TAHAP KEMATANGAN RAKYAT MALAYSIA PADA PILIHANRAYA UMUM 2004
Pilihan Raya Umum 2004 telah pun berlalu. Berbagai cerita kedengaran berlegar seolah-olah khabar angin yang tidak berkesudahan. Namun kita juga merasa terusik, kenapa pilihan raya kali ini agak kecoh dan memaparkan sedikit huru-hara. Memang begitulah. Cerita pengundi hantu masih belum reda, kini timbul berbagai cerita. Kabinet Paklah pula dikatakan banyak membawa perubahan. Namun masih ada beberapa muka lama dikekalkan. Turut dikekalkan ialah muka-muka yang sudah usang seperti Samy Vellu dan Rafidah Aziz, yang kononnya sudah lama difailkan kes rasuah terhadap beliau, namun beliau tetap kukuh dalam Kabinet Paklah. Kekalnya dua muka lama ini memperlihatkan Paklah memerangi rasuah hanya sekadar kata-kata sahaja. Dua muka lama ini sudah dimaklumi sebagai di antara mereka yang banyak kes rasuah, namun Paklah masih memberi muka kepada mereka, tetapi dalam masa yang sama menasihatkan ahli-ahli MP dan ADUN agar bekerja untuk rakyat dan menjauhi rasuah.
Inilah cakap tidak serupa bikin namanya.

Begitu pun, apa yang ingin dibicarakan kali ini adalah besarnya kekalahan Barisan Alternatif (BA) pada kali ini. Pada pemilihan 1999, Terengganu dan Kelantan jatuh ke tangan BA yang diketuai oleh PAS. Namun pada 2004 Terengganu terlepas kembali kepada BN, dan di Kelantan 21 BN dan PAS 24 kerusi. Hanya tiga kerusi menyebabkan PAS masih memerintah Kelantan. Namun banyak kerusi Parlimen yang hilang dari BA. Tokoh-tokoh PAS seperti Muhammad Sabu, Mahfuz Omar, Dr. Harun Taib,TG Haji Hadi tidak lagi menjadi ahli-ahli MP. Kalau sebelum pemilihan 2004 kita sering mendengar kritikan yang membina dari tokoh-tokoh Pas ini di Parlimen, kini pada sidang akan datang suasana Parlimen akan menjadi sepi. Hanya ada beberapa orang MP dari PAS yang mewakili BA. Sementara itu dari DAP lebih sekali ganda dari PAS. Hal ini menyebabkan suara pembangkang tidak lagi akan kedengaran pada sidang Parlimen yang berikutnya.

Kehilangan suara pembangkang yang kuat di peringkat Dewan Rakyat, menjadikan BN memonopoli perbincangan yang menentukan dasar dan halatuju negara. Keadaan ini semakin membingungkan bila tidak adanya imbangan kuasa di antara pemerintah dan pembangkang di Dewan Rakyat. Perimbangan kuasa adalah sesuatu yang penting dalam perjalanan politik yang berlandaskan demokrasi. Bila hal ini tidak ada,pemerintah dengan sewenang-wenangnya akan melaksanakan berbagai akta yang menyenangkan mereka sahaja,tetapi sebaliknya akan menyusahkan rakyat terbanyak. Dalam membincangkan Akta Pengambilan Tanah pada sesi yang lepas, walaupun pembangkang agak ramai,namun suara mereka tidak cukup satu pertiga di Parlimen, menjadikan perbincangan itu tidak memberikan sebarang makna yang besar kepada rakyat jelata. Akta itu kemudian tetap diteruskan dan diwartakan. Kini akibat Akta itu,kerajaan berhak mengambil tanah sesiapa sahaja atas alasan pembangunan,sekalipun kemudian tidak membangunkan kawasan itu. Itulah kesannya bila suara pembangkang tidak mencapai jumlah satu pertiga di Parlimen. Pemerintah akan menjadi lebih mudah untuk mempermainkan rakyat,khususnya dalam isu-isu sensitif yang membabitkan Islam dan perkauman. TG Haji Hadi tidak lagi dapat menyuarakan pendapatnya dalam isu-isu berkaitan Islam. Begitu juga Muhammad Sabu.

Suara-suara itu semuanya sudah tenggelam,ditenggelamkan oleh gelombang biru pada pilihan raya 2004. Maka tinggallah rakyat marhaen untuk menerima apa sahaja cadangan dan arahan kerajaan tanpa dapat menafikannya,atau sekurang-kurangnya memberikan pandangan atau pendapat mengenai sesuatu isu. Sama ada sesuatu isu akan menguntungkan atau merugikan rakyat marhaen, tiada siapa yang dapat membantahnya dari dilaksanakan oleh kerajaan. Demikianlah nilai majoriti dalam Parlimen.

Soalnya apakah rakyat Malaysia tidak memahami keadaan-keadaan seperti ini. Atau apakah mereka menjangkakan kerajaan akan berbuat baik belaka tanpa menyusahkan rakyat,tanpa mengusik sentimen agama atau perkauman. Isu Sekolah Agama Rakyat memperlihatkan kerajaan berhasrat untuk menyekat perkembangan Islam di negara ini. Begitu juga dengan isu sekolah wawasan, ia akan menghapuskan ciri-ciri etnik Cina itu sendiri di Malaysia ini. Namun apakah yang kita boleh buat sekiranya kita menyerahkan kemenangan besar lebih dua pertiga kepada BN? Siapakah yang akan membantah BN jika ada isu yang merugikan rakyat marhaen,merugikan Islam atau merugikan etnik lain yang wujud di Malaysia ini? Namun, dari apa yang kita lihat hasil dari pilihan raya 2004, rakyat Malaysia tidak mampu melihat masalah ini secara lebih berani, secara lebih cerdik dan lebih matang. Inilah tahap kematangan kita rakyat Malaysia. Kita rela menurut apa sahaja apa yang BN ingin laksanakan umpama lembu dicucuk hidung,tanpa berani menyatakan sebarang bantahan sekalipun sesuatu rancangan itu besar kemungkinan merugikan diri kita dan anak cucu kita. Walaupun ramai di antara kita yang belajar hingga ke peringkat universiti, pengajian tinggi dan memiliki ijazah berjela, namun dari segi politik,kita masih seperti lembu yang dicucuk hidung itu. Itulah kenyataan kita sebenarnya.

Soalnya bilakah, pada pilihan raya kali ke berapakah, kita dapat mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen?

AlKundangi - 30.03.2004 8.10 pagi (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN