Isu Bahasa Dan Pembentukan Bangsa

Mulai hari ini, Laman M@RHAEN akan menerbitkan semula beberapa penulisan/kertas kerja/kertas persidangan oleh beberapa orang penulis, yang menyentuh mengenai 'bahasa' khususnya bahasa Melayu. Siri pertama (daripada tujuh kesemuanya) bertajuk 'Isu Bahasa Dan Pembentukan Bangsa' adalah merupakan Kertas Persidangan yang ditulis oleh Ahmat Adam (Universiti Malaysia Sabah). Himpunan penulisan ini telah dikirimkan kepada Laman M@RHAEN oleh Sdra Nazmat pada awal Januari lalu.

ISU BAHASA DAN PEMBENTUKAN BANGSA
Oleh Ahmat Adam - Universiti Malaysia Sabah

PENDAHULUAN

Konflik etnik yang serius berulang kali berlaku dalam arus sejarah Semenanjung Malaysia sejak zaman kolonial lagi. Yang paling besar dan yang merupakan titik hitam dalam sejarah pembentukan bangsa di Malaysia ialah peristiwa 13 Mei pada tahun 1969. Peristiwa yang ditandai oleh rusuhan Melayu-Cina itu telah meledak apabila parti-parti pembangkang yang asasnya Cina (kerana kepemimpinan dan pendukungnya hampir keseluruhannya daripada kaum Cina) telah memenangi kerusi yang agak banyak bagi Dewan Perundangan Negeri di dua buah negeri yang diterajui oleh raja-raja Melayu. Yang mencetuskan rusuhan ialah momokan dan penghinaan yang dilakukan oleh para penyokong parti pembangkang terhadap orang Melayu. <!--more-->

Sekalipun faktor ekonomi tampak penting dalam analisis para sarjana tentang rusuhan kaum tahun 1969 itu, namun faktor kebudayaan, yang di dalamnya terangkum persoalan bahasa kebangsaan, kurang diberi perhatian, padahal faktor ini, khasnya faktor bahasa Melayu, merupakan masalah yang belum selesai, yang saya kira akan menjadi isu yang akan meluaskan konflik ras dan menggagalkan pembentukan suatu identiti kebangsaan dan seterusnya menggagalkan pewujudan suatu bangsa yang berwajah Malaysia.

ISU BAHASA

Mengapakah isu bahasa ini penting dan perlu diselesaikan? Orang politik di Malaysia akan mengatakan bahawa masalah ini sudah selesai. Walaupun Akta Pendidikan dan dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah-sekolah dan sekolah rendah hingga ke universiti telah dilaksanakan, isu bahasa ini sebenarnya belum lagi selesai. Sekalipun bahasa Melayu itu sudah diperundang-undangkan sebagai bahasa kebangsaan dengan nama bahasa Melayu, namun pada praktiknya martabat atau status bahasa itu masih rendah; bahasa itu kalah oleh bahasa Inggeris; bahkan pada tempat-tempat tertentu kalah oleh bahasa Mandarin juga. Sekarang ini seseorang siswazah universiti belum tentu dapat diterima bekerja di firma-firma perdagangan atau syarikat-syarikat yang dimiliki oleh swasta jika dia tidak mempunyai kelulusan ataupun penguasaan bahasa Inggeris. Bahkan orang peribumi yang tidak mengetahui bahasa Mandarin tidak mungkin diterima bekerja di firma-firma Cina yang sangat lazim mengambil pekerja daripada kelompok etniknya sendiri atau daripada golongan keluarganya sendiri.

Sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia masih lagi dalam proses membentuk keperibadiannya sebagai suatu bangsa. Masyarakat Malaysia ialah suatu masyarakat yang terbahagi-bahagi. Ini jelas dibayangkan oleh hakikat wujudnya parti-parti politik yang muncul atas dasar etnik. Walaupun usaha dan strategi dilaksanakan untuk mempertemukan kelompok-kelompok etnik terbesar di Malaysia pada tingkat politik nasional, etnisiti sebagai suatu gejala sosial, politik, dan ekonomi dalam masyarakat Malaysia masih suatu hal yang nyata.

Penduduk Malaysia pada hari ini terdiri daripada kira-kira hampir 19 juta orang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Bajau, Melanau, dan beberapa suku bangsa peribumi yang lain. Kebanyakannya terdapat di Sabah dan Sarawak. Masyarakat Malaysia bukan saja berbilang bangsa, tetapi juga berbilang budaya, berbilang bahasa, dan berbilang agama. Penduduk peribuminya – iaitu Melayu, orang asli (nama umum bagi kaum-kaum Semang, Senoi, Jakun, dan lain-lain), dan kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak – merangkumi kira-kira 61 peratus daripada jumlah penduduk; sementara itu sekitar 82 peratus penduduk mendiami kawasan Semenanjung Tanah Melayu, 10 peratus tinggal di Sarawak, dan 8 peratus yang lainnya di Sabah. Pertambahan penduduk ternyata tinggi, iaitu kira-kira 2.8 peratus setiap tahun. Angka bagi penduduk Cina pula ialah sekitar 30 peratus manakala angka bagi penduduk India ialah 9 peratus.

Kemajmukan masyarakat di Malaysia menyebabkan usaha-usaha ke arah pembentukan identiti nasional dan bangsa yang dihasratkan, iaitu bangsa Malaysia, menghadapi pelbagai kesukaran. Integrasi nasional seperti yang sudah ketara di Indonesia masih merupakan persoalan yang besar di Malaysia. Etnisisme meratai semua ciri kehidupan seharian dan kehidupan politik. Semua keputusan, baik yang bersifat pentadbiran mahupun yang bersifat politik, harus dicapai melalui pertimbangan mengikut faktor ras.

MASALAH PEMBENTUKAN BANGSA MALAYSIA

Masalah pembentukan suatu bangsa Malaysia berpunca daripada hakikat bahawa sejarah pergerakan kebangsaan yang tulen bersifat nasional amat pendek, jika dibandingkan dengan pergerakan kebangsaan  di Indonesia. Pada waktu kemerdekaan diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, kelompok etnik terbesar, iaitu Melayu, Cina, dan India ialah komuniti yang terpisah, yang hidup dalam suatu masyarakat majmuk seperti yang dihujahkan oleh Furnivall. Mereka itu mempunyai bayangan “bangsa” mereka sendiri. Masyarakat yang dikhayalkan sebagai wajah “bangsa” itu berbeza-beza mengikut latar belakang etnik mereka. Oleh itu mereka tidak memiliki pengalaman historis yang sama dan tidak mempunyai suatu image of common destiny. Yang wujud menjelang tahun 1957 hanya suatu kebulatan tekad pada pihak elit politik Melayu dan para pemimpin bukan Melayu (Cina dan India) untuk meraih kemerdekaan tanpa benar-benar mempersiapkan asas-asas kebangsaan yang kuat yang berlandaskan suatu cita-cita kemerdekaan, falsafah, dan ideologi nasional yang sama sebagai suatu bangsa.

Ketika kemerdekaan diperjuangkan sekitar awal 50-an, parti Melayu, UMNO (United Malays National Organisation), menyedari bahawa orang Melayu harus bekerja sama dengan parti Cina, MCA (Malayan Chinese Association), jika ingin mencapai kemerdekaan. Sesungguhnya pada tahun 1952 Inggeris menjadikan dasar kolonialnya untuk memberikan dorongan kepada organisasi yang bersifat multietnik berkembang. Inggeris menunjukkan sikap bahawa kemerdekaan akan diberikan hanya kepada Malaya yang multietnik sifatnya. Keadaan inilah yang melahirkan parti Alliance atau Perikatan. Kelahiran parti ini pun didorong oleh hakikat bahawa keadaan demografi di Malaya pada waktu itu jelas menunjukkan kawasan kota sebagai kawasan Cina dan kawasan desa sebagai kawasan Melayu. Perlunya kerusi di kota dimenangi menyebabkan UMNO terpaksa sanggup menerima konsep Alliance atau “Perikatan” itu. Selain itu, cabaran yang datang dari IMP (Independence of Malaya Party) yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan yang juga bersifat multietnik telah menggalakkan penubuhan parti Perikatan itu.

Kemenangan UMNO-MCA ini dalam pilihan raya majlis perbandaran telah meyakinkan beberapa banyak pihak terhadap potensi konsep ini dalam politik di Malaya dan dengan itu pada awal tahun 1953 parti Perikatan secara rasmi didirikan oleh Tunku Abdul Rahman. Dasar yang menjadi pegangan parti ini, dan yang hingga kini masih terus diterima oleh parti yang mirip supra-Alliance, iaitu “Barisan Nasional”, ialah “tawar-menawar inter-etnik”.

Dasar ini bertolak atas andaian bahawa ketika parti Perikatan memperjuangkan kemerdekaan Malaya pada tahun 1950-an dahulu, di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA telah wujud semacam kontrak yang tidak bertulis antara kelompok etnik. Perjanjian lisan ini dikatakan mengiktiraf bidang-bidang tertentu yang dikuasai oleh Melayu dan Cina. Orang Cina, kononnya, oleh sebab lebih banyak dalam berdagangan, harus diberi keunggulan dalam bidang ini. Bangsa Melayu pula harus lebih berkuasa dalam bidang pemerintahan. Bangsa Cina dikatakan akan melepaskan tuntutannya menjadikan multi-linguilisme sebagai dasar rasmi tetapi pemimpin-pemimpin UMNO memperlihatkan tolak ansurnya dengan mengizinkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil dalam keadaan tidak rasmi. Perlembagaan Malaya (dan kini Malaysia) meletakkan tempat yang khas bagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, Islam sebagai agama rasmi, dan hak istimewa kepada orang Melayu, dari segi pemberian biasiswa, pengambilan anggota tentera, dan jawatan pemerintah. Syarat-syarat implisit daripada ‘kontrak’ ini pula ialah bahawa kewarganegaraan diberikan kepada orang Cina dan India dan bahawa orang Melayu akan diberi dorongan dan kemudahan untuk ikut serta dalam sektor perdagangan.

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DIPERSOALKAN

Walaupun dikatakan bahawa kontrak tidak bertulis itu wujud, namun selepas kemerdekaan tercapai pada tahun 1957, isu tentang hak istimewa orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu mula dipersoalkan dan bahkan ditentang secara terbuka oleh orang-orang Cina. Ini berlaku dengan jelas pada setiap kali pilihan raya diadakan. Ketegangan ras bangkit pada tahun 1959 atas isu bahasa dan juga pada tahun 1964, apabila parti PAP ( People’s Action Party) Lee Kuan Yew mengajukan konsep Malaysian Malaysia. Kemudian, dalam tahun 1966 dan 1967, sekali lagi orang Cina  mencabar isu bahasa. Begitu kuat tentangan terhadap bahasa Melayu dan desakan meminta agar bahasa Cina dan Tamil dijadikan sebagai bahasa rasmi, dan digabungkan dengan masalah ekonomi orang Melayu serta bertambahnya kelompok setinggan dari desa di celah-celah kota Kuala Lumpur, telah membakar emosi orang Melayu sehingga meledakkan rusuhan kaum pada tahun 1969 itu.

Peristiwa 13 Mei 1969 penting dalam sejarah baru Malaysia. Peristiwa ini menyedarkan pemimpin Melayu bahawa orang Melayu kini merasakan hak-hak mereka sebagai peribumi tercabar. Yang lebih penting, dasar kerajaan dalam usaha pembinaan bangsa Malaysia ketara gagal. Peristiwa itu akhirnya mendorong kerajaan untuk mengubah arah dasar negara yang berasaskan suatu ideologi yang baru dan dasar ekonomi yang baru yang diberi nama Dasar Ekonomi Baru (DEB). Melalui DEB kerajaan ingin  menyusun semula masyarakat Malaysia dengan tujuan membasmi kemiskinan semua bangsa, khasnya Melayu.

Untuk meredakan keadaan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1959, suatu Majlis Gerakan Negara (National Operations Council) di bawah Tun Abdul Razak telah mengambil alih pemerintahan. Pada bulan Ogos 1970, suatu pengisytiharan ideologi nasional, yang disebut Rukun Negara, telah dikeluarkan dengan mengatakan lima rukun, seperti Pancasila, untuk dijadikan asas keharmonian negara:

1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan

ISU-ISU SENSITIF

Dalam pada itu, kerajaan mengeluarkan larangan bagi sesiapa pun membangkitkan isu-isu yang sensitif, seperti soal hak istimewa kaum peribumi, isu bahasa kebangsaan, hak kewarganegaraan (orang bukan Melayu), dan kedaulatan raja Melayu. Untuk tujuan membasmi kemiskinan, kerajaan melancarkan DEB yang mempunyai sasaran 20 tahun dan tahun 1990 ialah tahun bagi dasar ekonomi itu berakhir. Matlamat asal DEB untuk membasmi kemiskinan dan membawa orang Melayu ikut serta dalam sektor perdagangan serta mengagihkan saham korporatnya sebanyak 30 peratus nampaknya tidak sepenuhnya tercapai; namun keberhasilan dasar itu tidak pula dapat dinafikan. Tetapi sayangnya perlaksanaan DEB telah meluaskan jurang polarisasi antara Melayu dengan Cina. Orang Cina memandang DEB sebagai satu lagi dasar kerajaan yang mengelompokkan warga negara Malaysia secara berasingan ke dalam kategori ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’. Kejengkelan mereka terhadap dasar kerajaan yang pro-bumiputera menyebabkan isu lama, iaitu bahasa dan kebudayaan, dipermainkan lagi. Oleh sebab soal bahasa kebangsaan tidak boleh diungkit lagi dengan larangan melalui Akta Hasutan, bangsa Cina kini mengulang sikap berkerasnya untuk mempertahankan benteng kebudayaan dan bahasa Cinanya.  Setelah gagal memperjuangkan penubuhan sebuah universiti swasta yang akan diurus oleh kaum Cina, sekolah-sekolah Cina menjadi kubu terakhir bagi bahasa, kebudayaan, dan cauvinisme Cina.

Pada bulan Ogos tahun 1987, ketika Universiti Teknologi Malaysia memberikan arahan kepada semua graduan lelaki yang akan menerima ijazah dalam upacara konvokesyen  supaya memakai songkok, dan yang wanitanya memakai tudung yang menutup kepala, mahasiswa dan mahasiswi Cina telah membangkang dan mencari sokongan daripada parti Cina, MCA. Pada bulan September tahun itu juga, Kementerian Pendidikan telah menaikkan pangkat 87 orang guru Cina yang tidak terdidik dalam bahasa Mandarin untuk memegang jawatan penolong kanan di beberapa sekolah Cina. Tindakan ini telah mendatangkan bangkangan daripada para pendidik Cina dan pemimpin masyarakat Cina yang lain. Walaupun kesemua guru itu orang Cina, namun para pemimpin Cina menganggap guru-guru yang tidak tahu akan bahasa Mandarin itu akan mengurangi identiti sekolah Cina, dan mereka kemudian mendesak agar pelantikan mereka ditarik kembali. Isu ini pun telah mendapat sokongan daripada parti Cina seperti MCA, Gerakan, dan DAP juga, walaupun secara ideologi mereka tidak sehaluan. Tekanan daripada 15 buah guild dan pertubuhan-pertubuhan Cina yang lain mendapat sokongan daripada keseluruhan masyarakat Cina sehingga mereka mengadakan rapat dalam suatu tunjuk perasaan oleh sebanyak 2000 orang Cina pada 11 Oktober 1987 di sebuah kelenteng di Kuala Lumpur. Melalui Jawatan Kuasa Tindakan Bersama yang didirikan, mereka telah menyampaikan suatu kata putus bahawa jika isu itu tidak diselesaikan dalam masa yang singkat mereka akan memboikot sekolah-sekolah Cina. Demonstrasi Cina itu mendorong perasaan jengkel daripada pemuda UMNO yang kemudian mengancam akan mengadakan tunjuk perasaan yang lebih besar lantaran membantah penyertaan MCA (rakan UMNO dalam Barisan Nasional).

Mujurlah ketegangan antara etnik akhirnya dapat ditenangkan oleh Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri, apabila beliau membentuk sebuah jawatan kuasa kabinet, yang di dalamnya duduk juga Menteri Pendidikan, untuk mencari jalan penyelesaian. Hasilnya, Jawatan Kuasa Tindakan Bersama orang Cina telah membatalkan boikot yang direncanakan. Namun demikian, 20 000 orang pelajar sekolah Cina, kebanyakannya di Pulau Pinang, tidak datang ke sekolah pada tarikh rancangan boikot itu.

TIDAK PERNAH MENGALAH

Golongan bukan peribumi tidak pernah mengalah dalam hasrat mereka hendak mengekalkan penggunaan bahasa dan kebudayaan mereka di tingkat yang rasmi. Pada tahun 1987 juga, mahasiswa India dan Cina di Fakulti Sastera di Universiti Malaya telah membangkang ketetapan senat universiti tersebut yang menghendaki beberapa kursus elektif dalam jurusan pengajian Inggeris, India, dan Cina diajarkan dalam bahasa Melayu. Mahasiswa yang membangkang itu, yang mudah menerima sokongan daripada parti Cina dan India (baik dalam barisan pembangkang mahupun kerajaan) dan pemimpin-pemimpin bukan politik orang bukan peribumi, membantah arahan senat Universiti Malaya itu dengan alasan bahawa hal itu akan mengancam hak mahasiswa bukan Melayu untuk mempelajari kesusasteraan, kebudayaan, dan bahasa mereka.

Tampak jelas bahawa setelah 33 tahun merdeka, Malaysia masih belum dapat menyelesaikan masalah penyatuan bangsa dan pembentukan identitinya yang berlandaskan faktor-faktor sejarah alam Melayu. Kegagalan usaha ini menjadi ancaman utama pada kestabilan masyarakat dan negara Malaysia. Jika sejak tahun 1969 kekacauan etnik belum lagi sampai mengulang tragedi 13 Mei tahun itu, maka ini adalah kerana kekuatan ekonomi negara Malaysia dan ini sajalah faktor yang mengikat perpaduan yang wujud sekarang ini.

CARA YANG AGAK LIHAI

Dalam situasi ekonomi Malaysia kini mencapai tingkat yang lebih lega, dengan kadar pertumbuhannya mencapai angka 7.5 peratus pada tahun 1990, dan dalam keadaan isu sensitif seperti bahasa kebangsaan tidak boleh diperdebatkan lagi, satu cara maneuer yang agak lihai nampaknya dimanfaatkan oleh kaum bukan peribumi dengan mempromosikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang maha penting bagi rakyat Malaysia. Sehingga kini, akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia amat sering memuatkan surat-surat daripada pembaca Cina dan India yang menekankan betapa pentingnya bahasa Inggeris itu dipupuk kemajuannya di Malaysia. Atas alasan keilmuan dan pemodenan juga, mereka memperjuangkan bahasa Inggeris itu tanpa menyentuh dan secara langsung mengambil peranan untuk memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan alat pemodenan bangsa.

Pendewaan bahasa Inggeris sehingga mengancam kedudukan bahasa Melayu, yang sudah berlaku beberapa tahun terakhir ini, tampaknya sudah menular di kalangan rakyat kota yang latar belakang sosialnya rata-rata menengah rendah dan atas. Di pasar-pasar raya dan di restoran-restoran makanan segera, para petugas hanya akan berbahasa Inggeris kepada pelanggan mereka walaupun mereka sama-sama orang Malaysia. Kalangan elit Melayu yang berpendidikan Barat pun nampaknya mempunyai sikap mendewa-dewakan bahasa Inggeris. Mereka amat prihatin mengenai kemerosotan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, tetapi tidak peduli akan keadaan bahasa Melayu, padahal, jika dilihat penggunaannya dalam akhbar Melayu yang amat kurang memperhatikan soal tata bahasa para wartawannya, ternyata keadaan bahasa Melayu merupakan masalah yang membimbangkan.

ANCAMAN BAHASA INGGERIS

Ancaman bahasa Inggeris terhadap bahasa Melayu lebih mengkhuatirkan lagi dewasa ini apabila muncul institusi pendidikan yang menawarkan kursus yang bersama-sama dianjurkan oleh universiti luar negeri bagi peringkat ijazah sarjana muda. Sistem universiti kembar (twinning) yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantarnya jelas menyalahi maksud Akta Pendidikan 1967 dan dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar yang tunggal di semua institusi pengajian tinggi sejak tahun 1970.

Pernyataan ini tidak bertujuan untuk meremehkan peri pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa penyaluran ilmu-ilmu. Pernyataan ini tidak juga bermaksud untuk menyalahkan dasar ingin membentuk suatu masyarakat Malaysia yang menguasai dua bahasa. Bagi penulis, demi kepentingan persatuan bangsa Malaysia, bahasa pertama haruslah bahasa Melayu, dan bahasa kedua pula bahasa Inggeris. Bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa daerah dan bahasa suku, harus dianggap sebagai bahasa tambahan. Sebagai sebuah negara kecil yang penduduknya pun tidak besar, Malaysia harus mencontohi negara-negara lain seperti Belanda, Jerman, dan negara-negara Skandinavia. Di negara-negara itu bahasa Inggeris ialah bahasa kedua bagi kebanyakan orang. Tetapi, walaupun bahasa Inggeris itu luas digunakan oleh rakyat negara-negara itu apabila berhubungan dengan warga antarabangsa yang lain, namun bahasa kebangsaannya tetap menjadi alat komunikasi utama antara rakyat sesama sendiri.

BAHASA INGGERIS MENGATASI BAHASA KEBANGSAAN

Dalam situasi yang ada di Malaysia kini, nampaknya bahasa Inggeris itu mengatasi bahasa kebangsaan, baik dari segi martabatnya mahupun dari segi nilai ekonominya. Bahasa Melayu, hingga kini (sesudah 31 tahun Malaysia terbentuk), nampaknya belum berhasil menjadi wahana modenisasi kebudayaan, kerana pihak-pihak tertentu, termasuk kalangan elit Melayu juga, masih meragui kemampuan bahasa itu sebagai pembina ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Politik etnik yang sangat berleluasa mempersukarkan niat kerajaan dan orang Melayu umumnya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana pembinaan bangsa dan pengikat kesatuan bangsa.

Yang lebih mencemaskan lagi ialah betapa lemahnya penguasaan bahasa Melayu di kalangan elit Melayu itu sendiri. Ini tampak jelas apabila mereka diwawancarakan di radio dan di televisyen. Mereka ini bukan saja terdiri daripada orang politik tetapi juga para pegawai yang memegang jawatan penting dalam pemerintahan. Kurangnya semangat kebangsaan di kalangan masyarakat Malaysia dan perasaan terasing akibat polarisasi ras antara peribumi dengan bukan peribumi merupakan rintangan juga bagi bahasa Melayu untuk maju sebagai bahasa persatuan. Selain itu, rasa rendah diri di kalangan orang Melayu yang terpelajar menyebabkan timbulnya anggapan bahawa sesuatu ide yang canggih tidak dapat diungkapkan dalam bahasa kebangsaan, padahal apabila mereka ini berbicara dalam bahasa Inggeris, tata bahasanya pun bersimpang-siur. Di kalangan mereka yang terdidik pun ternyata betapa kurang mampunya mereka melahirkan fikiran secara teratur dalam bahasa Melayu yang sistematis dan logis.

MASA YANG MENCABAR BAGI BAHASA MELAYU

Dasawarsa 1990-an ialah suatu jangka masa yang amat mencabar bagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Daripada gelagat mereka yang berkuasa hari ini, nampaknya usaha menjamin ketrampilan Malaysia dalam bidang ekonomi mengatasi segala-galanya. Dan untuk ini bahasa Inggeris itu dianggap sangat penting fungsinya. Dalam mengejar status Negara Industri Baru untuk menyertai kelompok harimau Asia yang lain, kerajaan nampaknya tidak begitu gigih dalam gagasan pembentukan bangsa yang berlandaskan faktor-faktor sejarah. Aspek kebudayaan yang berwajah nasional pun kelihatannya kurang diberi perhatian dan oleh sebab itu kurang nilai ekonominya.

Namun demikian, Malaysia telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaannya. Melalui wahana inilah saja Malaysia dapat membentuk keperibadian nasionalnya. Kerajaan harus mengambil ingatan juga bahawa nasionalisme Melayu yang lahir ialah nasionalisme budaya yang berkisar pada bahasa dan kebudayaan Melayu. Dari sudut sejarah, budaya politik Malaysia yang telah dimulakan oleh orang Melayu tidak mungkin diputuskan kesinambungannya. Keadaan demografi Malaysia dalam abad ke-21 kelak pasti akan mencerminkan budaya politik Melayu ini. Oleh yang demikian, adalah logis bagi semua pihak untuk mengukuhkan bahasa Kebangsaan itu agar benar-benar menjadi bahasa untuk mengungkapkan kekreatifan pemikiran dan kebudayaan Malaysia baru dan penyalur penting ilmu-ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Dan yang lebih penting lagi, bahasa Melayu perlulah diterima secara jujur oleh kaum bukan peribumi sebagai alat pemersatuan dan penyatuan bangsa.

(Makalah ini asalnya ialah kertas persidangan yang dibentangkan dalam Simposium Kebudayaan Malaysia III yang diadakan pada 5 hingga 6 Jun 1990 dalam rangka kerja sama antara Universitas Padjadjaran dengan  Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pemerintah Daerah Tingkat 2 Jawa Barat. Makalah ini diterbitkan pada tahun 1994 sebagai Bab 5 dalam buku Isu Bahasa dan Pembentukan Bangsa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Dipetik daripada buku Manifesto Budaya,oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 120-133)

Oleh Ahmat Adam
Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 08.05.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN