Rakyat Indonesia Merayakan Demokrasi, Kita Bila Lagi?
Pada minggu ini putaran kampanye (kempen pilihanraya sebutan Indonesia) terakhir sedang berlangsung. Kempen pilihanraya ini berjalan dengan penuh kegembiraan dan ternyata ia merupakan pesta rakyat yang diwar – warkan oleh pelbagai pihak supaya suasana tegang tidak berlaku.

 Di awal kampanye, pendakwah bebas terkenal iaitu KH. Abdul Gymnastiar atau dikenali sebagai AA Gym telah diundang untuk memberikan ceramah agama yang mengajak supaya pilihanraya dijalankan dengan penuh tertib baik oleh parpol (partai politik) mahupun pendukungnya atau para simpatisan.

Situasi ini ditambah pula dengan iklan-iklan di TV yang meminta supaya pemilu (pilihanraya umum) kali ini dijalankan dengan penuh tertib dan jadikan pemilu sebagai satu acara rakyat.

Cakap cakap dan dakwaan sebelum pemilu tentang akan berulangnya peristiwa 1999 ternyata tidak benar sama sekali. Ternyata sehingga ke hari ini yang kampanye terakhir ini tidak menunjukan suasana huru hara tidak berlaku sama sekali, malah pemilu kali ini di anggap cukup memberangsangkan dan menggembirakan semua pihak.

Media
Di televisyen pula partai politik bebas mengiklankan partai masing masing. Begitu juga dengan sessi pembahasan dimana partai politik secara terbuka membahas isu dan menifesto masing masing.

Sungguh indah suasana di Indonesia apa bila demokrasi berjalan dengan subur sekali. Media bebas melaporkan kondisi setiap parpol tanpa memihak kepada mana-mana parpol. Sebagai contoh sebuah television milik partai Golkar turut menjemput parpol lain untuk membicarakan tentang misi dan visi yang ingin dibawa pada pemilu pada kali ini.

Inilah yang dinamakan demokrasi. Benar mereka telah mengalami kepahitan lalu. Tragedi berdarah 1999. Namun demikian itulah ubat yang cukup pahit utuk ditelan. Kini peristiwa itu tinggal kenangan dan mereka merayakannya dijalanan dan dengan megah mengibar bendera parpol masing masing. Maka tidak hairan ada golongan pemuda bertopikan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dan berbaju merah garang PDI-P milik Megawati Sukarnoputri.Mereka bebas memilih siapa yang mereka suka. Rakyat tahu siapa pemimpin mereka.

Puas rasa dihati apa bila melihat suasana sedemikian. Setiap stesyen television tidak berpihak kepada satu kelompok yang berkepentingan sahaja. Semua serba adil dan mendukung prinsip demokrasi yang sebenarnya.

Saban hari iklan daripada KPU (Komisi Pemilihan Umum) menyiarkan iklan yang menyebelahi rakyat, meminta supaya partai politik jangan memecahbelahkan masyarakat dan masyarakat juga jangan terlalu taksub.

Dalam iklan tersebut tidak sedikit pun menyentuh mana mana parti. Berbeda dengan kita yang mana seluruh media menjadi jentera BN dan UMNO.

Matang
Saya yakin jika suasana ini dipertahankan Indonesia akan mencapai kemajuan yang sangat besar dalam demokrasi dan seterusnya membawa kepada kejayaan dalam ekonomi dan membina jatidiri bangsa yang kuat dan kukuh.

Tentu sekali parpol yang bakal terpilih dan Capres (Calon Presiden) menjadi parpol dan Presiden yang tinggi ahklak dan terhormat.

Di Malaysia saya yakin para pemerintah terutamanya UMNO merasakan rakyat masih belum matang dalam demokrasi. Rakyat masih perlukan dorongan, rakyat juga masih tidak pandai untuk menentukan pemimpin.Rakyat masih tidak bijak Oleh yang demikian, rakyat tidak perlu diberikan kebebasan sedemikian rupa. Maka timbul konsep demokrasi terpimpin.

Sebenarnya jika UMNO parti yang bersih dan benar mereka tidak perlu rasa takut untuk menghadapi BA. Lawanlah dengan cara benar. Biarlah rakyat yang menentukan. Saya yakin jika pertandingan dijalankan dengan adil maka BA jua akan akur dan menerima dengan lapang dada jika mengalami kekalahan. Tidak ada masalah sama sekali. Tetapi masalahnya di sini ialah ketidakadilan yang terang terangan berlaku.

Di mana integriti UMNO dan pemimpinnya, pada saya maruah mereka tercalar. Harga diri mereka hilang. Tidak mustahil suatu hari nanti kejatuhan mereka akan menjadi kejatuhan yang paling buruk dalam sejarah.Tidak mustahil akan berlaku demikian.

Pengundi Hantu
Pengundi hantu juga semakin lama semakin ramai. Namun demikian suatu hari nanti hati mereka akan terpangil juga untuk menyatakan kebenaran. Golongan ini juga akan bangun dan merasa bersalah di atas perbuatan mereka.

Begitu juga mereka yang pernah menerima latihan di BTN. Seperti puteri UMNO dan golongan muda yang lain yang merasakan perjuangan UMNO telah banyak menyimpang dengan adanya falsafah “Matlamat menghalalkan cara” Namun mereka ini tidak berani untuk menyuarakannya kerena mereka takut dilabel sebagai pengkhianat.

Kabinet baru telah dibentuk, isu pilihraya cuma tinggal isu sahaja yang pastinya pemerintah mewariskan segala permasalahan kepada SPR yang terpaksa menjawab semua tuduhan, sementara pemerintah dengan gagah melangkah tanpa memperdulikan apa yang sudah berlaku. Lebih menarik mereka juga bersandiwara mempersoalkan SPR.

Sekarang ini bagi pemimpin UMNO, yang menang tetap menang yang kalah tetap kalah. Bagi sesetengah rakyat kesan pemilu yang lalu sudah semestinya memberi kesan kepada mereka, tanpa menilai dengan kritis, mereka ini akan membuat andaian bahawa PAS dan BA telah kalah manakala UMNO kembali mengungguli pentas politik tanahair.Ini lah kebenaran dan realiti yang berlaku diperingkat rakyat marhaen !

Iktibar
Ambil sedikit iktibar daripada Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, pada suatu ketika dahulu mereka adalah serpihan Partai PPP yang mana mengamalkan imej Islam yang ekstrim dan kemudian apabila keluar daripada PPP mereka membentuk Partai Keadilan (golongan kadernya adalah daripada mahasiswa) kemudian menjadi Partai Keadilan Sejahtera. Mereka kini mengubah konsep supaya mendapat dukungan daripada rakyat pelbagai lapisan. Diantara iklan pilihanraya mereka ialah temubual bersama slankers (Peminat anggota kumpulan SLANK – pemuzik rock) yang berimej funky manakala seorang mahasiswa membayangkan PKS sebuah partai religi (keagamaan) tetapi tetap keren (glamour dari segi imej yang menyentuh golongan remaja).

Keterbukaan seperti ini yang saya maksudkan. Saya yakin orang yang mampu untuk mengendalikan cabaran ini adalah Dr Hasan Ali kerana beliau merupakan orang yang paling akrab dengan remaja. Jadikan PAS sebuah parti politik yang tidak hanya menjadi parti politik kampungan malah menuju kepada parti yang progresif dan professional.

Biar suatu hari nanti anak muda berani mengakui bahawa mereka adalah pendukung parti.Sambil memegang spanduk dan memakai baju berlogokan PAS.

Kesimpulan
Pilihanraya seterusnya adalah 4 tahun daripada sekarang. Sekali lagi kita menunggu kebangkitan PAS dan BA. Keyakinan bahawa balasan daripada Tuhan keatas parti yang tidak jujur akan berlaku, pasti akan berlaku. Manakala apabila tiba saat itu sudah bersediakah kita? Jawapannya ada pada pucuk pimpinan PAS dan BA. Sesuatu harus dilakukan.Kami ingin melihat perubahan yang membawa sinar baru, Manakala pemerintah UMNO dengan penuh keyakinan menyatakan kabinet baru ini akan menjadi lebih kukuh dah kuat (dakwaan pemimpin UMNO) manakala dipihak kita juga ingin mendengar pimpinan PAS melahirkan keyakinan baru untuk terus maju dan menang dimasa hadapan. Semoga kita beroleh taufik dan hidayah daripadaNya.

- Oleh Hj. Asmawi Bakri
 
Kiriman: musafir senja <ikanjenahak@yahoo.com> - 02.04.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN