Seni Perperangan – Sun Tzu
Kiriman Brontosaurus
(dipetik drp : http://members.fortunecity.com/suagam/rencana13.htm)

Dalam prakata oleh Professor Norman Stone dari Universiti Oxford, beliau menegaskan bahawa Sun Tzu ialah salah seorang pemimpin China yang hidup lebih 2400 tahun yang lalu. Dan beliau hidup sezaman dengan Confucius. Buku Kesenian Peperangan tulisan Sun Tzu ini adalah suatu buku yang mempunyai banyak kaedah kebijaksanaan dan akal fikiran. Ianya mengandungi bentuk-bentuk yang lengkap bertujuan untuk mencapai kemenangan mutlak tanpa menumpahkan darah.

‘Kenal pasti musuh kamu dan kenal pasti siapa kamu; di dalam beratus peperangan, kamu tidak akan dikalahkan’

Buku ini mengandungi banyak kebijaksanaan yang seperti di atas.

Tipu helah Sun Tzu yang nyata ialah dia amat memahami bagaimana mahu mengeksploitasi musuh dari segi perbezaan pendapat dan cara hidup dan juga kelemahan mereka. Dan seterusnya bagaimana menggunakan kekuatan musuh untuk mencapai kepentingannya sendiri.

Buku ini juga tidak lari dari pemikiran Lenin. Kata Lenin berkenaan kuasa Barat, “Kapitalis akan menjual kita tali dan dengannya juga kita akan menggantung mereka.” Kefahaman pemikiran Lenin ialah kekuatan musuh dapat digunakan semula menentang mereka.

Professor Norman berkata semasa ramai berpendapat ketenteraan adalah semata-mata berkaitan dengan peperangan, kita juga mesti memahami tentang unsur-unsur penting tentang perbincangan atau rundingan. Katanya lagi, "Sesiapa yang berkemahiran dalam peperangan akan juga bijak menentukan arah politik”. (‘Those skilled in war cultivate politics’) Dan dengan demikian kamu akan menaikkan semangat dan menggalakkan sekutu, menipu musuh, belajar tentang mereka, bergantung kepada mereka di saat-saat genting untuk mendapatkan bekalan dan kelengkapan serta membuatkan mereka letih memikirkan perkara - perkara remeh di mana agen-agen kamu akan membuatkan mereka merasa amat berminat tentang perkara itu. Walaupun ianya adalah hasil karya tentang ketenteraan, ianya tidaklah terbatas kepada urusan-urusan ketenteraan semata-mata. Banyak perkara di dalamnya berkaitan tentang hubungan antara peperangan, politik, ekonomi, diplomasi, geography dan astronomy.

Sun Tzu ialah seorang saintis ketenteraan. Hasil karya beliau ini telah diberi pengiktirafan yang tinggi di negara-negara luar dan telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Jepun, Jerman, Peranchis dan Russia.

Mao Zedong juga tidak lupa memberi penghargaan yang tinggi terhadap buku ‘Seni Peperangan Sun Tzu’ ini dengan berkata bahawa di dalam salah satu ungkapan Sun Tzu ada mengatakan ‘Kenalpasti musuh kamu dan tahu siapa diri kamu dan kamu boleh berperang di dalam beratus-ratus pertempuran tanpa kalah’ (Know the enemy and know yourself and you can fight a hundred battles without defeat’) dan ungkapan ini adalah amat benar. John Collins, di dalam bukunya yang bertajuk ‘Grand Strategy, Practices and Principles’ beliau berkata,” Pemikiran pertama yang hebat dalam membentuk pemikiran strategik adalah milik Sun Tzu.”

Katanya lagi, “Buku Seni Peperangan ini merangkumi pelbagai topik termasuklah hukum peperangan, falsafah, pemikiran dan perbincangan strategik, politik, ekonomi, diplomasi dan geography.”

Dengan mengkaji buku ini, sudah semestinya dapat membantu komander-komander tentera dalam semua peringkat tentang kaedah yang betul untuk menentukan hala tuju peperangan, menyusun setiap pertempuran, mengembangkan kemahiran berfikir dan kebijaksanaan dan seterusnya meningkatkan kemampuan semasa.

Semasa memberi ulasan terhadap buku Seni Peperangan, Marshal Liu Bocheng, yang pernah menjawat jawatan presiden Akademi tentera China sekitar tahun 50-an berkata bahawa buku ini mengandungi beberapa keistimewaan yang nyata dan ini membuatkan ianya amat unik seperti juga hasil karya buku besar yang lain berkaitan dengan seni peperangan. Diantaranya ialah:

1. Buku ini adalah hasil kerja silam berkenaan peraturan-peraturan peperangan universal. Ianya menekankan dengan mendalam faktor-faktor yang membawa ke arah kemenangan dan mengalahkan musuh, dan ianya juga memberi penekanan terhadap perihal pentingnya perkiraan (keputusan-keputusan muktamad militer sebelum memulakan peperangan).

2. Buku ini memberi penekanan kepada hubungan diantara peperangan dan faktor-faktor politik, ekonomi, diplomasi, astronomi dan geografi. Seorang panglima dikehendaki menilai masa dan mengukur setiap suasana dan seterusnya mengagak keputusan-keputusan musuh sebelum melancarkan sebarang serangan atau mengarahkan peperangan. Dia tidak sepatutnya bertindak secara melulu.

3. Buku ini menekankan kaedah untuk menewaskan musuh melalui pemikiran-pemikiran strategik, dan bukannya dengan kekuatan semata-mata.

4. Ia juga menekankan perihal pentingnya menggunakan kekuatan tentera secara fleksibel berdasarkan kepada kedudukan dan kondisi musuh dan tentera mereka sendiri. Juga ianya berkait rapat dengan topografi.

5. Buku ini juga melampirkan betapa pentingnya untuk ‘ kenal siapakah musuh dan juga kenal diri sendiri’ jika mahu menacapai kemenangan di dalam peperangan. Di dalam bahasa moden, ianya bermaksud sesorang mestilah bersikap realistik dan praktikal dan betul-betul faham tentang situasi sebelum mengambil sebarang keputusan untuk memulakan peperangan. Sangkaan-sangkaan dan tindakan yang yang mengikut perasaan sendiri serta melulu sudah pasti akan membawa kepada kekalahan.

6. Buku ini juga menyokong adanya tindakan untuk menggunakan kekuatan militer mestilah secara di luar jangkaan terhadap musuh dan mendapatkan mereka secara mengejut (surprise). Ia menekankan bahawa apabila membuat serangan, lakukannya dengan kekuatan yang sepenuhnya ibarat seekor singa lapar dan apabila mahu menamatkan peperangan, tamatkan dengan tiba-tiba ibarat sinaran pancaran kilat.

Kiriman: brontosaurus_82 - 22.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN