatan dengan Allahyarham ayahanda Pak Lah dahulu bersama Allahyarham Tunku. Kami pasti bersama jika Pak Lah sudi bersama kami. Sekali Pak Lah sudi, jutaan kali kami sudi.

Soalan yang popular hari ini kepada Pak Lah ialah siapakah Timbalan Pak Lah. Tradisi PM sebelum ini tidak pernah melantik Naib Presiden UMNO yang mempunyai undi majoriti. Pak Lahpun bukan Naib Presiden majoriti sebelum dilantik sebagai TPM. Jikalau PM sebelum ini mahu mencipta sejarah dalam melantik TPM, apa salahnya jika Pak Lah terus mengubah haluan sejarah tradisi demi penyatuan Melayu. Biarlah Pak Lah tidak popular kepada MKT UMNO tetapi terus popular kepada marhaen Melayu sama ada yang memang UMNO totok atau UMNO celup atau non UMNO.

Pak Lah, apa kata kalau Pak Lah melantik Anwar Ibrahim sebagai TPM? Memang satu kejutan kepada negara, tetapi satu kelegaan kepada kami rakyat marhaen. PAS akan terkejut, keADILan juga hampir tidak percaya, dan UMNO dengan sendirinya akan mudah membersihkan diri. Selesaikan semula kes Anwar di mahkamah, bicara semula dengan mendengar keterangan dan bukti daripada Tun Dr. Mahathir. Sekiranya bukti yang ada jelas dan berjaya memahamkan rakyat marhaen yang Anwar memang meliwat, biarkan Anwar meringkuk di penjara. Biarkan keADILan meliwat PAS atau PAS diajar cara-cara meliwat keADILan. Tetapi jika Anwar terbukti dikonspirasi, kembalikan TPM kepada Anwar dan pandai-pandailah Tun Dr. Mahathir mencari suaka politik. Sungguh menarik hati, PM UMNO, TPMnya keADILan …

Pak Lah, susahkah untuk melakukan semua ini di ketika Pak Lah ada kuasa. Susahkan Pak Lah …?

Maaf Pak Lah, kami memang dungu, tetapi fahamkan kepada kami kenapa kami dikatakan dungu. Kami sanggup dikatakan dengan unsur-unsur tidak cukup akal itu, tetapi kami juga ada kuasa. Kuasa untuk menurunkan kuasa Pak Lah sebagai PM melalui pilihanraya nanti.

Pak Lah, masa itu terlalu berharga. Pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh tak sampai 400 hari selepas Pak Lah bergelar PM. Takkan Pak Lah mahu menjadi PM yang paling singkat. PM yang tumbang di dalam pilihan raya. Malunya lebih daripada malunya Tun Dr. Mahathir lagi. Sepanjang Tun Dr. Mahathir jadi PM, tidak pernah dia kalah dalam pilihan raya. Memang Tun Dr. Mahathir pernah kalah di era Tunku, tapi itu …, dah lama dahhh …

Ok Pak Lah, selamat berpuasa dan berhari raya. Maaf zahir dan batin.

Assalamualaikum.

cacilut - 02.11.3002

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN

Click Here!