Apa kejadahnya? 60 000 orang Utusan Meloya kata 1000 orang saja
Oleh Anak Reformasi
Assalamuallaikum,

 
Saya tergerak untuk menulis kejadian sebenar dari apa yang saya alami di Program Perhimpunan 100 000 di Charok Tok Kon pada 14.02.2004 tempoh hari. Ini adalah gara-gara saya membaca Utusan Meloya keluaran hari ini dimana yg bertajuk Keadilan dijangka berkubur tidak lama lagi.
 
Ini bukan apa, kita kan sudah tahu yang apa yang ditulis tu selalunya tak betul tapi jika tak betul tuu biar laa orang percaya sikit ini tak…yang pie tulis orang hadir kat program tu cuma 1000 orang apa kejadahnya…..nie saya nak habaq bagi semua rakyat Malaysia tau…pada hari tuu jumlah manusia yang datang adalah tak kurang daripada 60 000 orang, itu pun jika tak silap mata memandang laaa…..
 
Oklah pada semua ahli reformasi…teruskan perjuangan…usah peduli apa kata lawan….janji…lawan tetap lawan….Allah’huakbar…
 
P/s: kepada urusetia Program 100 000 rakyat lebih bagus sekiranya disertakan gambar-gambar pada hari itu…biaq BN tau apa yang sebenarnya dan satu lagi saya dapat tahu jika nak cerita sebenar pie cari akhbar cina…depa nie tulis yg betoi…..tahniah pada mereka….
 
Wassalam
 
Anak Reformasi
“Progresif Adil Sejahtera”
BA tawan Kedah 2004…..Insya’Allah
 
Petikan dari Utusan meloya…..
Keadilan dijangka berkubur tidak lama lagi
BUKIT MERTAJAM 15 Feb. - Program Perhimpunan 100,000 rakyat anjuran Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang hanya dihadiri kira-kira 1,000 orang semalam memberi isyarat jelas bahawa parti itu akan berkubur tidak lama lagi ekoran ketiadaan sokongan rakyat.

Ketua Penaja UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata, ini kerana rakyat kini telah menyedari bahawa parti pembangkang itu tidak memperjuangkan rakyat jelata sebaliknya membela kepentingan individu tertentu.

``Kegagalan Keadilan mendapat sambutan adalah isyarat jelas bahawa ia tidak lagi diperlukan oleh rakyat yang pada waktu ini telah merapatkan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas program anjuran Keadilan di Kampung Cherok To'Kun, Permatang Pauh dekat sini semalam yang gagal mendapat sambutan apabila hanya dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan yang hadir pada perhimpunan yang turut membabitkan siri ucapan pendek oleh beberapa pemimpin pakatan pembangkang itu bukan dari kalangan penduduk setempat, sebaliknya dari luar Pulau Pinang.

Antara pemimpin kanan yang kelihatan semasa perhimpunan tersebut ialah Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail; Naib Presidennya, Tian Chua dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Hatta Ramli.
 
 

Perhimpunan Rakyat GAB Kejayaan Besar!
Editor 16 Februari 2004 (Dipetik drp Forum Gerak Reformasi)

Ketika kerajaan BN merwarwarkan kemasukan 12 bekas ahli Keadilan ke dalam UMNO, perhimpunan Gerakan Anwar Bebas di Galeri Pejuang, Cherok To' Kun yang berlangsung pada hari Sabtu lepas menarik antara 10 000 - 20 000 rakyat Malaysia dengan kehadiran pimpinan tertinggi Keadilan, BA serta reformis-reformis lain. Mereka yang hadir dari 3.00 petang berkampung di sana sehingga tengah malam dan bersorak Reformasi ketika Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Tian Chua melepaskan poster gergasi Anwar ke udara serentak dengan percikan bunga api.

Rakyat yang hadir di sana dari pelbagai kaum dan golongan, membuktikan kedudukan Keadilan sebagai parti pelbagai kaum yang terulung di Malaysia. Lebuhraya dan jalanraya menuju ke Cherok To' Kun juga penuh sesak dengan kenderaan mereka yang menghadiri program tersebut. Rakyat yang berhimpun di sebelah petang telah melaungkan 'Bebaskan Anwar', 'Reformasi' dan 'Tangkap Mahathir!'. Perhimpunan sebelah petang menyaksikan penyertaan mahasiswa USM, serta aktivis-aktivis kempen Broga dan SOS Damansara.

Antara mereka yang menyampaikan ucapan termasuklah pimpinan parti Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Syed Husin Ali, Tian Chua, Azmin Ali, Ezam Mohd Noor, Saifuddin Nasution, serta Dr. Hatta Ramli dari PAS, Dr. Jeyakumar Selvaraj dari PSM, dan Hishamuddin Rais.

Presiden Parti Dr. Wan Azizah berkata sambutan rakyat terhadap perhimpunan tersebut membuktikan Keadilan tidak terjejas dengan penyertaan 12 ahlinya ke dalam UMNO.

Keadilan juga dikatakan bersedia dengan penyertaan beberapa lagi ahlinya dengan pilihanraya semakin hampir dan pelbagai tarikan yang ditawarkan oleh UMNO.

Isu Anwar ialah isu rakyat, kata Tian, kerana Anwar menjadi simbol kehancuran institusi demokrasi di Malaysia.

Azmin mencabar Pak Lah untuk bertanding di Permatang Pauh jika beliau benar-benar yakin Keadilan sudah lemah. "Kita akan tamatkan karier politik Pak Lah sekiranya beliau bertanding di sini!"

Ezam pula mengumumkan beliau akan menentang Timbalan Perdana Menteri dan perunding UMNO utama dibelakang penyertaan 12 bekas ahli Keadilan, Najib Tun Razak di Pekan.

Kemunculan Zool Hilmi Yahya, yang berjaya dalam intipannya terhadap gerak-geri perunding-perunding UMNO dan 12 bekas ahli Keadilan telah mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

Saifuddin Nasution turut mendapat sokongan gemuruh penonton. Ceramah beliau beberapa hari yang lepas mendapat kunjungan 20,000 hadirin.

Seorang penganalisa di sebuah universiti tempatan berkata perhimpunan tersebut membuktikan BN tidak boleh merendah-rendahkan Keadilan. "Perhimpunan ini menunjukkan kekuatan utama Keadilan - memobilasi rakyat untuk berhimpun, mengumpulkan aktivis pelbagai NGO, universiti dan rakyat umum dan menarik sokongan rakyat pelbagai kaum."

Menurut beliau lagi, antara perkara yang membuat UMNO merasakan Keadilan lemah ialah dengan kawalan ketat terhadap ceramah akhir-akhir ini. "Jadi UMNO merasakan Keadilan lemah kerana mereka mahu berasa demikian. Hakikatnya, rakyat umum masih memberi sokongan mantap terhadap Keadilan."

17.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN