Universiti Sebagai 'Kuasa Kelima' (The Fifth Estate)
Oleh: Ali Bukhari Amir
Free Anwar Campaign Website
Terima kasih kepada RTM kerana menyiarkan rancangan Bicara Siswa (5 Januari, 2004) yang mengupas tajuk Hak Asasi Manusia (HAM). Ada pelbagai pandangan yang dilontarkan oleh para panelis. Namun, saya ingin fokus kepada saudara Khairul Eruwan, YDP Desasiswa Gemilang yang menyatakan bahawa AUKU tidak menyekat kebebasan mahasiswa. Dalam hal ini, saya minta saudara merujuk kembali rancangan KOMENTAR oleh RTM pada 9 April, 1975  yang memuatkan wawancara Menteri Pelajaran (sekarang Menteri Pendidikan) dengan pengacara rancangan tersebut.

Wawancara tersebut jelas membuktikan bahawa AUKU benar-benar mengekang suara kaum pelajar. Jika tidak, mengapakah berlaku terlalu banyak pindaan demi pindaan semenjak 1975 hingga kini walaupun pendekatan perjuangan mahasiswa kini semakin kurang beraksi di jalanan dahulu. Apalah bezanya Mat Rempit yang ganas di jalanraya dengan mahasiswa yang cuma berkumpul secara aman? Sudah tentulah Mat Rempit lebih membahayakan. Barangkali panelis terlupa atau tidak tahu nasib malang yang menimpa saudara Rizal Annan (UUM) serta Rafzan Ramli (ISA7) yang telah digantung pengajian kerana AUKU dan Kaedah-Kaedah Universiti.

Mangsa ISA7 umpamanya telah mengadu mengenai hukuman gantung pengajian walaupun mereka belum disahkan kesalahan itu oleh mahkamah. Saya difahamkan yang mereka pernah menyuarakan masalah mereka kepada SUHAKAM. Saya minta RTM dan Dr. Nordin Kardi dapat membuka semula topik yang sangat baik ini secara bersiri agar Pengerusi SUHAKAM, Prof. Dr. Hamdan Adnan dapat memperjelas isu ISA7 ini kepada rakan-rakan mahasiswa di seluruh universiti.

Seterusnya saya cadangkan SUHAKAM menubuhkan Kelab Suhakam di seluruh IPT. Ini bakal memupuk pengetahuan mereka mengenai persoalan hak. Dan mungkin juga SUHAKAM dapat menganalisa kerelevenan serta kesesuaian bagi menggubal ‘Hak-Hak Pelajar’ bagi mengembalikan semula hak-hak kaum pelajar. SUHAKAM merupakan badan yang sah dari segi undang-undang hingga ada akta yang digubal khusus untuknya. Oleh itu, saya berpendapat tidak ada masalah lagi bagi pihak pentadbir universiti untuk meluluskan kewujudan Kelab Suhakam ini melainkan hal-hal yang samar dan kabur.

Saya melihat Kementerian Pendidikan tidak lagi wajar meminda AUKU sekarang melainkan perlulah membawa usul pindaan AUKU ke meja perundingan bersama pelajar dengan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). Pada kesempatan ini, saya ingin majukan pertanyaan kepada kerajaan. Mengapakah badan-badan pelajar yang sah dari segi undang-undang tidak dijemput dalam jawatankuasa MPPK? Mohon jawapan Kementerian Pendidikan terhadap persoalan yang besar ini.

Oleh kerana tahap pengetahuan mahasiswa yang masih rendah terhadap AUKU & perundangan, saya mencadangkan Kursus Pengenalan Undang-undang diperkenalkan di IPT dan dijadikan kursus wajib. Hal ini bererti kursus ini wajib diambil serta wajib lulus dan diajar selama 1 semester. Segala bentuk pindaan ke atas undang-undang dimasukkan dalam kursus ini supaya maklumat tentang pindaan undang-undang sentiasa up-to-date. Majlis Peguam mungkin dapat membantu untuk menyediaan tenaga pengajarnya.

Rakyat mempunyai hak mengemaskini maklumat tentang pindaan undang-undang saban tahun. Ini selaras dengan semangat Rukun Negara ketiga dan keempat; Keluhuran Perlembagaan & Kedaulatan Undang-Undang. Apa guna setelah mencapai kematangan usia dewasa 40 tahun merdeka dari cengkaman kolonial, rupa-rupanya rakyat masih buta perlembagaan dan undang-undang.

Dalam hal ini, mantan Peguam Negara dan Menteri Undang-undang, Almarhum Tan Sri Abdul Kadir menganjurkan rakyat memahami Perlembagaan khususnya Perkara 153 bagi mengatasi masalah perkauman. (rujuk ucapan bertajuk Perlembagaan dan Tuan pada 11 April, 1970). Ucapan ini menerangkan hubungkait orang ramai dengan undang-undang, politik, & demokrasi. (Mokhtar Petah, Tan Sri Abdul Kadir, Peguam Rakyat)

Masih lagi dalam persoalan hak, mahasiswa menuntut supaya autonomi universiti dikembalikan. Dalam program KOMENTAR, RTM (9 April, 1975), ketika disoal tentang autonomi universiti yang terjejas kerana AUKU, Menteri Pelajaran berkata, “autonomi bermakna mereka boleh buat rancangan mereka sendiri, boleh mantadbir diri sendiri, boleh menjalankan kegiatan sendiri, walaupun mereka dibiayai oleh wang kerajaan”.

Sepatutnya, kewujudan badan korporat yang mengendali pentadbiran di universiti melalui penswastaan dapatlah mengurangi keterlibatan kerajaan secara idealnya. Namun, apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Contohnya, pilihanraya kampus yang sepatutnya dijalankan oleh pentadbir universiti telah berlaku serentak pada September, 2003 melalui campurtangan pihak kerajaan. Jadi, di mana letaknya wilayah autonomi universiti kini? Kewujudan majlis di antara Naib Canselor yang dipengerusikan Menteri Pendidikan juga merupakan fenomena yang menggugat kestabilan wilayah autonomi universiti.

Dalam kes di USM, wujud dasar dua bilik yang masih samar-samar. Buletin MPP USM keluaran pertama menyebut bahawa arahan tentang hal ini datang dari Kementerian Pendidikan kepada Naib Canselor, demikian menurut Encik Zuber dari UPPU. Sekali lagi kami mohon penjelasan mengenai hal ini. Jika benar, maka bukankah soal penginapan itu termasuk dalam pentadbiran universiti? Jika benar, sudah tentu hal ini mencabar wibawa autonomi universiti. Mengapa dengan tiba-tiba wujud dasar ini tanpa notis? Kami mohon penjelasan bertulis dari pihak universiti mengenai hal ini.

Sebagai pelajar USM, kami merakamkan rasa bangga dengan moto USM; ‘Kami Memimpin’. Ini selaras dengan fungsi serta peranan manusia selaku Khalifah (pemimpin) di bumi Tuhan. Sesungguhnya, “wilayah autonomi” ialah sebahagian dari ruh manifestasi moto USM. Bertitik-tolak dari hal ini, penulis mencadangkan agar peranan universiti di Malaysia diperluas kepada konsep “Fifth Estate” selepas kuasa media sebagai “Fourth Estate” dalam menentukan nadi riwayat demokrasi negara.

Universiti sebagai Fifth Estate bukanlah sesuatu yang janggal. Sejak Renaissance melewati Middle Age, idea penggerak jentera demokrasi banyak dihasilkan oleh tenaga pemikiran Hobbes, Jacques, Frankfurt School dan lain-lain mazhab. Kita cuma perlukan sedikit suntikan keberanian yang disulam intelektual bagi menunggu detik Nahdah Asia.
 

Ali Bukhari bin Amir,
Jawatankuasa Penaja SEPKOM,
Sekretariat Pelajar Kewartawanan Muslim,
P. P Komunikasi, USM, Pulau Pinang.
(ibnuamir@yahoo.com – mohon siarkan e-mail) - 07.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Sertailah Kumpulan M@RHAEN