Benturan Dua Budaya
Dalam Pembangunan Sains Dan Teknologi Di Malaysia (Bhgn 2)

Benturan Dua Budaya Dalam Pembangunan Sains Dan Teknologi Di Malaysia
Oleh Shaharir Mohamad Zain
Universiti Kebangsaan Malaysia

(Bahagian Pertama)

...Sambungan...

BAHASA INGGERIS DAN BAHASA PENGHANTAR PENDIDIKAN

Keperluan terhadap bahasa Inggeris memang diakui benar kerana sumber ilmu sekarang, antaranya, memang dalam bahasa Inggeris. Malah pelajar-pelajar universiti kita sekarang ini, seperti di mana-mana jua pun, sekiranya mahu cemerlang, haruslah merujuk kepada buku-buku ilmu dalam bahasa asing. Bagi para pelajar kita, mereka perlulah merujuk kepada buku-buku dalam bidang pengajian mereka yang lebih daripada 90% adalah dalam bahasa Inggeris. Hal ini berlaku bukan saja dalam bidang S & T, tetapi dalam bidang sastera (kemanusiaan dan sains sosial) juga.

Oleh sebab itulah penguasaan bahasa Inggeris di setiap universiti memang ditekankan menerusi pelbagai cara yang difikirkan perlu tetapi tidaklah sampai menukar dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar pengajian sesuatu bidang, kecuali pengajian bahasa Inggeris itu sendiri.

Cara ini sebenarnya dilakukan oleh setiap negara maju yang sistem pendidikannya adalah dalam bahasa kebangsaan masing-masing seperti negara-negara G-7, negara-negara di Eropah dan negara-negara yang berada di pinggir persaingan  dengan negara-negara maju ini seperti Korea, dan negara-negara yang semakin menakutkan dunia Barat seperti Cina, Thailand, dan lain-lain lagi (termasuk Malaysia). Sementara itu hampir semua negara dalam Dunia Ketiga (negara mundur) memang menggunakan bahasa asing (bahasa penjajahnya) sebagai bahasa penghantar dalam sistem pendidikannya. Jika benar bahawa bahasa Inggeris saja yang menjadi penentu mutu pendidikan dan tahap kemajuan (S & T ) sesebuah negara , maka tentunya negara-negara yang lebih maju daripada kita, dan yang ingin mempercepatkan kadar kemajuannya, tidak  meneruskan sistem pendidikan yang berperantaraan bahasa kebangsaan masing-masing.

KEPERLUAN TERJEMAHAN

Antara isu yang timbul daripada kekurangan buku dalam bahasa Melayu, sehingga pelajar kita terpaksa merujuk kepada buku-buku yang lebih daripada 90% dalam bahasa Inggeris, ialah isu yang terbit daripada rasa ponyah (cepat melenting). Mereka yang pongah ini berpendapat bahawa jika demikian halnya, lebih baik saja kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar S & T kerana kita tidak mungkin dapat melakukan kerja terjemahan dengan cepat. Terjemahan yang ada pada hari ini ialah S & T sepuluh tahun yang lalu.

Banyak andaian yang tidak tepat yang tersirat dalam pandangan pongah ini. Pertama, andaiannya ialah pelajar dalam aliran Melayu selama ini tidak dapat memahami buku-buku S & T dalam bahasa Inggeris , semata-mata berasaskan tahap daya komunikasi lisan mereka dalam bahasa Inggeris. Kedua, terjemahan tidak dilakukan dengan pilihan buku-buku yang mutakhir, dan prosesnya secara tabii lambat. Ketiga, usaha penterjemahan telah hebat dilakukan tetapi terbukti gagal kerana kosnya mahal, penterjemah tidak cukup, dan sebagainya. Keempat, buku terjemahan berguna hanya untuk pelajar bidang yang berkenaan saja.

Hakikat yang sebenarnya ialah bahawa pelajar dalam aliran Melayu, dengan tahap penguasaan membaca bahasa Inggeris sekarang, rata-rata mampu menimba ilmu mutakhir yang tertulis dalam bahasa Inggeris. Apatah lagi para pensyarah  pun sudah dwibahasa pula, walaupun dahulunya mereka daripada aliran Melayu. Saban hari mereka ini melakukan terjemahan untuk rujukan , kuliah, penyelidikan, karangan, perbahasan, dan sebagainya. Jika prasarana penerbitan di universiti-universiti dapat ditingkatkan, Universiti Kebangsaan saja akan dapat menerbitkan ratusan buah-buku terjemahan (dan karya asli atau adaptasi) yang diperlukan itu. Tambahan pula, jika insentifnya cukup baik, seperti yang berlaku bagi buku-buku peringkat  sekolah, semua pihak akan bergiat dalam bidang terjemahan.

Dengan tahap kemampuan para pensyarah untuk menimba ilmu dalam bahasa Inggeris, dan dengan tahap penguasaan bahasa Melayu yang ada pada mereka, kos terjemahan sebenarnya jauh lebih murah daripada kos mengubah sistem pendidikan sekarang daripada sistem aliran berbahasa Melayu kepada aliran berbahasa Inggeris. Kos mengubah sistem aliran berbahasa Melayu kepada aliran berbahasa Inggeris jauh lebih mahal bukan saja kerana dengan penukaran itu kita kehilangan maruah dan identiti bangsa dan negara, tetapi juga kerana sistem aliran berbahasa Inggeris hanya akan berhasil melahirkan hanya segelintir  anggota masyarakat yang mampu menguasai bahasa Inggeris pada tahap yang begitu tinggi. Hal ini telah terbukti pada zaman sebelum wujudnya dasar pendidikan kebangsaan di negara-negara yang sistem pendidikannya berpengantar bahasa penjajahnya.

Buku-buku karya asli atau adaptasi dan terjemahan dapat dihasilkan dengan banyaknya dan lebih baik lagi jika terdapat sejumlah besar penulis dan penterjemah yang benar-benar menguasai bahasa Melayu sebagai hasil daripada sistem pendidikan kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah-sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Dengan buku-buku berbahasa Melayu semakin banyak dan jumlah pensyarah yang menguasai bahasa Melayu pun bertambah besar, maka ilmu daripada bahasa-bahasa asing dapat disebarkan dengan lebih merata sebagaimana bahasa kebangsaannya seperti Jepun, Korea, Cina, dan lain-lain.

Satu perkara yang terlepas dari pandangan beberapa banyak pihak tentang isu terjemahan ialah betapa terjemahan sebenarnya membantu mempercepat pembangunan ilmu. Seseorang yang menterjemahkan sesebuah karya (secara tulisan atau lisan) sebenarnya akan meningkatkan tahap pemahamannya, pentafsirannya, dan penghayatannya tentang ilmu yang diterjemahkan itu. Seterusnya, daya dan mutu penterjemahan itu akan meningkat. Hasil terjemahannya itu (secara tulisan atau lisan ) dapat pula dinikmati oleh masyarakatnya dengan lebih luas dan merata. Pendeknya, terjemahanlah (secara tulisan atau lisan) yang menjadi mangkin kepada pemindahan S & T serta pembudayaan ilmu yang meluas dan merata, yang menjadi syarat bagi pembangunan ilmu sesuatu bangsa. Pendidikan yang berperantaraan bahasa Melayu (atau bahasa kebangsaan lain bagi negara-negara lain), terutamanya bagi negara-negara bangsa yang belum mempunyai tradisi ilmu berkenaan, memang membabitkan penterjemahan dengan tabiinya.

Tidak menghairankan jika negara-negara yang telah maju, yang sedang maju, atau yang menuju kemajuan dengan pesatnya mempunyai budaya terjemahan yang tinggi secara tabiinya menerusi sistem pendidikan kebangsaannya. Itali membina S & T negaranya sejak kurun ke-10 M menerusi bahasanya (bahasa Latin) sedangkan bahasa S & T dewasa itu dalam bahasa Arab. Seterusnya negara-negara lain di Eropah tidak memajukan S & T masing-masing menerusi bahasa Arab atau Latin, dan Jepun (walaupun pada mulanya teruk dikalahkan oleh orang yang berbudaya Inggeris ) tidak membina S & T –nya dalam bahasa Inggeris. Benturan budaya berbahasa dalam negara-negara ini pada masa dahulu dapatlah dijangka sehebat yang sedang kita alami sekarang.

PENGUASAAN BAHASA ATAU PENGUASAAN ILMU?

Persoalan yang lebih asas lagi bagi negara kita apabila kita menumpukan perhatian kepada bumiputera ialah prestasi dalam mata pelajaran matematik, kerana mata pelajaran inilah yang menjadi penunjuk kemajuan atau potensi pembangunan S & T di peringkat sekolah lagi. Masalah inilah yang lebih asas daripada masalah bahasa. Dalam sistem penndidikan berperantaraan bahasa Melayu pun mereka begitu jauh ketinggalan berbanding dengan bukan bumiputera. (Lihat statistiknya di bawah dalam Jadual 2.)

JADUAL 2: PRESTASI PELAJAR SEKOLAH (UPSR) DALAM MATEMATIK

% gred A dan B
 1991  1992
Bumiputera Cina  Bumiputera Cina
Matematik 27% 64.8% 25.4% 61.5%
Sumber: Ubahsuai Statistik Kementerian Pendidikan

Daripada prestasi pelajar yang dipaparkan melalui Jadual 2, tidak menghairankan jika kita menghadapi masalah kekurangan atau ketiadaan pelajar bumiputera dalam bidang S & T di institusi-institusi pengajian tinggi. Isu ini bertambah runcing lagi dengan tarikan kerjaya dalam bidang pengurusan , perniagaan, undang-undang, dan perakaunan dewasa ini.

Tidak menghairankan juga bahawa prestasi di institusi pengajian tinggi pun menampilkan trend yang serupa, walaupun beberapa tahun kebelakangan ini, dengan adanya pelbagai program khas ( kebanyakannya berupa program motivasi dan kesedaran) nampaknya ada sedikit perubahan. (Setiap tahun ada siswazah bumiputera S & T yang mendapat kelas 1: Tahun 1992 terdapat 6 orang, tahun 1991 ada 4 orang, tahun 1990 ada 3 orang.)

Persoalannya, adakah dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar S & T, kita dapat mengatasi masalah ini lebih daripada usaha yang telah dan sedang kita lakukan sehingga kini menerusi pendidikan yang berperantaraan bahasa Melayu?

BENARKAH APABILA BANGSA MAJU, BAHASANYA PUN TURUT MAJU?

Ada pula teori yang menegaskan bahawa kemajuan sesuatu bahasa didahului oleh kemajuan ekonomi bangsa berkenaan menerusi bahasa-bahasa lain yang telah maju. Hal yang demikian ini bermakna bahawa bagi bahasa Melayu, orang Melayu mestilah terlebih dahulu mencapai kemajuan ekonominya dengan tidak mementingkan bahasanya dahulu. Pandangan yang berasaskan perancangan matlamat tunggal ini sukar diterima. Malah bagi sesetengah pihak lain yang prihatin terhadap pembinaan bangsa atau negara , atau yang melihat sejarah tamadun bangsa dan bahasa yang telah dan sedang maju, pandangan ekamatra (unidimensi) ini ternyata meleset sama sekali.

Amatlah sukar ditolak, kalaupun tidak mustahil, bahawa kemajuan bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan; perancangan pelbagai matlamat lebih menjamin kejayaan kita. Negara-negara maju dan sedang maju yang mengatasi kita sekarang pun memang menangani masalah  ini secara bersepadu. Bahasa dan bangsa dibina secara serentak, menerusi sistem pendidikan kebangsaan masing-masing dan pembinaan ekonomi (perdagangan).
Jika kita melihat kumpulan bangsa Melayu yang berjaya sekarang ini pun (yang di sebut-sebut sebagai “Melayu Baru” atau “Melayu Korporat”), jelas kelihatan bahawa nasib bahasa Melayu tidak akan berlaku sesuai dengan teori “bangsa maju maka bahasanya pun maju”. Tambahan pula, jika bahasa Melayu (atau bahasa apa pun) tidak digunakan dalam S & T dalam beberapa waktu saja, maka tentu sekali bahasa itu akan terperosok di penjuru sehingga tiada siapa yang akan mempedulikannya lagi dan  akan melalui proses pereputan lalu akhirnya akan lenyap saja, atau menjadi bahasa pasar lambak golongan daif saja.

Sesungguhnya, sehingga kini, walaupun sistem pendidikan kebangsaan sudah sekian lama berjalan, bahasa Melayu masih terhad penggunaannya, iaitu dalam bilik-bilik darjah atau kuliah, dalam persidangan parlimen, dan dalam dunia penyanyi pop saja. Dalam dunia korporat atau perniagaan, bahasa Melayu belum digunakan lagi. Malah dalam sektor awam pun, terutamanya akhir-akhir ini, penggunaan bahasa Melayu semakin terhakis. Mesyuarat yang diadakan pada peringkat tinggi-tinggi hanya minitnya saja yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Dalam keadaan sebegini, bagaimanakah dan siapakah yang akan memajukan bahasa Melayu? Jika kerajaan membenarkan trend ini  berterusan dan yang lebih parah lagi, membenarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa penghantar dalam S & T dalam bidang pendidikan, iaitu langkah yang memberikan isyarat atau simbol tentang kerendahan bahasa Melayu, maka terkuburlah satu medan penting bagi penyuburan bahasa Melayu, iaitu medan pendidikan, dan tinggallah (entah berapa lama lagi) dua tempat bahasa Melayu digunakan, iaitu di Parlimen dan dalam seni kata lagu-lagu Melayu. Medan-medan ini amat rapuh, hanya menunggu masa saja untuk rebah!

SWASTA SEBAGAI PENENTU DASAR BAHASA

Sebelum pertengahan tahun 1980-an kita bergerak atas andaian bahawa sektor awam dapat menjadi agen perubahan, khususnya perubahan nilai masyarakat terhadap bahasa Melayu. Kita telah menyaksikan andaian ini meleset sama sekali, malah status bahasa Melayu di sektor awam kita pun semakin terhakis dilanda kuasa dari swasta yang semakin agresif mengetengahkan budaya berbahasa Inggerisnya yang tidak pernah berubah itu.

Sehingga kini, kerajaan nampaknya telah mengalah kepada tuntutan pihak swasta termasuk tentang perkara-perkara yang berhubung dengan nasib bangsa pada jangka panjang, demi mempertahankan nilai-nilai material  dari pihak swasta. Soal penubuhan universiti swasta yang membelakangkan Akta Pendidikan Negara yang pada satu masa dahulu diseret ke mahkamah telah dilupakan.

Sesungguhnya kita harus mengakui keperluan program-program kembar dan penubuhan kolej-kolej atau pusat-pusat pengajian tinggi swasta, tetapi pada masa yang sama kerajaan perlu menentukan garis-garis yang tegas dalam soal yang sejajar dengan dasar pendidikan negara. Umpamanya, adakah pihak swasta tidak perlu memberikan perhatian kepada nasib bumiputera dalam program-program pendidikannya ? Adakah pihak swasta terus dibiarkan mengesampingkan bahasa Melayu untuk hanya kaki tangan buruh saja dalam urusan kolej-kolej swasta mereka itu? Inilah antara isu yang perlu ditangani dengan berani oleh kerajaan. Kita tidak boleh membiarkan pihak swasta merasuk jiwa kita dan jiwa pembuat dasar pembangunan negara, sehingga akhirnya swastalah yang menentukan dasar pembangunan negara mengikut selera materialnya saja.

Persoalan yang ditimbulkan di atas memang rumit tetapi usaha menyelesaikannya dengan penuh hikmah amat diperlukan. Umpamanya, kerajaan boleh memberikan insentif-insentif yang tertentu kepada pihak swasta yang mengambil langkah-langkah positif ke arah meleraikan isu-isu itu. Kerajaan boleh dan patut memastikan penyertaan 51% bumiputera atau kerajaan dalam urusan pendidikan swasta dari semua aspeknya – modal, pekerja, pelajar, dan yang lebih penting lagi penggunaan bahasa Melayu. Universiti tempatan sekarang mampu memberikan bantuan dalam pencapaian matlamat ini.

Ada pihak yang mendakwa bahawa jika soal 51% penyertaan bumiputera atau  kerajaan seperti yang disebut di atas dilaksanakan, maka peluang pihak swasta memperoleh pelajar dari seberang laut akan malap. Andaian ini satu andaian yang miopik dan berkiblat kepada sumber pelajar dari negara-negara yang berbahasa Inggeris saja. Pada hakikatnya, dan yang sebenarnya dialami  oleh universiti-universiti tempatan selama ini ialah bilangan pelajar yang besar datangnya dari Nusantara (dunia berbahasa Melayu) dan Dunia Ketiga saja. Itu pun kita tidak menjangka bilangannya lebih daripada 20% daripada jumlah pelajar semuanya. Tambahan pula rakyat Malaysia sendiri tidak akan bersetuju jika sesebuah kolej swasta mempunyai peratusan pelajar asing yang lebih besar daripada angka ini, terutamanya dalam bidang-bidang ikhtisas dan S & T.

Para pelajar dari dunia yang berbahasa Inggeris yang ingin belajar di negara ini sebenarnya sekali gus berminat untuk menguasai bahasa Melayu. Pendeknya, potensi kehadiran para pelajar seberang laut ini sebenarnya tidaklah menjadi penentu besar kepada kejayaan sesebuah kolej swasta, sebesar yang digembar-gemburkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan itu. Walau apa pun , pelajar tempatanlah yang membanjiri kolej-kolej swasta ini, oleh itu mengapakah, untuk kepentingan minoriti bangsa asing ini, kita menggunakan bahasa Inggeris? Lagipun, seperti yang berlaku di UKM, mereka yang dari seberang laut boleh saja diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu kerana tahap bahasa Inggeris mereka pun rata-rata sama dengan pelajar tempatan juga. Tambahan lagi, jika kita benar-benar berorientasikan pasaran untuk “menjual komoditi pendidikan kita”, logiknya, kita harus menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar pendidikan kita oleh sebab kebangkitan Republik Rakyat Cina sekarang di rantau antarabangsa.

KESIMPULAN

Tidak syak lagi bahawa pihak swasta kita sebenarnya sengaja menggunakan slogan “pengkomersilan pendidikan”, ”persaingan antarabangsa” , “pengantarabangsaan pendidikan”, dan sebagainya bagi mengabsahkan idaman mereka mengekalkan budaya berbahasa Inggeris di samping mendapat keuntungan besar daripada pelajar-pelajar tempatan yang terdiri daripada golongan berada. Kerajaan tidak harus tunduk kepada impian mereka ini sehingga sanggup mengubah dasar pendidikan kebangsaan (menukar akta-akta yang relevan) yang ada sekarang. Kebenaran untuk mereka menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu dalam kolej-kolej tajaan mereka mestilah selaras dengan dasar kerajaan yang membenarkan universiti-universiti tempatan menjalankan beberapa kursus tertentu dalam bahasa asing, iaitu kebenaran itu bersifat sementara saja, dan tidak menjejaskan kedominasian bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, di samping tertakluk kepada  beberapa dasar utama yang disyorkan sebelum ini dalam seksyen ini

Oleh Shaharir Mohamad Zain
Universiti Kebangsaan Malaysia

Bibliografi
Faridah Karim.1992. Laporan Prestasi siswazah UKM. Bahagian Akademik UKM.
Huntington, S.1993. “The Clash of Civilizations” dlm. Foreign Affairs,Summer hlm. 22-49.
Mulkay, M.1992. Sains dan Sosiologi Ilmu Pengetahuan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nasher, P. dan Kilpatrick, J. (ed.) 1990. Mathematics and Cognition. Cambridge University Press.
Risalah Pusat Penyelidikan Strategi Malaysia (MRSC). Tidak diterbitkan. 1994

(Makalah ini adalah sebahagian daripada isi kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Bahasa Melayu Pembina Budaya Sains dan Teknologi, anjuran Fakulti Sains Sumber Alam (FSSA), Sabah pada 5 Februari 1994. Makalah ini merupakan suntingan semula kepada makalah yang terbit dalam Jurnal Dewan Bahasa, Disember 1994. Dipetik daripada buku Manifesto Budaya,oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 203-223)

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 12.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN