Dulu Perkataan ‘Islam’, Kini ‘Keadilan’ Ditakuti 

Tidak puas dengan cubaan untuk menggugurkan perkataan 'Islam' dalam nama Parti Islam SeMalaysia (PAS), kini pihak Umno telah merencana satu niat baru mereka untuk menghapuskan nama atau perkataan 'Keadilan' dalam nama Parti Keadilan Rakyat atau nama singkatannya keADILan.

Perkara ini dinyatakan dalam surat bertarikh 15 September 2003 yang dihantar oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat. Menurut surat tersebut ‘perkataan keadilan adalah tidak sesuai’ dan Parti Keadilan Rakyat dikehendaki mencari nama baru atau nama lain yang tidak menggunakan perkataan keadilan. Bukan sahaja singkatan keADILan yang tidak boleh digunakan malahan nama Parti Keadilan Rakyat itu sendiri perlu diubah.

Perkara ini membuktikan bahawa Umno gentar dengan agenda 'keadilan' yang menjadi teras perjuangan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia sebelum ini yang kini telah bergabung menjadi Parti Rakyat Malaysia.

Umno sanggup menggunakan segala jentera yang ada pada mereka untuk menghapuskan seteru mereka yang dianggap sebagai ancaman terhadap kedudukan mereka bagi mengekalkan kuasa demi meneruskan agenda penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme, nepotisme dan lain-lain lagi.

Dahulunya mereka cuba untuk menghancurkan PAS dengan membuang nama 'Islam' dalam parti tersebut. Namun keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang tidak bersetuju dengan tindakan itu telah memenangkan PAS dalam isu berkenaan. Ini merupakan satu tamparan hebat buat Umno kerana gagal melanjutkan isu terbabit.

Kini isu yang hampir sama digunakan sebagai agenda jahat mereka. Adakah kita mahu bawa semula perkara seumpama ini kepada Majlis Raja-Raja Melayu atau kepada Dewan Bahasa dan Pustaka?

Apakah rasionalnya Umno menyatakan alasan perkataan 'Keadilan' tidak sesuai digunakan? Adakah mereka gentar dengan nama dan semangat keadilan yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat? Atau mereka sendiri kini sedar bahawa perjuangan Umno kini sudah tidak ada nilai keadilan lagi kepada rakyat di negara ini?

Sehari selepas majlis pelancaran Parti Keadilan Rakyat kebanyakan pemimpin-pemimpin Umno membuat kenyataan takbur bahawa Parti Keadilan Rakyat adalah gabungan dari dua parti yang tidak kuat yang menunggu masa untuk terkubur. Kalau benar kedua parti itu tidak kuat mengapa Umno harus takut hanya pada nama 'Keadilan'?

Gagasan Parti Keadilan Rakyat diilhamkan semenjak tahun 1999 lagi dan permohonannya telah dibuat hampir setahun yang lalu dengan beberapa pindaan perlembagaan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia namun kelulusan penubuhannya masih dilewat-lewatkan oleh ROS.

Persoalannya mengapa ROS sengaja melambat-lambatkan kelulusan penubuhannya. Siapakan dalang yang menyeru agar ROS menangguhkannya? Kalau Umno fikir mereka benar-benar kuat mengapa mereka tidak membenarkan parti keADILan menggunakan lambang baru dalam pilihanraya yang akan datang.

Fikirkanlah sendiri, siapa yang kuat dan siapa yang lemah sebenarnya. Rakyat hakim negara.

Petikan daripada Seruan Keadilan - 04.11.2003

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!